December 31, 2010

Pastikan Rezeki Kita Dah Dibersihkan

Bila dah sampai hujung tahun ni, saja nak ingat mengingati. Kewajipan berzakat itu wajib hasil dari pendapatan atau perniagaan sepanjang tahun ni. Buatlah kira2, banyak mana rezeki kita tahun ni. Tolak perbelanjaan dan keperluan, baki yang kena zakat hanya 2.5 peratus. Lebihkurang sama maca income tax lah.

Antara kelebihan dan hikmah Allah s.w.t mewajibkan umat Islam berzakat ialah: 

1. Zakat mampu mentarbiah serta mengasuh jiwa Muslim supaya cenderung dan mencintai pengorbanan, di samping mensucikan harta daripada hak orang lain (8 asnaf) dan membersihkan rohani daripada sifat mazmumah seperti tamak, bakhil dan kedekut. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan pada harta-harta mereka itu ada hak bagi orang-orang miskin yang tidak mendapat bahagian.” (Al-Zariyat: 19) 

2. Menghindari kesenjangan sosial antara aghniya dan dhu´afa. Tiang amal jama´i antara aghniya dengan para mujahid dan da´i yang berjuang dan berdakwah dalam rangka meninggikan kalimat Allah s.w.t.

3. Membersihkan dan mengikis akhlak yang buruk.

4. Alat pembersih harta dan penjagaan dari ketamakan orang jahat.

5. Ungkapan rasa syukur atas nikmat yang Allah s.w.t berikan.

6. Untuk pengembangan potensi masyarakat.

7. Sokongan moral kepada orang yang baru masuk Islam (mualaf).

8. Menambah pendapatan negara untuk projek-projek yang bermanfaat bagi masyarakat.

9. Selain itu juga, zakat merupakan ibadah yang memiliki nilai dimensi ganda, trasendental dan horizontal.

Dengan menunaikan zakat, InsyaAllah ditambahNYA rezeki kita tahun depan.

December 30, 2010

Penalti Tak Masuk Tanda Kegagalan Indonesia


Niat nak ganyang Malaysia tak menjadi dan serba tak kena di bumi sendiri. Amukan Garuda yang sudah dicederakan terlebih dahulu oleh Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil nampak macam hilang arah. Cuma suara saja bising dan beremosi, tahi bertaburan di atas tanah menahan kesakitan.

Peluang keemasan telah dihidangkan. Penalti diberi disia siakan. Garuda gemuruh di laman sendiri. Tendangan lembik mudah diselamatkan. Itulah tanda2 awal tersungkurnya Garuda di bumi Indonesia. Tak ada tempat lain lagi yang paling manis untuk menundukkan mereka. Ego dan keangkuhan disemadikan bersama.

Tahniah Harimau Malaya. Penantian 14 tahun berakhir di penghujung 2010. Tirai dilabuhkan dengan senyuman dan perasaan bangga rakyat Malaysia. Rasanya hilang segala kepahitan dialami sepanjang tahun. Terutamanya oleh tindakan2 biadap yang dilakukan segelintir rakyat Indonesia yang  kurang cerdik sepanjang tahun ini.

December 29, 2010

Muda Tapi Berpengalaman


Ramai berpendapat team bolasepak Malaysia sekarang dianggap mentah dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Rata2 berumur awal 20an. Kebanyakannya diserapkan secara bidan terjun. Disebabkan ramai pemain utama cedera. Mereka sepatutnya masih ada 2 ke 3 tahun lagi baru boleh 'dibenarkan' menyertai team senior.

Walaubagaimana pun, pandangan sinis ini ditepis mereka dengan selamba aje. Sebilangan besar pemain dari pasukan Harimau Muda ini sebenarnya sudah agak berpengalaman di persada bolasepak antarabangsa. Penyertaan mereka dalam liga Slovakia terbukti banyak menyumbang kepada kebangkitan mutu dan keyakinan mereka. Saiz dan fizikal pemain2 di sana yang lebih besar dapat ditandingi. Ini kan pulak bermain dengan pemain2 dari negara Asia Tenggara.

Kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA lepas membuktikan kemampuan mereka. Kali ini  buruan menjulang piala AFF Suzuki Cup 2010 pula. Sorakan2 dan herdikan penonton tuan rumah di seluruh stadium ternyata tidak menganggu mereka.  Di Vietnam penonton fanatiknya berjaya dibisukan. Kali ini gangguan2 dan sorakan yang penuh emosi penyokong2 Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno bakal menguji mereka lagi. 

Hanya 90 minit lagi yang perlu diharungi untuk mencapat matlamat menjuarai piala AFF Suzuki Cup 2010. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi mereka. Semoga sorakan penyokong fanatik Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno menjadi sepi selepas wisel akhir ditiupkan pengadil nanti.

December 28, 2010

TRP Intake 77/78


Bila direnung kembali foto2 semasa mula menuntut di ITM tahun 1978, banyak kisah2 nostalgia masa zaman bergelar siswa dan siswi Memang banyak. Boleh dijadikan berjilid-jilid buku kalau nak diceritakan. Yang seronok, yang sedih. yang kelakar dan sebagainya. Cuma melalui foto2 lama ni saja segala kenangan dengan mudah dapat diimbau semula.

Ramai kawan2 dalam foto di atas sudah lebih 30 tahun tak bersua. Putus hubungn. Dah tak tau di mana mereka sekarang. Kadang2 nama pun dah tak ingat. Yang lelaki mungkin dah banyak berubah fizikalnya. Rambut dah kurang, banyak putih dari yang hitam dan mungkin perut dah maju ke depan.

Yang perempuan lagi susah nak dicamkan kalau berjumpa sekarang. Rasanya ramai yang dah bertudung. Maklumlah, zaman ITM dulu yang pakai tudung boleh dikira dengan jari. Seingat aku cuma Jamilah yang pakai dan seorang lagi budak Cert. Tak ingat namanya. Yang lain2 masih bergaya dengan pelbagai fesyen rambut zaman 70an lah. Yang kerinting, ikal mayang, lurus, pendek dan macam2 lagi. Cuma zaman tu perwarna rambut belum keluar atau popular kot.

Kini Alhamdullilah, ramai kawan2 perempuan yang terjumpa sudah bertudung. Tak dinafikan mereka lebih nampak anggun dan berseri dalam keadaan begitu.

December 27, 2010

Protes 6 minit Indonesia yang memakan diri


Sasaran cahaya laser dari penonton2 yang nakal dalam sukan bolasepak masa ini semacam menjadi lumrah. Bukan saja di Stadium Bukit Jalil, bahkan di mana2 stadium sepanjang AFF Suzuki Cup 2010 jelas terjadi. Mungkin kejadian sebegini di pusingan awal peringkat kumpulan tidak begitu diendahkan oleh mana2 pasukan. Tetapi 'serangan' laser menjadi amat sensitif bila ia berlaku di peringkat kemuncak seperti pertandingan akhir.

Indonesia membuat protes bila laser ditujukan kepada penjaga gol mereka. Permainan dihentikan lebihkurang 6 minit. Seluruh rakyat Malaysia yang menonton menjadi cemas. Kalau2 pengadil membatalkan perlawanan di Bukit Jalil. Mana nak cari si pengacau ni dalam ribuan penonton di stadium. 

Apabila perlawanan disambung semula, ternyata ia memihak kepada pasukan Malaysia. Pemain2 muda negara cepat dapat menyesuaikan diri dan mendapat rentak semula. Pemain2 Indonesia yang lebih berusia terutama di bahagian pertahanan nampak lambat panas Akhirnya pintu gol mereka dirobek tiga kali oleh penyerang Malaysia. Bekalan tiga gol ni amat berharga bila kita bertandang ke Stadium Bung Karno nanti.

December 26, 2010

Pasangan Istimewa


Sufian atau dipanggil Pian di kalangan keluarga dah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, orang Rembau. Pian dan isteri boleh dikategorikan sebagai insan2 instimewa yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t.  bertemu jodoh mereka. Seluruh ahli keluarga tumpang gembira dan bersyukur bila Pian dapat isteri. Maklumlah, bukan mudah insan macam dia nak dicarikan isteri.

Airmata Pian mengalir selepas majlis pernikahan dan potong kek. Kami sekeluarga hanya mampu mengandaikan bahawa ia tanda terharu dan syukur dalam hati Pian dapat bertemu jodoh.  Kenduri kahwin Pian walaupun sederhana tapi meriah dikunjungi sanak saudara jauh dan dekat  serta jiran2 sekampung. Kami semua berdoa moga jodoh Pian dan isteri kekal sehingga ke akhir hayat. Aminnn.

December 23, 2010

Tempoh Bertenang atau Memeritkan ?


Tak dinafikan bagi mereka2 yang banyak bergantung pada projek2 kerajaan, masa penghujung RMK9 nilah yang dikatakan tempoh paling relaks. Kebanyakan kerja dah habis atau sampai ke penghujung. Tak banyak datelines lagi perlu dikejarkan. Meeting pun kurang. Kerajaan nak close akaun dah....Ada yang kata dah masuk tempoh bertenang. Bolehlah pergi holiday dengan keluarga. Masa untuk berehat Hanya menunggu RMK10 nak mula tahun depan.

