December 20, 2012

Trip ke USS Part 2 : 7 Jam Yang Menghiburkan

Pukul 12 tengahari baru sampai USS dengan menaiki bas dari JB. Kira dah rugi 2 jam. Sebab USS buka pukul 10 pagi. Kami ada 7 jam nak meneroka kehebatan USS yang popular ni. Tak tau sempat ke tidak nak round habis. Dengan ramainya orang. Maklumlah musim cuti sekolah.

Apa2 pun, ambil kesempatan posing2 depan USS dululah.


Tinjau2an awal suasana dalam kawasan USS. Menarik dan meriah.


Tengok cara2 pengarah tersohor Steven Spielberg buat special effects dalam filem2nya di sini. Hebat.


Transformer Ride 3D. Sebelum ke sini, ramai bagitau yang ini paling best. Selepas mengalaminya. Memang tak dinafikan. Puas mengelak serpihan kaca, besi, percikan api dan sebagainya. Sampai terantuk kepala antara satu sama lain. Kita bagai terperangkap dalam peperangan robot2 gergasi ni. Bagi aku setiap pengunjung wajib menikmati kehebatan teknologi 3D ini. Kalau tidak rugilah jawabnya.


Revenge of the Mummy. Bayangkan naik roller coaster dalam suasana gelap gelita. Kita tak dapat jangka apa akan berlaku seterusnya. Ni yang menarik game ni.


Roller Coaster. Biarlah anak2 saja yang mencubanya. Takut degupan jantung terhenti di atas nanti.


Antara persembahan2 jalanan yang memeriahkan suasana.


Nak tengok monster2 menyanyi rock ? Di sini tempatnya. Bagi aku yang dah separuh abad ni, persembahannya okey cuma sound system agak membingitkan.


Kalau takut basah jangan duduk barisan hadapan atau bangku warna biru. Persembahan Water World padat dengan aksi2 percikan air untuk bergurau dan mengusik penonton.


Satu lagi pengembaraan yang memerlukan kita pakai baju hujan kalau takut basah. Menyusuri sungai dan jeram di  The Lost World.


Kalau nak rasa tempias air liur Si Donkey, kegelian spiders yang merayap dan gegaran kereta kuda jangan  ketinggalan menontoh persembahan Shrek 4D Adventure di dalam Istana Far, Far Away.


Yang ni je tak sempat nak masuk. Dah lewat. 


Tolak berhenti makan dan solat, 7 jam rasa sekejap saja di USS. Nasib baik beli tiket express. Tak perlu beratur untuk ke setiap game. Tunjuk tiket terus dapat masuk. Sebelum keluar belilah sedikit cenderhati seperti T-Shirt, globe USS dsb untuk kenangan.

December 18, 2012

Trip Ke USS Part 1 : Ditinggal Bas


Dah janji dengan anak lelaki ku. Kali ni turn dia melancong pulak. Trip ke Guilin dulu dia tertinggal disebabkan tak cuti. Nasib baiklah dia berhajat yang dekat2. Ke Universal Studios Singapore (USS) je. Saja2 offer ke Disneyland Hong Kong. Dia tak mau. Bagus punya budak.

Suruh Mama dia check dengan ajen pelancongan. Berlagak juga depa ni. Nak ambil package bersama hotel di USS. Hotel Michael, Hard Rock Hotel, Festive Hotel dan lain2. 5 star hotel tu. Tuu dia... hampir RM5,000. Belum masuk petrol, tol, makan dsb. Boss kata tak jadi. Over budget. Booking hotel kat JB je. Kira punya kira, dapat save lebih dari 50 peratus dari duduk hotel di USS.

Sampai di JB, tanyakan shuttle khas ke USS dari hotel. Ada, tapi cajnya RM480 pergi balik. Mahallah. Tak jadi. Decide naik bas sajalah. Cuma naik bas dari JB ni penatlah sikit. Kena pergi Terminal Bas Sentral Kotaraya. Nasib baik tak jauh dari hotel. Ada bas khas terus ke USS. Sejam satu. RM5 je tiketnya. Kena turun bas dua kali. Satu check passport di Imigresen Malaysia dan yang kedua di sebelah Singapura. Dalam bas sempat bersembang dengan seorang pekerja USS yang berulang alik setiap hari dari JB. Katanya, 'Rugi je duduk hotel di USS. Bayar mahal2 hanya untuk tidur. Sehari suntuk kita habiskan masa berhibur di USS.' Betul juga cakap dia. Mengesahkan aku buat keputusan yang betul.

