January 26, 2014

Nenek


24 Januari 2014 denyutan jantungnya terhenti. Tepat pukul 6 petang di Hospital Besar Melaka. Tak ada sakit yang diderita. Cuma usia 100 tahun 'cukup' diberi Allah swt untuknya bernafas di dunia ini. 

Nenek dikenali orang kampung dengan gelaran Nek Nah. Nama sebenar Margina binti Mat. Lahir pada 13 Oktober 1914. Tak sangka sama tarikh lahir ku. Tak pernah tau selama ni. Walaubagaimana pun, tahun kelahirannya dipercayai lebih awal. Maklumlah orang dulu2, lambat dapatkan surat beranak.

Dipisahkan adik beradik apabila Nenek diserah pada orang lain sebagai anak angkat sejak kecil lagi. Kehidupannya agak sunyi. Suaminya meninggal dunia ketika usia masih muda. Kami pun tidak berapa rapat dan mengenali  adik beradiknya yang lain. Arwah Abah satu2 anaknya. Walaupun sebagai anak angkat. Hanya seorang dua abang dan adiknya yang dapat kami jumpa kalau ada kenduri kendara. Kami sekeluarga dan jiran2 sekampung tempat Nenek menumpang kasih sepanjang hayatnya.

Di kalangan kami adik beradik, Nenek dikenali sebagai seorang yang garang. Cepat marah kalau ada yang tak digemarinya. Aktif sebagai tukang jemput kenduri kahwin. Merata kampung diroundnya menyampaikan hajat tuan rumah. Kuat melatah. Sering diusik sebagai gurauan  kalau berkumpul kalangan sekampung.


Walaupun bukan orang berharta, Nenek mampu membina rumah sendiri hasil dari titik peluhnya. Cuma kebahagian memiliki rumah sendiri tidak dapat dirasa lama. Tak sampai berapa tahun sahaja.

Walaupun bukan orang ternama, nama Nenek disemadi di sebatang lorong masuk ke rumahnya. Menghormati usianya sebagai warga desa tertua.


Semoga roh Nenek dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang2 yang soleh. Al Fatihah.