Tapi bagi sesetengah orang, tempoh nilah yang paling memeritkan. Maklumlah, nak tunggu projek baru RMK10 bermula bukan mudah. Penyediaan TOR, meetings, kelulusan TOR, proses perlantikan dan pemilihan  perunding, tarikh projek mula, nak tunggu aggrement signed dsb nya mungkin ambil masa sampai pertengahan tahun 2011. Silap2 masuk bulan Ogos atau Oktober baru dapat rasa payment pertama. Jangkamasa 8 ke 10 bulan sudah tentu mencabar kemampuan cashflow ramai orang. Kalau tak cukup bekalan sudah tentu kekeringan di tengah jalan. 

Bila menghadapi situasi sebegini baru teringat kisah Nabi Yusuf a.s. Kisah mimpi seorang pembesar Mesir tentang 7 ekor lembu gemuk dan 7 ekor lembu kurus. Kita semua dah tahu tafsiran Nabi Yusuf a.s. tentang mimpi ni. Sampai sesetengah pakar kewangan barat pun mengiktiraf tafsiran ini. Kata mereka kita perlu mempunyai simpanan antara 6 ke 7 bulan untuk menghadapi segala keadaan sukar  untuk tempoh 7 ke 8 bulan. Harap2 tidak lama dari tempoh tersebut yang perlu ditunggu lagi.

December 19, 2010

Hanya Malaysia Boleh Main Macam Tu


Team bolasepak Malaysia memang dicemburui lawan sekarang ni. Ramai yang pandang rendah pada awalnya. Mana taknya. Style main tak seberapa. Pass bola selalu tak tepat kat kawan. Pemain mudah kehilangan bola. Asyik kena serang aje. Sampai baling bola tepi garisan pun, dapat kat pemain lawan. Tulah sebab coach2 negara lain tak berapa nak risau sangat bila bertemu Malaysia.

Yang menakjubkan tu walaupun dengan kelemahan2 ini, Malaysia menang emas kat SEA Games. Lepas tu masuk final AFF Suzuki Cup 2010. Siapa sangka jadi macam ni. 

Pendek kata, tulah keajaiban bolasepak Malaysia. Skill, kemantapan dan kepantasan permainan mungkin kurang berbanding negara lain. Tapi bila penjaga gol dan pertahanan performed serta fokus. Rasanya tiada team kat Asia Tenggara ni boleh beat Malaysia. Sebenarnya, itulah yang terjadi masa SEA Games dan AFF Suzuki Cup. Sedikit peluang melalui counter attack sudah mencukupi. Banyak team dah jadi mangsa daripada tektik sebegini. Mungkinkah, tektik yang sama menjadi lagi di final AFF Suzuki Cup 2010 nanti ? Sama2lah kita doakan.

December 15, 2010

Tak Bersorak Walaupun Score


Sempat menonton seketika siaran langsung perlawanan pertama AFF Suzuki Cup 2010 antara Malaysia  dan Indonesia di sebuah restoran dekat rumah. Masa tu nak beli makanan bungkus aje. Orang rumah tak sempat masak. Sibuk berniaga kat MAHA. Tak berapa ramai pelanggan di retoran masa tu. Lebihkurang enam orang remaja kita dan satu meja terdiri empat orang rakyat Indonesia. Nampak gaya macam buruh binaan. 

Malaysia leading satu goal masa tu. Wajah2 remaja Malaysia nampak girang. Bila Indonesia menyamakan kedudukan, mood penonton masih hangat. Tapi bila Indonesia score gol kedua, penonton mereka di restoran tu masih tak menunjukkan reaksi apa2. Kemudian Indonesia score lagi. Mereka masih diam.

Gelagat mereka ni memang melucukan. Mungkin segan atau takut kat penyokong Malaysia di restoran tu. Bila Indonesia sumbat gol keempat, remaja2 kita mula beredar dari restoran. Dah tak ada apa nak disorakkan. Makanan bungkus yang aku order pun dah siap. Malaysia kalah 1-5 dengan Indonesia. Yang pasti rakyat Indonesia di restoran tu tadi tentu amat gembira. Cuma segan nak tunjuk. Maklumlah, menonton di negara orang.

December 13, 2010

Bukan Dapat Makan Buah, Makan Hati Adalah !!


Sejak pindah kat Desa Bestari dua tahun lalu, adalah peluang bercucuk tanam sikit. Tanah seluas sekangkang kera kat belakang rumah tu dapatlah ditanamkan beberapa pokok. Pokok rambutan, mangga, manggis, dokong, limau nipis, nenas, pisang dan tak lupa pokok kari. Pokok yang last ni kira wajiblah.

Bukan main rapi lagi dibela pokok2 tu. Disiram setiap pagi dan petang. Dibaja selang seminggu. Cukup seronok bila bunga2 buah mangga dah mula keluar. Pokok pisang pun dah naik dengan daun menghijau. Selang beberapa minggu, dah nampak buah2 mangga yang membesar. Mulalah tanam angan2. Selain dapat rasa kemanisan buah mangga tu nanti, dapat juga disedekahkan kat jiran2 setaman.

Bak kata orang, 'Kita boleh merancang, Allah swt juga yang menentukan'. Bila balik rumah petang tadi, habis buah2 mangga dah licin dan bertaburan di tanah. Pokok pisang pun dah rebah, hancur dikitai dek si monyet2. Hancur luluh hati aku dan isteri. 

Monyet memang banyak kat Desa Bestari. Belukar di atas rezab sungai di belakang taman di jadikan laluan mereka. Kehadiran mereka tidak selalu. Dalam seminggu tu mungkin sekali datang secara berkumpulan. Setakat ni monyet2 ni tak agresif. Dihalau, larilah mereka.

Mungkin bukan rezeki lagi nak rasa buah mangga yang ditanam sendiri. 'Tak apalah, ni pun dah kira bersedekah jugalah. Monyet2 tu pun mahluk Allah juga' kata ku kat isteri, memujuk hati.

December 10, 2010

Sireh Pulang Ke Gagang


Menghadiri Majlis Sireh Pulang ke Gagang SSAS Putrajaya pada 8 Disember 2010 menandakan tamatlah zaman persekolahan anak2 ku. Anak bongsu ni baru habis menduduki peperiksaan SPM. Majlis ni merupakan acara simbolik dan tradisi SSAS menandakan penyerahan anak2 kepada ibubapa setelah bersekolah dan menduduki asrama selama lima tahun.

Tiada apa lagi dapat diucapkan oleh ibu bapa, selain setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengetua, guru2 dan warga SSAS yang telah bertungkus lumus mendidik dan menjaga murid2 sepanjang tempoh persekolahan mereka. Berbagai dugaan dan cabaran mereka hadapi. Bukan sahaja dari karehan murid2 tetapi termasuklah ibu bapa. Maklumlah budak lelaki. Bukan senang nak dijaga. Sampai ada  Pengetua, guru dan warden yang kena transfer ke tempat lain disebabkan kes murid2.

Walaubagaimana pun, tugas mereka tetap diteruskan. Demi mendidik anak bangsa di peringkat asas ini. Cabaran ke hadapan yang bakal dihadapi murid2 sudah tentu lebih besar dan hebat. Terima kasih cikgu dari kami, IbuBapa dan Penjaga.

December 7, 2010

Bila Tun Sudi Singgah


Membantu bisnes isteri kat MAHA 2010 memang meletihkan. Tambah pulak musim hujan sekarang ni. Tiap2 hari lepas subuh je terus bersiap sampailah ke 10 malam selama 10 hari (26 November - 5 Disember 2010). Maklumlah bila umur dah separuh abad ni, tambah pula dah lama tak buat kerja2 angkat mengangkat barang. Sakit pinggang juga dibuatnya. 

Walaubagaimana pun, memang seronok berniaga kat MAHA. Macam2 orang dan kerekter kita boleh lihat. Dikatakan 2.66 juta pengunjung datang ka MAHA tahun ni. Jualan memang laris. Terutama barang2 makanan seperti frozen food dan coklat.

Kenangan paling manis bila Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah sudi singgah kat booth kami. Kami jamulah satay kebab kat mereka berdua. Itu je yang tinggal masa tu. Kuih2 lain dah lama habis. 'Sedapp' kata mereka. Tun tanya, 'Bila nak start buat besar2an ?' Kami berdua tersenyum, 'Tengah test marketlah ni Tun'. 

Walaupun Tun singgah sekejap je, tapi ia sudah cukup memberi kepuasan kepada kami. Bukan senang nak dapat orang macam Tun yang sudi singgah. Lebih 2,500 booth di MAHA . Kami antara yang bertuah agaknya.

December 3, 2010

Bara! Bara !! Bara Bara Bara !!!


Teringat cara emak dan orang2 kampung dulu2 bila nak jemur sesuatu. Tak kiralah  jemur pakaian ke, udang geragau ke atau belacan yang perlu dikeringkan. Mereka sering laungkan perkataan ni. 'Bara ! Bara !! Bara Bara Bara !!! beberapa kali sambil menghamparkan barang2 yang dijemur. Tujuannya nak minta cuaca panas dan matahari keluar supaya semua benda yang dijemur dapat dikeringkan segera. Cara ni selalu dibuat pada musim2 tengkujuh, waktu hujan kerap turun. Bila banyak jemuran tak kering, problemlah sikit. 