Sampai di USS terus beli tiket bas balik ke JB. Kali ni kena bayar dalam SGD5 pulak seorang. Ceria dan teruja anak lelaki ku bila dah nampak USS depan mata. Part2 hiburan kat USS ni aku cerita kemudian. Sampai lebihkurang pukul 8 malam kami pun bergegas ke terminal bas. Lega. Ada bas yang dah sedia menunggu. Kena turun dua kali lagi seperti masa datang pagi tadi untuk check passport. Macam orang lain, kami turut berlari-lari anak lepas passport diperiksa. Untuk menaiki bas. Punyalah frust. Bas dah belah. Senang2 je depa suruh tunggu bas belakang. Nak kena tunggu 1 jam lagi ?. Causeway masa tu jam teruk. Sudah tentu makan masa lebih dari 1 jam untuk dapatkan bas satu lagi. Akhirnya, ada passenger cadangkan naik bas lain. Bas 170 terus ke Terminal Bas Sentral Kotaraya. Kena bayar RM1.50 seorang. Apa nak buat, tak ada pilihan. Sampai di terminal nampak bas USS. Selamba je muka driver bas tu. Macam tak ada apa2 dosa pada passenger2 dia. Dahlah tiket kena bayar dalam SGD. Belah gitu je.

December 14, 2012

Harap2 Siap Sebelum Ramadhan


Semua warga Desa Bestari begitu teruja di Majlis Pecah Tanah tapak surau. Sebelum tu solat hajat dan doa selamat disempurnakan untuk memohon pada Nya agar pembinaan surau ini berjalan lancar. Walaubagaimana pun tak semua hadir disebabkan musim cuti sekolah. Ramai yang dah ada program lain. Kena ke majlis kenduri kahwin atau bercuti bersama keluarga. Cukuplah lebihkurang 50 orang sebagai wakil daripada hampir 200 keluarga mendiami Desa Bestari.

Ia mengambil masa hampir 2 tahun ke tahap ini. Melibatkan proses lukisan pelan bangunan, mendapatkan kelulusan dari JAIS, kebenaran merancang dan kelulusan bangunan oleh Majlis Perbandaran Sepang. Lepas tu kena buat pelan2 M & E dan ukur bahan. Untuk kegunaan kontraktor dan mendapatkan kos pembinaan sebenar. Maklumlah kerja2 dibuat secara sukarela oleh Jawatankuasa yang dilantik. Tentulah tak sama dengan tugasan sepenuh masa yang bergaji. Banyak rintangan dan cabarannya. 

Satu lagi tugas mencabar ialah usaha mengumpul dana. Sekali tengok pelan rekabentuk bangunan, akitek dah dapat anggarkan kosnya. '1 juta RM ni.' katanya. Semua ahli jawatankuasa 'dikerah' untuk mencari duit. Dah dua tahun cuma dapat lebihkurang RM200 ribu. Jauh dari sasaran. Tekanan terus diberi oleh segelintir warga taman. 'Buatlah dulu guna duit yang ada !' kata mereka. Jawatankuasa mula rasa confident sikit bila dah ada pihak yang bersetuju untuk menyalurkan RM450,000 dalam masa terdekat. Walabagaimana pun, usaha mencari dana akan diteruskan. Bila siap bangunan surau nanti kos2 finishing juga tidak kurang besarnya.

6 syarikat kontraktor dikenalpasti untuk pembinaan projek ni. Akhirnya satu sahaja yang difikirkan sesuai berdasarkan track records dan beban kerja semasanya. Kontraktor ni janji akan ambil masa 6 bulan. Kalau mula hujung tahun ni, InsyaAllah dalam bulan 5 atau 6 tahun depan boleh siap. Perkara ni dimaklumkan kepada semua yang hadir pada Majlis Pecah Tanah. Nampak ceria dan teruja mereka bila mendengarnya. Bagi warga taman, yang penting Ramadhan tahun depan dah dapat bertarawikh kat Surau Desa Bestari. InsyaAllah, sama2lah kita doakan.


November 22, 2012

Arah Kiblat Kena Betul



 292°41'11". Itu adalah arah kiblat yang telah ditanda dan ditetapkan oleh pegawai2 Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk surau taman aku. Dengan menggunakan theodolite dan pegawai2 yang berpengalaman, bacaan arah kiblat ni InsyaAllah tepat. Baru rasa confident nak bina surau nanti. Tak ada sesiapa boleh pertikai arah kiblat ni. Sijil pengesahan akan diberi.

Sememangnya menjadi salah satu syarat yang perlu dipatuhi untuk bina surau baru. Kena mohon perkhidmatan menentukan arah kiblat dari pihak berkuasa. Bukan boleh pakai agak2 je. Atau guna kompas beli kat Mydin. Yang tu untuk kes2 emergency bolehlah. Bila arah kiblat dah betul dan disahkan, insyaAllah bila bersolat nanti rasa tenang dan yakin. Taklah rasa was-was.

Kata pegawai2 tu, 'Kalau arah kiblat silap 1 darjah pun boleh menyebabkan tersasar lebih 180 km dari arah Kaabah sebenar.' Lebihkurang jarak antara Kuala Lumpur dan Ipoh tu. Kesilapan macam ni memang seriuslah. Bayangkan solat kita selama ni tidak menghadap kiblat yang betul. Haru-biru jawabnya. Apatah lagi surau yang akan digunakan oleh orang ramai. Bina surau cantik2 pun, kalau arah kiblat tak tepat pasti merugikan banyak pihak. Wallahualam



November 15, 2012

Fenomena Durian Crepes



Sebagai home baker, isteri ku sentiasa mencari-cari ilmu baru. Yang boleh meningkatkan kemahiran dan pendapatan sampingannya. Habis kelas2 membaking dekat dan jauh telah diikuti. Sampai ke Jakarta dan Surabaya. Aku tak kisah, cuma menggalakkannya. Dah hobi dia sejak muda. Sekurang-kurangnya dia tak sunyi bila anak2 dah besar dan semuanya kat asrama. Yang bagusnya dia dapat ramai kawan baru dari kalangan bakers, murid2 dan pelanggannya.

Tapi lepas dia balik kelas membaking kali ni dia terus sibuk. Tidak seperti selalu. 'Yang ni special dan pasti meletop.' katanya. Kawannya dah jual 1,000 paket dalam masa seminggu. Sepaket mengandungi 4 keping dijual RM10.00.  Fuhh !!! RM10,000 tu. 'Yang dapat jual 100 paket sehari dah jadi biasa sekarang ni.' tambah isteri ku. Setahu aku di Mid Valley Megamalls ada kiosk menjualnya. Tapi saiznya lebih kecil. Sepaket 6 keping dengan harga yang sama, RM10.00.

Roundlah kami berdua mencari durian. Untuk mendapat kualiti terbaik beli durian Musang King. Tak pe lah mahal sikit, janji pelanggan puas. Isteri ku cuba2lah iklankan kat Facebook. Memang tak mengecewakan. Sambutan amat menggalakkan. Iklan kali kedua dan ketiga pun, sambutannya semakin meningkat. Kebanyakannya pelanggan yang mengulangi tempahan. Nampaknya ramai yang tak puas menikmatinya. Sampai ada yang nak merajuk, bila kehabisan stok.

Itulah penangan Durian Crepe. Difahamkan guru yang mengajar crepe ni hanya mencuba-cuba menghasilkannya melalui kajiannya sendiri dan google2 di internet. Tapi dia memang seorang yang kreatif dan berpengalaman. Kelas masakannya sentiasa mendapat sambutan dan penuh. Sampaikan Kelas untuk tahun 2013 pun dah habis dibooking.