Bila dilaungkan perkataan ni, macam ada connection dengan matahari tu. Yang menghairankan tu, cara ni kerap berkesan. Panas berterusan hingga ke petang. Sebenarnya, itu semua kuasa Allah s.w.t. Mungkin tu  cara mereka dulu2 berdoa agar dipermudahkan urusan mengeringkan jemuran.

Mungkin kat MAHA 2010 sekarang ni, peniaga2 kena try kaedah ni. Mana tau dengan izin Allah s.w.t doa kita dimakbulkan. Panas sampai ke petang. Dapatlah lebih ramai pengunjung datang. Pergerakan  mereka pun akan lebih lancar dan selesa. Bisnes pun bolehlah tambah baik. Wallahualam.

November 29, 2010

Cabaran MAHA International Show 2010


























MAHA International Show 2010 (MIS2010) yang baru bermula pada 26 November 2010 jelas sedang menghadapi dua cabaran besar untuk mencapai sasaran lebih 2 juta pengunjung. Yang pertama ialah cuaca dan yang kedua masalah kesesakan lalulintas. 

Cabaran yang pertama ni, tidak siapa dapat menghalangnya. Ia kuasa Tuhan. Siapa kita untuk mengubah cuaca yang mendung hujan berterusan kepada cerah terang benderang ? Hujung tahun sememangnya  musim basah. Tahun ni pulak hujan turun lebih kerap dan teramat lebat. Dengan saiz taman expo seluas 363 ekar, pergerakan pengunjung makin sukar dalam cuaca sebegini.

Kesesakan lalulintas pula amat membebankan pengunjung. Kawalan ketat aliran lalulintas di dalam taman ekspo ala kem tentera oleh pihak Rela dan kakitangan trafik turut menyumbang kepada tahap pergerakan kenderaan yang teramat pelahan. Kesannya berterusan hingga ke pintu2 masuk utama dari lebuhraya. Ramai pengunjung yang give up, buat u-turn terus balik ke rumah atau ke destinasi lain.

Masih ada enam hari lagi untuk mencapai sasaran 2 juta pengunjung. Mudah-mudahan  dengan  doa kita dan izin Allah swt pada 5hb Disember nanti semua pihak iaitu penganjur, perserta, peniaga dan pengunjung MIS2010 mampu tersenyum dengan kepuasan tersendiri.

November 23, 2010

Musim Berkhatan


Di Melaka dipanggil bersunat. Ada juga yang panggil masuk jawi. Sekarang ni semua menyembutnya sebagai berkhatan. Bila tiba musim cuti sekolah hujung tahun ni ramailah budak lelaki berdebar-debar menunggu giliran untuk berkhatan. Kalau yang dah masuk Tahun 6 tak berkhatan, maknanya dah terlalu lewatlah tu. Dah sampai borderlah.

Sekarang ni berkhatan senang. Pergi klinik swasta, taklah sakit sangat. Seminggu dah baik. Masa nilah doktor2 klinik swasta buat duit lebih sikit. Ada sampai buat joke. Doktor bisik kat nursenya dulu, 'Bapak budak yang nak berkhatan ni datang bawa kereta apa ? Kalau kereta besar boleh caj lebih sikit.'

Zaman kita dulu, siapa tak kenal Tok Mudin. Lelaki yang amat digeruni budak2 lelaki. Part yang paling aku tak boleh lupa ialah bila Tok Mudin suakan ayam jantan depan anu kita lepas disunatnya. Katanya, nak tarik bisa. 'Buat dipatuknya, mampus !' bisik dalam hati. Lepas tu bila nak buka balut kat klinik. Punyalah sakit yang teramat. Tak boleh minum banyak2. Problem nanti.

Lepas aje berkhatan, emosi dan fizikal kita rasa berbeza. Tahap confident meningkat. Perasaan teramat girang dirasakan bila dapat  memasuki alam remaja. Itulah antara keajaiban berkhatan yang disuruh oleh agama.

November 21, 2010

Bila Yang Meningkat Bertemu Yang Statik


Menonton perlawanan sepaktakraw antara Malaysia dan China di Sukan Asia Guangzhao 2010 tempoh hari memberi gambaran betapa cepat sukan ini dikuasai negera2 lain. Walaupun Malaysia menang, tetapi tentangan amat hebat diberi oleh China dalam setiap set. Mata2 kemenangan setiap regu  pun tidak jauh.

Dulu, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah antara kuasa dunia sukan ini yang tak mampu dicabar lain2 negara. Hingga kini, cuma Thailand saja yang nampaknya kekal menjadi jagoh sukan ini. Rahsianya ialah kreativiti mereka  mencipta servis kuda yang banyak menyumbang kejayaan. Negara2 baru seperti Korea Selatan, Jepun dan China lebih banyak menggunakkan strategi taktikal semasa menentang lawan. Dengan memilih tekong berbadan tinggi memudahkan melakukan servis tajam. Banyak mata diperolehi dari taktik ini semasa menentang Malaysia. Cara libasan mereka agak simple tapi berkesan untuk memungut mata.

Malaysia tidak lagi boleh bergantung pada seni dan semangat sahaja dalam sukan ini. Strategi taktikal serta kreativiti mencipta 'senjata' semasa bermain perlu ada. Jika tidak, kita akan ditinggalkan pada masa depan. Sudah tentu cabaran sukan sepaktakraw akan lebih besar bila negara dari lain2 benua seperti Eropah, Asia Barat dan sebagainya mula berminat dan  menguasai sukan ini.

November 16, 2010

Apabila Ibu Bapa Hanya Membesarkan Anak2


Semasa mesyuarat AJK Penduduk Desa Bestari tempoh hari, sempat bersembang dengan pegawai kanan PDRM Melaka. Beliau duduk di taman ni dan tiap2 hari berulang alik ke Melaka. Katanya terpaksa berkorban untuk isteri yang mengajar di Salak Tinggi.

Aku ambil kesempatan mengucapkan tahniah pada dia kerana Melaka Maju 2010. Seterusnya memuji kerana 'crime rate' kat Melaka rendah. Sambil tersenyum dia menjawab, 'Cuma masalah kat Melaka ialah kes rogol yang tinggi, tiap2 hari mesti ada aduan. Bapa rogol anak, abang rogol adik, boyfriend rogol girlfriend dan sebagainya. Hampir 90 peratus kes terdiri di kalangan orang Melayu. Tulah antara sebab Ali Rustam cadang bina Rumah Harapan' tambahnya.

Dia kata, 'Ibu bapa sekarang ni kebanyakannya cuma pandai membesarkan anak. Tugas mendidik diserahkan pada guru bulat2.' Mereka beranggapan tugas utama ialah hanya memenuhi segala keperluan anak2 seperti makan minum, duit poket, tempat tinggal dan sebagainya. Bila berada di luar sekolah, tidak ada yang memantau anak2 ini. Maka bebas lah mereka seperti layang2 tapi tidak bertali. Dengan zaman internet sekarang, semua benda2 baik dan yang tak baik boleh diperolehi  hanya perlu klik saje komputer. Tanpa sentuhan didikan dari ibu bapa, anak2 ini mudah hilang punca. Nafsu muda mudah menguasai mereka.

November 15, 2010

Konsep Hierarki Pusat Perniagaan Tidak Sesuai Untuk KL ?


Rasa agak bertuah dapat menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Norliza Hashim pada Bengkel Makluman Awan dan Pihak Berkepentingan Pelan DBKL 2020 pada 15 Nov 2010 di Hotel Istana. Selain sempat berjumpa member2 sepejuangan, dapat juga maklumat2 terkini berkaitan isu2 yang ditimbulkan oleh orang ramai ke atas Pelan DBKL 2020. 

Bengkel sehari ni diadakan dari pagi hingga malam. Agenda pertama ialah taklimat yang disampaikan oleh Norliza berkaitan dengan pindaan2 yang telah dibuat berdasarkan kepada komen dan bantahan orang awam. Antara pindaan utama yang dibuat ialah menggugurkan cadangan hierarki pusat perniagaan. Kata Norliza, pembangunan KL yang amat pesat khususnya pusat2 perdagangan tidak memungkinkan konsep atau strategi ini dapat dilaksanakan. Tren menunjukkan kebanyakkan pusat2 ini telah dan akan bercantum antara satu sama lain. Pembangunan kawasan perniagaan di sepanjang jalan2 utama juga menjadi faktor tambahan.

Jadi agak mustahil untuk menetapkan lokasi atau kawasan yang 'rigid' sebagai pusat2 perniagaan berdasarkan hierarki. Sistem hiererki yang menentukan kawasan2 khas untuk pusat perniagaan daerah, pusat perniagaan tempatan dan sebagainya disedari tidak sesuai untuk KL. Bagaimana mungkin untuk merealisasikan hierarki ini, atau untuk digunakan sebagai  panduan kawalan perancangan, kalau pembangunan berlaku terlalu cepat dan sempadan kawasan perniagaan semakin membesar dan bercantum antara satu sama lain. Ditambah pula, pembangunan  baru yang dirancangkan secara komprehensif selalunya mencadangkan komponen atau kawasan perniagaan yang luas.

November 13, 2010

Hidup Ni Perlu Banyak Bakul

Teringat kata2 Tan Sri Khalid semasa beliau masih memegang jawatan CEO Guthrie. Dia kata kita kalau nak selamat, setiap orang mesti ada banyak bakul. Bakul tu maksud dia sumber pendapatanlah. Kalau satu bakul rosak atau bocor, adalah bakul2 lain membantu.