October 29, 2012

Bermusafir ke Guilin Part 4 : Cabaran2

Guilin bukan tempat pertama kami bermusafir ke China. Sebelum ni pernah Ke Beijing dan Guangzhou. Dapat dirumuskan ada beberapa pekara menjadi cabaran bila ke negara China. Ia boleh mengurangkan keseronokan kita ke sana. Antaranya :

Makanan

Tidak dinafikan untuk mencari restoran muslim memang payah di Guilin. Hanya satu saja tempat yang dibawa. Endian Halal Restoran. Terletak di sebelah Masjid Guilin. Makanannya memanglah sedap. Tapi kalau duduk 5 ke 6 hari asyik makan kat situ dan menu yang sama je mestilah boring. Akhirnya, makan maggi dan roti yang dibawa dari Malaysialah jawabnya. Untuk mengurangkan rasa jemu. Kadang2 kami order menu lain. Macam nasi goreng, mee dan sebagainya. Janji jangan terlebih budget dalam pakej.


Destinasi2 Wajib

Yang ni pulak arahan dari Kerajaan China. Semua tour agents wajib bawa. Kalau tidak kena blacklisted. Kedai Teh, Kedai Sutera, Kedai Ubat, Kedai Urut Kaki dan Kedai Jade. Pertama kali pergi tak apalah. Boleh dapat sedikit maklumat dan ilmu. Tapi bila tiap kali pergi, mesti ke sini. Apa hal ? Lepas tu harga barang2nya bukan murah. Contohnya, sebotol minyak angin atau sekotak teh dijual sampai beratus yuen. Depa bagitau Kerajaan China cukai 40 peratus setiap hasil jualan. Tu sebab kena jual mahal. Itu masalah kau orang lah. Kita datang ke China bukan nak beli ubat, Tak kan kita nak dipaksa perhabis beratus atau beribu ringgit untuk benda2 ni. Kakitangan kedai2 tu pulak agak agresif bila memujuk kita membeli. Kalau tak pandai tepis memang cair. 

Cara kami senang. Terpaksa temberang kat depa kita dah beli barang2 ni masa pergi Beijing atau Guangzhou. Atau, bagitau kat dia orang, 'Orang Islam Malaysia tak boleh beli dan makan ubat2 ni. Sebab tak ada tanda halal dari Jakim.' Mati akal lah depa. Nampak berkesan guna tektik ni.



'Don't Leave Hotel Without It'

Bekas untuk cedok air mesti dibawa ke mana2. Samada botol mineral atau pencedok plastik. Kalau tidak susah nanti. Kita memang tak biasa dan tak selesa pakai kertas tisu, walau dibenar agama. Tandas2 di Guilin memang ada air. Tapi disediakan di sinki, tak ada dalam tandas. Kena ambil air di isi dalam penceduk atau botol mineral dulu, baru masuk ke bilik tandas. Begitulah tiap kali bila ke tandas. Kalau tak bawa benda ni, alamatnya 5 ke 6 hari di sana tak ke tandaslah kita. Penyakit lain pulak dapat nanti.


October 25, 2012

Bermusafir ke Guilin Part 3 : Kena Sebut 'Lee Chong Wei'

Menaiki boat untuk Li River Cruise bersama dengan satu group pelancong lain. Nampak wajah2 mereka dan bahasa bualan macam orang China tempatan. Murah dengan senyuman. Asyik memerhatikan kami. Mungkin tak pernah tengok orang Malaysia. Terutama gadis dan wanita Melayu bertudung. Kami hanya balas dengan senyuman saja. Nak bersembang memang mustahil. Mereka tak boleh berbahasa Inggeris. Pakat lawan senyum sajalah.

Bila boat mula bergerak, semua naik ke atas bumbung. Baru nampak jelas panorama kedua-dua tebing Sungai Li. Memang cantik dan menarik. Suasana jadi meriah bila group China ni asyik bersorak dan menyapa boat2 lain yang berselisih dengan boat kami. Sapaan mereka akan dibalas penumpang2 boat lain.



Bila semua nampak dah puas, turunlah ke bawah berehat. Masa nilah konon nak bersembang dengan mereka. 'Me Malaysia, you know Malaysia ?' Mereka nampak blur. Pasti tak faham. Tiba2 terlintas dalam fikiran ku, 'Lee Chong Wei, badminton, Malaysia.' 'Oohh, Malaysia, ya ya ya, Lee Chong Wei, Lin Dan.' balas mereka sambil mengayakan pukulan reket badminton. Barulah mereka nampak faham sambil mengangguk-angguk kepala. 