Tidak dinafikan cabaran masakini makin besar untuk bergantung hanya dengan satu 'bakul'. Dengan kos hidup semakin meningkat sudah tentu keadaan akan menjadi lebih buruk kalau satu2nya bakul yang kita harapkan bocor atau tidak mampu menanggung beban yang diisi.

Walaubagaimana pun, untuk tambah bakul, ia juga perlu bergantung kepada keupayaan kita untuk mengendalikannya. Takut2 terlalu banyak bakul, semuanya tidak terurus. Akhirnya, masalah lain pula timbul nanti.

November 2, 2010

Hutang Pasti Dibayar


Menonton siri Biography - Mahathir di Astro dua hari lalu memberi banyak maklumat dan pengajaran berharga. Selain dapat memahami sedikit sebanyak latarbelakang dan ketokohan Tun, ada satu kisah yang diceritakan Tun agak menyentuh perasaan.

Klinik Maha milik Tun merupakan klinik swasta pertama diusahakan oleh doktor Melayu di Alor Setar. Maka ia menjadi kunjungan pilihan di kalangan orang Melayu. Pesakit2 ni kebanyakannya terdiri daripada petani dan pesawah yang berpendapatan rendah. Belanja ke Alor Setar untuk menaiki bas atau teksi agak membebankan bagi mereka. Bila sampai ke klinik duit hanya tinggal untuk tambang balik ke rumah. 

Lepas mendapat rawatan dari Tun, ubat diberi tanpa mampu dibayar mereka. Dengan muka sedih minta tangguh dulu bayaran dan janji akan bayar kemudian. Tun tak kisah, janji pesakitnya dapat pulih dari beban yang ditanggung.


Selepas dilantik jadi PM, ada orang2 yang tidak dikenali berjumpanya. Lalu menghulurkan duit RM5. Katanya, 'ini hutang saya pada Dr. masa terima rawatan kat klinik dulu'. Tun kata peristiwa ini amat menyentuh perasaannya. Sebak juga rasa dihati menonton part ni.

October 12, 2010

Disapa Raja Muda Perlis Di Mekah


Biasanya lepas solat asar, singgah sebentar kat Makkah Hilton Hotel. Buat window shopping. Kali ni cari jam tangan yang dipesan anak. Masa dok belek2 jam, tiba2 ada yang menegur. 'Nak beli jam ke ?'. 'Saja tengok2' jawab ku ringkas sambil berpaling ke arah suara yang menegur. Orangnya agak rendah tapi berbadan tegap. Aku pun menghulurkan tangan untuk bersalam.

Nampak mesra sungguh orangnya. Dia tanya lagi. 'Datang naik penerbangan ke berapa ?' 'KT 2' jawabku. 'Encik pula KT berapa ?' tanyaku pula. 'Saya datang dengan MH2' jawabnya. 'Ehhh.... lain pulak nombor penerbangannya' bisik ku dalam hati. Sambil tersenyum dia bisik pada ku, 'Saya ni Raja Muda Perlis'.

MasyaAllah tak kenal sungguh aku pada Raja Muda Perlis ni. Maklumlah, baginda ni tak macam Raja2 Muda negeri lain. Baginda jarang sungguh keluar kat tv atau surat khabar. 'Maaf tuanku saya tak kenal' kata ku jujur padanya. 'Tak apa' katanya.

Difahamkan lepas beberapa bulan kembali daripada ibadah haji tahun tu (2000), baginda ditabalkan sebagai Raja Perlis. Kawan2 kata, 'Kau patut hantar postcard ucap tahniah pada baginda.' selepas aku menceritakan kisah ni pada mereka.

October 11, 2010

Mekah & Madinah Destinasi Luar Negara Yang Pertama


Bercuti bersama keluarga ke luar negara memang sentiasa menjadi cita2 dan idaman. Rasanya setiap kali cuti sekolah, anak2 akan bertanya ke mana destinasi kali ini. Semua tempat kat Malaysia ni dah pergi kata mereka. Pantai, gunung, pulau, tasik semua dah dikunjungi. 'Tak kan nak pergi lagi ?' Soalan yang agak mencabar ego ku sebagai bapa. Baru ku sedar anak2 sekarang agak demanding. Lagi besar mereka, lagi pandai meminta.

Bincang punya bincang dengan isteri. Akhirnya keputusan terbaik dicapai. Anak2 ni tak pernah ke luar negara. 'Biar kita bawa mereka ke tanah suci.' bisik ku pada isteri. Cadangan ini diterima baik oleh semua. Lagi pun masa tu rezeki agak mengizinkan. Bila dengar nak pergi ke tanah suci, ibu ku pun nak ikut sama.

Bila tiba masanya, berangkatlah kami berenam ke tanah suci. Bersyukur pada Allah s.w.t bila melihat anak2 ceria dan tekun beribadah sepanjang berada di tanah suci. Walau pun cuaca agak panas, tiada sedetik rungutan keluar dari mulut mereka. Ibadah umrah sebanyak 7 kali dapat dilaksana. Pesan ku pada mereka, 'Berdoa dan mintalah sebanyak mana kat Allah s.w.t. semasa berada di tanah suci'. InsyaAllah akan dikabulkanNya.

October 6, 2010

Dilema Mengadakan Kenduri Kahwin Dalam Bulan Syawal


Ada beberapa perkara yang dapat dirumuskan apabila sedikit sebanyak terlibat dalam beberapa majlis perkahwinan yang diadakan dalam bulan Syawal ni. Yang jelas, kadar ketidakhadiran para jemputan agak tinggi. Dianggarkan sekitar antara 20 ke 30 peratus. Fenomena ini mungkin disebabkan oleh pertembungan antara majlis perkahwinan dan rumah2 terbuka yang diadakan serentak. Bagi mereka yang dah balik kampung pada musim raya, mungkin agak keberatan nak datang balik. Sebabnya, kehabisan cuti, kos dan tak larat nak drive jauh selepas menghadapi traffic jam pada musim hari raya.

Para jemputan yang datang pun kebanyakan tak makan banyak, Perut dah penuh makan di majlis2 rumah terbuka. Ramai yang datang lewat atau datang saje2 sekadar tunjuk muka untuk menjaga hati tuan rumah. Maka banyaklah nasi dan lauk pauk terlebih dan tak habis,

Perkara yang satu lagi ialah 'collection' tuan rumah agak merundum. Walau pun ini bukan yang diharapkan sangat. Maklumlah,  persiapan menyambut hari raya melibatkan kos yang tinggi sekarang ni. Jadi para jemputan yang datang pun menghulur mana yang termampu atau terbakilah. 

September 27, 2010

Terkial-kial Nak Habiskan Puasa 6


Dah masuk 17 Syawal, puasa enam masih tak habis buat lagi. Hanya dapat tiga hari setakat ni. Macam2 dugaan. Majlis open house tak putus2. Open house oleh kawan2, persatuan penduduk, masjid, surau dan macam2 lagi. Tak pergi nanti tak kena pulak. Bila dah pergi, kena makanlah. Mana boleh tahan dengan pelbagai juadah yang dihidangkan. 

Ada juga yang buat majlis perkahwinan dalam bulan raya ni. Kena pulak anak buah yang kahwin. Bila adik beradik dan saudara mara berkumpul, macam2lah dijamunya. Majlis berinai, nikah dan reception makan tiga hari berturut turut. Dugaan lagi. 

Lepas tu, majlis kenduri orang nak pergi haji pulak. Tahun ni ramai yang dapat pergi haji. Pak2 saudara, ipar duai dan kawan2 semuanya dah confirm tarikh pergi ke tanah suci. Semua dah jemput kenduri doa selamat. Makan lagi. 

Nampaknya dugaan dan cabaran selepas Ramadhan tidak kurang hebat. Bukan senang nak laksanakan puasa sunat ni. Walaupun hanya 6 hari diberi. Semoga Allah s.w.t  memberi kelapangan untuk melaksanakannya. Tinggal kurang dari dua minggu lagi untuk merebut peluang ini. Tak buat, tak dapatlah ganjaran yang dijanjikanNya. Moga kita tak tergolong orang2 yang rugi. Amin.

September 23, 2010

Kebakaran Di Desa Bestari


Pagi 21 September 2010, penduduk Desa Bestari dikejutkan bunyi siren kenderaan bomba menuju ke taman kami. Pada awalnya, agak menghairankan. Tak ada kilat atau guruh, elektrik rumah ku trip dua kali selang beberapa minit. Baru kami sedar sesuatu yang buruk sedang berlaku bila kenderaan bomba berhenti berdekatan rumah. 

Bergegaslah aku dan isteri bangun. Dengan muka tak bercuci dan hanya berkain pelikat terus keluar untuk melihat apa sebenar yang terjadi. Alangkah terperanjatnya kami, rumah No. 13 iaitu selang empat unit dari rumah ku sedang terbakar. Api nampak marak di ruang tamu. Bertanyakan kawan2 yang lebih awal  sampai sebab puncanya. Masalah lintar pintas diagakkan punca kebakaran. Tambah mereka lagi, tuan rumah panik dan lambat telefon bomba. Itu pun minta jiran sebelah menelefonnya.

Bomba ambil masa tak sampai 10 minit memadamkan api. Walabagaimana pun, kesan kebakaran nampak teruk juga. Habis ruang tamu musnah terbakar. Penghuni rumah malang ni baru menyewa. Rasanya tak sampai empat bulan. Kami pun belum sempat berkenalan. Setakat senyum dan berlambai tangan kalau nampak keluar masuk rumah setiap hari. 

Usia Desa Bestari lebihkurang baru 2 tahun. Kes kebakaran ini agak merisaukan. Apatalah lagi ia berlaku pada rumah yang agak baru dihuni. Tuan rumah tu pun tak buat apa2 renovation. Nampaknya kena tunggu laporan bomba untuk tahu punca sebenar. Semoga Allah s.w.t sentiasa melindungi kami semua dari malapetaka sebegini. Amin

September 20, 2010

Hampir 7 Tahun Mengaji Baru Khatam



Bermula pada tahun 2004, aku dan isteri belajar mengaji al-quran dengan Ustaz Ibrahim dari Taman Medan. Maklumlah last khatam masa budak2 lagi. Ilmu tajwid masa tu kurang. Cuma belajar dengan arwah Tok Aki aje. Bila Tok Aki dah tiada, tak adalah pergi mengaji lagi. Sampailah dah berkeluarga baru teringat nak belajar semula. Ada juga try2 belajar dengan tok imam kat masjid. Nampaknya banyak dugaan. Mengaji kat masjid lambat sikit rasanya. Sekali belajar cuma setengah mukasurat dapat dibaca. Kalau macam tu bila nak khatam.

Dengan Ustaz Ibrahim kami belajar mengaji berdua saja di rumah. Mengaji sekali seminggu. Cepat sikit dan boleh baca banyak. Bermula dengan muqadam hingga naik al-quran. Ustaz Ibrahim memang tegas semasa mengajar. Dia memang terkenal di sekitar Petaling Jaya dan Puchong. Ramai dah belajar dan khatam dengannya. 

Alhamdulillah, pada Oktober 2008 kami berdua habis membaca seluruh al-quran dengan tunjuk ajar Ustaz Ibrahim. Walaubagaimana pun, majlis khatam al-quran cuma diadakan pada 19 September 2010. Sebabnya, kami berpindah ke Desa Bestari sebaik saja tamat mengaji. Ustaz Ibrahim pun ada mengajar jiran kami di Puchong Indah. Bila depa sekeluarga tamat pada bulan Julai 2010, kami pun bercadang buat majlis khatam bersama di Desa Bestari lepas raya. Walaupun majlis khatam ni  ringkas, tapi sungguh bermakna bagi kami semua.

September 18, 2010

Tunggu Majlis Rumah Terbuka Baru Nak Ziarah ?


Selalunya majlis2 rumah terbuka mula diadakan pada minggu kedua bulan Syawal. Setelah semua warga kota pulang selepas puas berhari raya di kampung. Minggu2 seterusnya digunakan untuk beraya di bandar terutama bersama jiran2 dan sehabat handai. Maka pakat berebutlah buat majlis rumah terbuka. Katanya, senang jemput serentak. Sekali layan dan lebih meriah.

Ada isu timbul disebalik tren sebegini yang telah berlanjutan untuk beberapa tahun ke belakangan ini. Nampak seolah-olah macam jadi satu tabiat pulak. Kalau tak ada majlis rumah terbuka jawabnya tak datanglah jiran2 dan sebabat handai ni. Seakan-akan mengambil sikap 'wait and see'. Tunggu punya tunggu sampai habis bulan Syawal. Kena tunggu Syawal tahun depanlah nampaknya. Kan tak berapa manis jadinya ?

Sepatutnya, ziarah menziarah ni diteruskan. Tak payah tunggu dijemput. Talipon aje kata nak datang. Yang penting kita nak maaf-bermaafan dan dapat mengeratkan tali siratulrahim. Jenis juadah yang dihidangkan usah digaduhkan. Air sirap dan sedikit kuih raya sudah memadai. Hati pasti akan terasa lega bila segala dosa2 samada sengaja atau tidak disengajakan dah saling dimaafkan antara kita. Itulah antara matlamat yang nak dicapai pada bulan Syawal ni.

September 16, 2010

Bila Baby Rayyan Kemalangan


Sambutan hari raya tahun ni diserikan lagi dengan kehadiran Sallehuddin Rayyan. Baby comel, periang dan yang paling penting tak mudah menangis. Murah dengan senyuman. Baru mula nak merangkak sikit2. Semua orang boleh mencium, bermain dan mendokongnya. Tidak banyak karenah. Cuma merengek seketika bila perutnya dah mula kosong.

Berita kemalangan Rayyan sekeluarga berhampiran plaza tol Jalan Duta untuk pulang ke KL dari kampung memeranjatkan kami semua. Berita awal yang diterima mengatakan Rayyan tercampak keluar dari riba ibunya yang duduk di kerusi hadapan. 'Ya Allah !!' itu ucapan pertama terkeluar dari mulut. Dimaklumkan, Rayyan dimasukkan ke ICU HUKM  untuk pemeriksaan rapi. Ibunya patah tangan semasa cuba keluar dari kereta untuk mencari Rayyan. Selang beberapa jam, kami semua merasa lega. Dimaklumkan Rayyan selamat. Cuma luka dan calar2 di kepala dan beberapa bahagian anggota. Ibunya perlu dibedah untuk memulihkan tangan yang patah.

Kemalangan ini berlaku disebabkan rempuhan lori dari arah belakang yang kerosakan brek bila menuruni bukit. Masa tu sekitar pukul 7 pagi. Trafik dah mula sibuk untuk ke KL. Lori bermuatan jentera berat tu terhumban ke gaung. Pemandu dan kelindannya dikatakan cedera parah.

Meriba bayi atau anak kecil di tempat duduk hadapan memang tak dinafikan berisiko tinggi. Mereka digalakkan duduk di belakang atau menyediakan kerusi khas di kerusi hadapan. Bila berlaku kemalangan sebegini, barulah kita sedar betapa peraturan ini perlu sentiasa kita dipatuhi.

September 15, 2010

Status 'Ground Tenant' Memudahkan Orang Melayu Diusir


Beraya di rumah sanak saudara di Pulau Pinang kali ni disambut dengan topik hangat semasa. Rata2 nampak jelas orang Melayu Pulau Pinang mula rasa kedudukan mereka terancam. Kemarahan mereka diluahkan pada kerajaan negeri khususnya Lim Guan Eng. Satu demi satu premis perniagaan dan kampung orang Melayu dirobohkan. Agendanya ditafsirkan seperti mahu mengusir mereka dari Pulau Pinang.

Bila kes2 ni mula berlaku, aku teringatkan data2 pemilikan tanah semasa membuat kajian Pelan Induk Perda pada awal tahun 1990an dulu. Statistiknya memang memeranjat dan merisaukan. Hampir semua kampung2 Melayu yang dikajiselidik di Pulau Pinang mempunyai taraf pemilikan berstatus 'ground tenat'. Golongan ini membina rumah sendiri di atas tanah orang lain atas ihsan tuan tanah. Atau tanah telah dijual tapi pembeli masih membenarkan mereka kekal di situ. Sudah tentulah untuk sementara.

Hakikatnya, golongan 'ground tenat' ini seperti duduk di atas bom jangka. Bila2 masa boleh memusnahkan mereka. Ditambah pula, kerajaan negeri sekarang dilihat 'kurang bersimpati' pada orang Melayu. Mereka bertindak mengikut 'rules of  law'. Iaitu tuan2 tanah ada hak ke atas tanah mereka. Dengan potensi ekonomi yang besar dan sokongan kuat dari kerajaan negeri, sekaranglah masanya untuk memajukan tanah2 mereka. Bila 'land is State matters', tidak banyak yang boleh dibuat oleh kerajaan Persekutuan untuk membantu orang Melayu di situ.

Semoga kes ini menjadi iktibar kepada kita. Khususnya pemilik2 tanah. Janganlah mudah menjualnya. Buatlah perancangan rapi agar anak cucu tidak merana di kemudian hari.

September 14, 2010

Sayu Menyambut Hari Raya Bila Dua Ahli Keluarga Telah Tiada


Perjalanan awal pagi balik ke Kedah untuk beraya dikejutkan dengan panggilan telefon dari kakak di Melaka. Masa tu dah nak sampai Sungai Buloh. Dimaklumkan Pak Oteh meninggal kemalangan jalan raya di kampung. Dikatakan dia dilanggar kereta semasa menaiki motor untuk membeli daging. Rasanya baru berjumpa Pak Oteh masa kenduri nak menyambut Ramadhan di rumah mak. Barulah aku teringat, Pak Oteh nampak lebih banyak menyendiri dan tak banyak bercakap dalam majlis kenduri tu. Tak seperti biasa, Namun apa kan daya, tak dapat nak menziarah arwah Pak Oteh di Melaka. Hanya surah Al-Fatihah yang dapat dibaca untuknya.

Selang sehari iaitu di malam raya, satu lagi berita kematian diterima. Kali ni Mak Andak di Pulang Pinang pula telah pulang ke rahmatullah. Mak Andak dah lama sakit. Semasa hidupnya kalau berjumpa, mesti disapanya aku, 'Bila nak mai Penang ?'. 'InsyaAllah' jawab ku ringkas. Jawapan yang tak pasti bila dapat ke sana. Selalunya kami sekeluarga akan ke rumah Mak Andak di Sungai Nibong bila menyambut hari raya di Kedah. Kali ni lepas aje solat hari raya, kami berkonvoi ke rumah arwah Mak Andak. Sempatlah kami mengiringi jenazah Mak Andak  hingga ke masjid dan ke kubur.