Isteri ku berikan mereka wang kerta RM1 baru sebagai tanda cenderhati kepada ketua group ni. Explainlah kat depa sikit lebih kurang ciri2 yang ada pada wang kertas Malaysia. Tak pastilah depa faham ke tidak. Riak wajah tu nampak ceria dan bangga dapat cenderhati tu. Sebagai balasan agaknya, ketuanya belikan majalah pelancongan Guilin yang dijual di atas boat yang berharga 30 yuen untuk anak ku. Beliau sempat menandatangani majalah tu dalam tulisan China. Kami bersalam-salaman sebelum berpisah. Sampai di jeti tanyakan Mr. Sen makna tulisan di majalah tu.  Dia kata tulisan tu bermaksud 'Cenderhati dari kaum Monggolia'.


Bersambung....

October 24, 2012

Bermusafir ke Guilin Part 2 : Bukit Gajah ?

Kalau kat Malaysia ada Batu Gajah, Bukit Gajah, Bukit Gajah Lawan dan sebagainya. Sudah tentulah nama2 ni diambil sempena bentuk bukit2 tu yang serupa gajah atau ada cerita berkaitan disebaliknya. Samalah di Guilin. Bukit batu kapur berbentuk seekor gajah sedang minum air dikenali sebagai Elephant Trunk Hill. Terletak ditebing barat Sungai Li. Ia menjadi mercu tanda dan simbol Guilin dan produk pelancongan yang popular. 


Elemen landskap dan esplanade tebing sungai menjadikannya lebih menarik. Membuatkan pelancong dan pengunjung leka menghabiskan masa bergambar dan menikmati keunikan bukit ini.


Peniaga2 tempatan juga mengambil kesempatan dengan menyediakan pakaian tradisional Guilin untuk disewa dengan caj 10 yuen. Ni tak termasuk foto2 yang diambil. Sekeping foto dijual 20 yuen pula. Pandai sungguh depa ni buat duit.


Bersambung....

October 23, 2012

Bermusafir ke Guilin Part 1 : Macam Buaian kat Rumah Je !

Cuaca di Guilin biasa saja. Taklah sejuk sangat bila sampai. Sekitar 23 darjah Celsius. Disambut oleh Mr. Sen di airport sebagai pemandu kami. Boleh berbahasa Inggeris. Taklah terer sangat english dia. Dia yang mengaku sendiri pada kami. Janji boleh faham sudahlah. Destinasi pertama ke Yao Mountain. Gunung tertinggi di Guilin. Puncaknya 908 meter dari paras laut. Lebihkurang 45 minit dari  Guilin Airport.



Bila tengok cable car Yao Mountain ni macam tak yakin je. Sebiji macam buaian kat rumah. Simple sungguh rekabentuk dan strukturnya. Lebihkurang cable car kat Bukit Merah Lake Town. Tak macam cable car Gunung Mat Cincang atau Pulau Sentosa. Nampak lebih selamat.  Aku dan isteri fikir dua tiga kali juga nak naik. Puas Mr. Sen pujuk kami. 'Don't worry, very safe.' katanya. Bila dah naik rasa seronok pulak. Lapang sungguh rasa pandangan. 


Panorama lembah dan gunung ganang sekitar Yao Mountain memang indah dan mengasyikkan. Hilang rasa takut walau berada di paras yang tinggi. Lebih 40 minit mendaki dengan cable car sepanjang lebihkurang 1,400 meter. Banyak juga produk sampingan yang menarik di puncak Yao Mountain. Gerai2 jualan cenderhati pun ada. Yang lain lebih kepada benda2 sejarah dan kepercayaan agama penduduk Guilin. Kita orang Islam tengok sajalah. Yang penting menikmati pemandangan menarik dan udara gunung yang nyaman.


Separuh jalan menuruni Yao Mountain, kita diberi pilihan untuk menurun secara meluncur. Dipanggil Toboggan slide. Terima kasih aje le. Tak berani. Biarlah anak2 saja yang mencubanya.


Bersambung.....