September 13, 2010

Ketidakselesaan Seketika Yang Mengeratkan Ikatan Kekeluargaan


Beraya di kampung memang meriah. Semua adik beradik balik walaupun ayah dan ibu telah lama tiada. Dah jadi tradisi. Selepas solat sunat raya mesti menziarah pusara ayah bonda. Bawa bersama anak cucu yang kebanyakannya tak sempat bertemu datuk dan nenek mereka. Sekurang-kurangnya bacaan Al-Fatihah dapat disedekahkan.

Suasana riuh rendah menghidupkan rumah arwah ayah yang selama ni sunyi. Masing2 pakat berebut channel semasa bersembang. Diselangi gelak ketawa dan senda gurau antara ahli keluarga. Kadang2 sampai lewat malam. Rasa macam tak puas2. Ada saje topik yang dibualkan. Walhal, masing2 duduk kat KL dah biasa berjumpa. Anak cucu pun sibuk bemain-main dan berlari ke sana sini.

Bayangkanlah hampir 40 orang ahli keluarga balik ke kampung serentak. Rumah arwah ayah hanya ada tiga bilik tidur dan dua bilik air sahaja. Hampir setengah jam digunakan hanya untuk menyusun tempat tidur. Kadang2 pakat berebut tempat tidur. Kena Pak2 saudara yang berdengkur kuat . Tak lena lah semua dibuatnya. Macam2 lagu. Time nak mandi dan ke tandas pun sama. Kena beratur. Part nak makan pula kena pandai berebut. Siapa lambat dan malu2, dapat sisa lah jawabnya.

Semua keadaan tidak selesa ini dihadapi setiap tahun. Ia hanya seketika. Antara dua ke tiga hari saja. Yang penting adik beradik dapat berkumpul dan menyambut hari raya kat rumah arwah ayah. Anak2 pula dapat bermesra dengan sepupu2 mereka. Masa yang singkat ini digunakan semaksimum mungkin untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan. Terasa puas dalam hati bila suasana sebegini dapat dilalui setiap tahun.

September 7, 2010

Cabaran Memandu Balik Kampung Pasti Ada


Nampaknya musim balik kampung untuk berhari raya telah bermula. Sudah hampir sebulan kita menunggu saat ini. Ia adalah pengalaman yang perlu dilalui oleh warga kota untuk meraikan hari raya setiap tahun. Cabaran memandu tidak dinafikan amat besar. Walaupun dah ada lebuhraya. Kalaulah tak ada lebuhraya, tak tahu lah macamana agaknya.

Bak kata ustaz2, sebelum bertolak keluar dari rumah, buatlah beberapa ibadah sunat. Digalakkan buat solat sunat musafir dulu. Tujuan untuk keselamatan kita dan harta yang ditinggalkan sementara. Jangan lupa baca doa naik kenderaan. Kita baca dan ahli keluarga aminkan. Mintalah jiran2 sebelah yang tak balik kampung, tolong2 tengokkan rumah kita.

Banyak2 bersabar semasa memandu. Ikut had laju. Biasalah musim raya. Jumlah kenderaan berlipat ganda. Jangkamasa diambil sampai balik ke kampung mestilah lebih lama daripada biasa. Kalau rasa mengantuk, rehat dulu sebentar. Semuanya terletak ditangan kita semasa memandu. Berkat solat dan doa kita, insyaAllah dilindungiNya kita dari apa2 kesulitan di sepanjang perjalanan.

September 3, 2010

Moga Kita Lulus Dengan Cemerlang


Bulan tarbiyah atau latihan kita nampak tinggal beberapa hari lagi saje. Lima ke enam hari saja lagi InsyaAllah, kita sampai ke garisan penamat Ramadhan. Peringkat awal dan separuh akhir dah berlalu. Dikatakan sekarang ni kita tengah berada di peringkat finallah (10 hari terakhir). Bagi Allah s.w.t  lagi ramai yang berada di peringkat final, lagi dialu-alukanNya. Hadiah2 yang disediakanNya banyak dan lumayan belaka. Tak macam pertandingan buatan manusia. Hanya dua pemain atau dua pasukan saja yang layak berada di peringkat ini. Itulah tanda kebesaranNya.

Kata ustaz2, perasaan yakin nak dapat result cemerlang dalam ujian ni dah boleh mula dirasakan sikit2. Antaranya, semangat beribadah semakin kuat. Rasa ringan saja nak ke masjid. Tak rasa malas dan bermacam-macam halangan. Bangun bertahajjud pun rasa mudah. Pantang lapang, al-quran mesti  nak dibaca. Perasaan seronok dan kelazatan beribadah dapat dirasakan. Maklumkan, dikatakan beribu-ribu malaikat turut beribadah bersama kita. Meriahlah suasana.

Tambah ustaz lagi, banyakkanlah berdoa. Mohon Allah s.w.t menerima amalan puasa kita. Antara ayat2 al-quran yang digalakkan dibaca sebagai doa ialah : Surah Ibrahim (Ayat 37) dan Surah Al Aaraf (Ayat 43). Matlamat puasa kita ialah untuk menjadi insan yang  BERTAQWA. Itulah keputusan cemerlang yang dicita-citakan.

August 30, 2010

Buat 10 Amalan Pada 10 Terakhir Ramadhan


Malam ni InsyaAllah masuklah kita ke fasa ketiga puasa. Iaitu hari2 10 terakhir Ramadhan. Dikatakan ia waktu paling berkat. Macam2 ditawarkan. JannahNya, yang menjadi matlamat setiap insan di alam akhirat nanti. Malam Lailatulqadar lagi. Kalau tak rebut, tak taulah. Tahun depan tak pasti kita sempat jumpa lagi peluang sebegini.

Buatlah perancangan dan checklist untuk beramal pada hari2 terakhir ini. Antaranya :

1.   Kalau sebelum ni buat 8 rakaat Tarakwikh buatlah 20 rakaat pula;
2.   Pasti kita khatam Al-quran seminimumnya sekali;
3.   Kalau sebelum ni tak bersahur atau bersahur awal mulakan bersahur
      di penghujung malam;
4    Buat solat2 sunat malam (antaranya Tahajjud, Tasbih, Taubat &  Hajat) .
      Kalau tak di masjid, di rumah pun boleh;
5.   Banyakkan bersedekah seperti ke masjid.
      Bentuk sedekah tidak sepertinya duit saje;
6.   Jamulah orang2 berpuasa walau dengan sedikit juadah pun.
      Paling dekat jiran2 sebelah;
7.   Minimumkan buat dosa2 kecil melalui pancaindera.
      Sentiasa alert. Kalau boleh sifarkan.
8.   Sentiasa basahkan bibir dengan zikir.
9.   Banyakkan solat berjemaah; dan
10. Banyakkan berdoa.

Bak kata ustaz2 kalau tak boleh buat semua, jangan pulak tinggalkan semua. Tambah mereka lagi, 'Kamu buat, kamu dapat.'

August 29, 2010

Kesabaran Teruji Di Pintu Masuk Ke Tanah Suci


Rasanya lokasi yang paling mencabar kesabaran untuk ke tanah suci ialah di pintu masuknya. Iaitu bila kaki buat pertama kali memijak tanah Arab apabila turun dari kapalterbang. Sememangnya suhu bumi Arab yang panas memberi ujian pertama. Itu tidaklah menjadi rungutan. Kena biasakan saja. Yang nak dikisahkan ni ialah kerenah kakitangan kastam dan imigresennya semasa memberi khidmat.

Nampak macam tak ada urgency langsung ketika memeriksa pasport. Walaupun jemaah yang sampai beratus orang ramainya. Kadang2 bersembang antara satu sama lain. Kadang2 angkat kaki meninggalkan kaunter entah ke mana. Sering kali meninggikan suara mengarahkan jemaah beratur. Tak dinafikan jemaah dari  negara2 Arab kebanyakannya kurang berdisplin. Asyik nak potong queue aje. Tingkah laku mereka menambah burukkan keadaan. Tiba2 kaunter ditutup. Bila dah nak masuk waktu berbuka puasa, disuruhnya semua jemaah yang belum diperiksa pasport duduk di atas lantai. Lebih sejam menunggu baru kaunter dibuka semula.

Ada jemaah dah mula merungut, 'Patutlah Arab2 ni tak pernah menang perang dengan Israel. Buat kerja main2 dan lembap...' Tersenyum aku mendengarnya. Mungkin inilah antara ujian dari Allah s.w.t kepada setiap insan yang nak ke tanah suci. Kesabaran dah diuji di pintu masuknya lagi.

August 28, 2010

Qiyamullail di Masjidilharam Lengang ?


Merasai berqiyamullail di Mekah adalah antara tujuan utama ke tanah suci pada bulan puasa. Kali ni pergi bersama isteri. Ikut jadual, mungkin dapat dua tiga malam buat ibadah qiyamullail sebelum balik ke tanah air. Ibadah ini bermula pada 10 terakhir Ramadhan. Diceritakan orang, suasananya mengalahkan musim haji. Berjuta jemaah akan ke Masjidilharam pada tengah malam untuk bersama menunaikan ibadah qiyamullail secara berjemaah.

Isterku amat teruja dan tak sabar2 menantikan malam itu. Setelah beberapa hari di Mekah, ibadah qiyamullail dikatakan akan bermula. Pakat kira sendiri2 malam nilah agaknya akan mula. Tanya2 juga dengan jemaah lain. Depa pun kata 'ye lah agaknya'.

Kami pun setkan jam pukul 3.00 pagi. Nak pastikan akan terjaga. Bila alarm berbunyi, bangun dan bersiap2lah ke masjid dengan penuh semangat. Perjalanan dari hotel ke masjid lebihkurang 10 minit. Bila sampai masjid tepat pukul 3.30 pagi. Yang menghairankan masjid lengang. Jemaah yang ada ramai yang masih tidur. Ada yang baca quran dan buat solat2 sunat. Bisik kat isteri, 'tunggulah sekejap lagi'. Kami pun buatlah solat sunat dulu.  Bila jam tunjuk pukul 4.00 pagi, 'Salah kira hari nampaknya kita ni' kataku pada isteri. Kami pun pakatlah buat qiyamullail sendiri2. Lepas tu balik hotel untuk bersahur. Walaubagaimana pun, ibadah qiyamullail berjemaah dapat juga kami buat untuk beberapa malam di Masjidilharam. Pengalamannya memang seronok dan menginsafkan.

August 27, 2010

Pastikan Kita Sentiasa Berhubung Dengan Allah SWT


Tazkirah malam semalam disampaikan oleh seorang ustaz muda dari UKM. Maklumlah bila orang muda beri tazkirah nampak kurang menyengat sikit. Ada jemaah nampak sedikit gelisah dan tak berapa fokus mendengar apa yang disampaikan ustaz. Kadang2 depa dok pakat bersembang. Ada juga yang angkat kaki keluar sekejab. Ambil angin.

Tazkirah ni sempena menyambut Nuzul Quran. Walaubagaimana pun, tak banyak disentuh pasal topik ni. Apa yang dapat ku ambil point yang penting dari ustaz ialah betapa pentingnya manusia ini sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t. Kaedah hubungan ialah melalui doa. Seseorang insan tu akan dicop bongkak dan ego kalau tidak berdoa. Terutama selepas solat. Yang tak solat tu, lagilah. Dikira tak ada hubungan langsung.

Allah s.w.t bukan tak tau pelbagai masalah yang hamba2Nya hadapi. Kecil atau besar masalah tu diketahui semua. Itu kuasaNya. Dia hanya menunggu hamba2Nya meluahkannya. Lagi banyak yang diluahkah lagi suka Dia. Lagi banyak yang dipohon, lagi gemar Dia. Bila selalu berhubung dengan Nya maka kenallah Dia akan kita. Hingga dikatakan doa itu boleh mengubah qada' yang bakal kita terima.

Makbul atau tak makbul doa tu usah difikirkan sangat. Itu urusan dan hak Allah s.w.t. Kadang2 dimakbulkan terus. Kadang2 tak dimakbulkan. Ustaz kata mungkin ditangguhkan. Yang penting hamba2 perlu ada perasaan baik sangka dengan Penciptanya. Jangan cepat kecewa bila doa nampak tidak termakbul. Yang penting selalulah berdoa. Ia kaedah yang paling mudah berhubung dengan Allah s.w.t.

August 26, 2010

Menjadi Senior Consultant Pun Ada Dilemanya


Setelah lebih 25 tahun terlibat di dalam bidang perundingan perancang bandar ini banyaklah pengalaman diperolehi. Yang seronok ada dan yang tak berapa seronok pun ada. Mula kerja dengan orang, Bila rasa agak yakin beroperasi sebagai freelance. Nak buka company sendiri malas. Tak pandai nak lobi melobi untuk dapat projek. Lebih selesa bergerak cara sendiri2. Bantu kawan2 mana yang memerlukan kepakaran sedikit yang kita ada. Alhamdullillah, setakat ni rezeki sentiasa ada. Tak pernah miss soru lah kata orang.

Basic rate yang dicaj pun naik beransur ansur ikut tahun. Semuanya ikut jadual  gaji MOF yang ditetapkan berdasarkan tahap akdemik dan bilangan tahun pengalaman. Lama kelamaan gaji asas pun naiklah. Yang terbaru MOF naikkan sampai 20%. Baik sungguh hati depa. Mungkin baru sedar betapa pentingnya khidmat perancang bandar ni.

Tapi di sebalik berita baik ni ada isu yang agak tak menyenangkan. Terutama bila MOF buat stail open tender atau bidding bagi setiap projek. Dulu buat direct nego tak jadi masalah. Dengan cara baru ni lebihkurang 5 ke 10 firma dijemput hantar proposals. Kadang2 lebih. Taulah government, proposal yang paling rendah kosnya selalu yang dipilih. Nak jimat duit kerajaan, katanya. 

Firma2 perunding ni mulalah cari cara2 dapat menghasilkan kos terendah. Salah-satu caranya kurangkan bilangan senior consultant dalam team. Pengalaman ahli2 pasukan kajian tidak lagi menjadi kriteria utama. Senior2 consultant ni mula rasa terpinggir. Ruang dan peluang nak dipelawa makin menipis. Kadang2 strategi ni menjadi. Tapi tak selalunya berjaya. Ada juga kos terendah tak dapat projek. Pengalaman dan kualiti itu selalu berganding sama. Apatah lagi bila melibatkan khidmat perundingan.

August 24, 2010

Tip Menentukan Malam Lailatulqadar ?


Diceritakan ustaz ni dalam tazkirahnya malam semalam, bahawa pada zaman Nabi s.a.w. ada seorang insan ni tak pernah terlepas beramal pada malam lailatulqadar. Aku lupa nama insan ini kerana tak bawa buku nota dan pen ke masjid. Tiap2 tahun pada bulan Ramadhan insan ini cukup bernasib baik dapat berjumpa malam yang teramat berkat ini. Sungguh hebat dan bernasib baiknya dia. 

Tambah ustaz ni lagi, ada tip ditinggalkan insan ini. Mungkin untuk yang percaya dan nak mengamalkannya. Apa tipnya ? Malam2 lailatulqadar yang ditemui insan tersebut selama ini selalunya bersamaan dengan hari mula puasa. Maknanya, hari mula puasa tahun ini ialah pada hari Rabu (11 Ogos 2010). Maka hari2 10 terakhir yang jatuh pada hari Rabu ialah 8 September 2010 atau bersamaan 29 Ramadhan 1431H. 

Kata ustaz tu, terpulanglah. Nak percaya pun boleh, tak percaya pun tak apa. Yang paling senang, beramallah tiap2 malam terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan. Berusaha dan carilah malam yang dijanjikan kelebihan seperti beramal sebanyak 1,000 bulan ini. Tawaran ni datang pada bulan Ramadhan. Rugi besar kalau terlepas begitu sahaja.

August 22, 2010

Harap2 Kali Ni Jadilah

Pelan ini hanya hiasan


Hati ni rasa berbelah bagi bila timbul balik berita projek tambak laut Kuala Perlis. Nak percaya ada, tak nak percaya pun ada. Maklumlah, projek sebegini dah lama dirancang. Kalau ikut jadual dulu, tahun 1996 dah siap pun semuanya. Sekurang-kurangnya dah jadilah macam Bandar Hilir di Melaka. Bila tak dibuat, macam2 alasan terdengar. Ekonomi melesetlah, pantai Kuala Perlis tak sesuai tambaklah dan sebagainya. Harapan kerajaan negeri dan rakyat jadilah impian kosong.

Kali ni nampak pemajunya yakin sungguh. MOU dah disign. Dengan modal pelaburan RM130 bilion bukanlah sedikit. Sampai jambatan Langkawi-Kuala Perlis pun nak dibinanya. 'Royal Western Coastal Corridor' (RWCC) digelar projeknya. Semua ada. Pelabuhan, kawasan perumahan dan industri teknologi tinggi. Sudah tentu ia akan mengubah Kuala Perlis kalau dapat disiapkan seperti dirancang.

Nampaknya segala dasar dan strategi perancangan berkaitan Negeri Perlis terpaksa dibuat perubahan.  Untuk mengambilkira cadangan projek RWCC ni. Tugas2 mengubah ni tak jadi masalah. Ia setakat laporan dan pelan2. Yang perlu dipastikan RWCC akan jadi kenyataan. Rakyat Perlis dah macam lali cerita2 projek mega untuk Kuala Perlis ni. Harap2  lepas 10 ke 20 tahun dari sekarang tak ada lagi komen2 sinis terdengar. 'Pekan Kuala Perlis nampak dok macam tu je !'

August 21, 2010

Bila YB Tak Muncul2


Nampak ceria dan bersemangat di wajah Tuan Nazir bila mengumumkan YB akan datang berbuka puasa, bertarawikh dan moreh bersama jemaah masjid. Risalah majlis diedarkan oleh AJK kepada semua jemaah sebagai jemputan susulan. Makluman masjid ni dah lama tak terima kehadiran orang2 besar. Sudah tentu perasaan tu amat teruja.

Persiapan dah lama dijalankan. Tempat letak kereta dan motorsikal berbumbung baru dibina. Ruang solat utama dan perabut yang ada dikemas rapi agar nampak teratur. AJK dan masyarakat tempatan bergotong royong menyediakan masakan dan juadah. Kari kambing jadi menu utama. 

Bila senja hampir tiba, jemaah tempatan dan sekitar mula datang berduyun duyun. Abang2 RELA ditugaskan mengawal trafik. Jumlah kehadiran memang lebih ramai dari biasa. Orang Besar Daerah, Tok Penghulu dan pegawai2  JAIS antara tetamu kerhormat sudah tiba. Nampaknya YB masih tak muncul2 juga. Bila masuk waktu berbuka, semua pakat makan dah tak pandang2 belakang lagi.

Sebelum masuk waktu Isyak, Tuan Nazir mengumumkan YB masih tak sampai. Sebab2nya tidak dinyatakan. Solat fardhu dan sunat tarawikh diteruskan tanpa YB. Lepas empat rakaat tarawikh, Pegawai Pengurusan Masjid menyampaikan tazkirah menggantikan YB. Wajah  Tuan Nazir dan  jemaah sesekali berpaling ke pintu utama masjid. Kot2 YB muncul nanti. Di akhir solat, Tuan Nazir memaklumkan dengan nada yang agak kecewa. 'Kita boleh merancang, Allah s.w.t. juga yang menentukannya.' Agaknya bila YB dapat datang menjenguk kami ?

August 20, 2010

Beza Solat Tarawikh Dulu & Sekarang


Dulu solat tarawikh ni macam ibadah main2. Jemaah di saf2 belakang boleh bergurau senda masa bersolat. Main tarik2 kain pulak. Sampai terlondeh kawan di depan dibuatnya. Tapi jemaah sekarang nampak dah sedar dan lebih berilmu. Khusyuk sampai habis solat. 

Dulu Pak2 Imamlah pakat pulun jadi imam sampai 23 rakaat. Hanya surah2 lazim aje dibaca. Kadang2 berulang2. La ni rata2 masjid pakai imam2 muda al-hafiz. Kalau tak habis 30 juzuk pun, sekurang-kurangnya separuh quran dapat dihabiskan. Dapatlah imam2 masjid berehat sikit pada bulan Ramadhan ni.

Dulu kanak2 lebih berdisplin dan patuh. Ikut sama2 mak bapak bersolat tarawikh. Sekarang ni nampaknya kanak2 lebih ramai di luar masjid. Sibuk main basikal dan mercun. Tunggu juadah moreh yang akan dihidangkan.

Cuma yang sama dulu dan sekarang ialah saf2 bertambah maju ke depan bila tiba akhir2 Ramadhan. Masing2 dah mula sibuk nak sambut hari raya.

August 19, 2010

Rezeki Bersahur Tetap Ada


Sampai di Mekah dari Madinah dah hampir pukul 3.00 pagi. Pakat dengan kawan2 terus buat umrahlah senang. Memandangkan badan masih bertenaga, kami pun terus ke Masjidilharam untuk menyempurnakan ibadah umrah. Keadaan agak sibuk dan ramai jemaah lain yang ikut sama. Akhirnya, kumpulan kami terpisah. Masing2 buat ibadah umrah sendiri2. Semuanya dah beberapa kali ke tanah suci. Taklah risau sangat.

Jam di Masjidilharam menunjukkan pukul empat lebih bila aku selesai mengerjakan ibadah umrah. Nak balik bersahur kat hotel mungkin tak sempat. Ke Hilton Tower lah dituju. Mudah2an ada makanan yang boleh dibeli. Nampaknya hanya satu kedai makanan 'fast food' aje dibuka. Jemaah sedang berebut rebut membeli makanan. Pak2 Arab ni biasalah. Tak tau nak beratur. Keadaan menjadi kelam kabut dibuatnya. Saiz badan kita yang kecil ni tak setanding mereka. Akhirnya, kedai tu ditutup. Pekerja2nya pun nak bersahur juga. Terpinga pinga aku dan jemaah lain yang belum dapat beli apa2. Nampaknya kena puasa lalu lah jawabnya. Tiba2 datang Pak Arab terus hulurkan sebungkus makanan dari kedai tu. Dia kata dah terlebih beli. Aku pun berikan 5 Riyal kat dia. Bersahurlah aku di kaki lima kedai tu sambil menunggu solat subuh.

August 18, 2010

Juadah Sedekah Kembali Semula


Duduk berbaris menunggu berbuka puasa di dalam Masjid Nabi s.a.w. menimbulkan suasana meriah bercampur insaf dalam hati. Betapa sunnah Rasullullah dipraktikkan sebaik mungkin. Dengan hanya kurma, roti, yogart dan air zam-zam menjadi juadah rutin. Bukan nafsu perut yang dilayani semasa berbuka nanti. Kalau nasib baik dapatlah teh panas Arab yang dibawa jemaah tempatan.

Aku memang tak suka yogart. Apatah lagi yang sejuk pulak. Mungkin masalah perut ni tak boleh makan benda2 sejuk. Apatah lagi waktu berbuka puasa. Nanti terkeluar semula semuanya. Yogart yang ada di hadapan, ku sedekahkan pada jemaah sebelah. Dia tersenyum tanda menghargaiinya. Aku perhatikan yogart tu disedekah pula pada jemaah sebelahnya. Memanglah bersedekah tu digalakkan terutama dalam bulan Ramadhan. Pahala orang yang berpuasa tu dapat kak kita juga. Yogart yang ku sedekah tu nampaknya tak duduk diam. Lepas satu jemaah ke satu jemaah. Akhirnya, jemaah yang menerimanya di hadapan  ku menyedekahkannya pada aku. Besar sungguh  kuasa Allah s.w.t. Kalau dah ditentukan itu rezeki kita, terima aje lah. Jangan ditolak. Yogart tu pun aku bawa balik kat hotel. Tunggu hilang sejuknya barulah dimakan.

August 14, 2010

Tiba2 'Rabun' Di Masjidilharam


Kisah ni terjadi pada isteri ku semasa mengerjakan ibadah haji 2002. Ringkas aje ceritanya. Tapi agak melucukan. Selalunya sebelum masuk waktu, quran akan dibaca. Alangkan terperanjatnya dia, tiba2 matanya menjadi rabun. Halaman al-quran tidak jelas di mata. Isteri ku jadi panik. Macam nak menangis rasanya. 'Adakah Allah s.w.t. nak menghukum kesalahan2 ku ?' Terbisik di dalam hatinya. Depan Kaabah pulak ni. Teramat gundah gulana perasaannya. Nampaknya kena cepat2 bertaubat dan mohon ampun pada Dia. Itulah yang telintas di dalam hati.

Dalam keadaan yang 'meruncing' itu, dibukanya cermin mata yang dipakai tadi semasa nak baca al-quran. Tergelak sendiri di dalam hati bila tengok cermin mata tak berlensa lagi. Dah tanggal rupanya. Patutlah pandangan tak jelas. Lega rasa di hati. Kawan2 jemaah kat hotel penginapan pakat gelak bila diceritakan kisah ini.

August 12, 2010

Perunding Rancangan Pembangunan Bakal Dikuasai Wanita ?


Kehadiran kaum wanita dalam pasukan perunding amat ketara di dalam setiap sesi mesyuarat samada mesyuarat antara perunding ataupun mesyuarat pembentangan projek kepada jawatankuasa. Tidak dinafikan pada masa ini perunding utama lebih ramai terdiri daripada kaum lelaki. Contohnya, daripada sepuluh ahli pasukan perunding adalah dua ke tiga wanita. Pada masa ini, ia bukan isu pun.

Yang nak ditimbulkan ni ialah berkaitan perunding sokongan. Rata2 perunding utama membawa pegawai wanita bersama. Katanya susah nak dapat staff lelaki. Pegawai2 muda wanita ni lebih tekun dan berdisiplin.  Mereka tak kisah kena tulis report tebal2. Manakala, staff lelaki lebih suka kepada projek 'plan submission'. Dengan erti kata lain, kerja2 design dan penyediaan pelan tataatur. Suasana yang serupa boleh juga dilihat di kalangan perunding sektoral. Lebih ramai staff wanita yang dibawanya semasa mesyuarat.

Sekiranya senario ini berterusan sudah pasti dalam masa sepuluh tahun akan datang kaum wanita akan menguasai profesion perunding perancang bandar. Khususnya projek berkaitan penyediaan rancangan2 pembangunan. Pada masa ini pun kita boleh lihat majoriti perunding sokongan wanita yang mempunyai pengalaman bekerja lebih lima tahun sudah mula mengambil alih atau sekurang kurangnya menjadi pembantu utama kepada Ketua Perunding.

Nampaknya bos2 firma perunding kenalah pandai2 membahagi kerja. Mungkin buat sistem rotation di kalangan pegawai2nya. Biar kumpulan perancang bandar muda ni dapat pengalaman sama. Samada kerja2 menyediakan rancangan pembangunan maupun layout plan. Lepas 10 ke 15 tahun tak kira lelaki ke wanita, pengalaman di dalam dua2 bidang dapat dikuasai mereka. Taklah pada tahun 2030 nanti kaum wanita membentuk majoriti perunding rancangan pembangunan. Yang lelaki pulak tertumpu di dalam projek 'Plan Submission' aje. Fikir2 kan!!