July 13, 2014

Tadarus 2 Surau


Bila tiba bulan Ramadhan, salah satu ibadah yang dituntut tentulah tadarus Al Quran. Banyak fadhilatnya. Nak ambil sikit apa yang Nabi s.a.w dah bagitau “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka, maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud). Ni antara yang dikejar dalam bulan mulia ni.


Kata Nabi s.a.w. lagi, “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).

Tapi tak ramai yang sanggup buat. Antara sebabnya : mula lepas moreh agak lewat malam baru habis; letih esok kerja; segan tak berapa lancar baca; tak kurang juga ada yang nampak tak ambil kisah dan sebagainya. Ada yang kena tegur langsung tak datang lagi. Ada jugak yang puas ditegur bacaannya tapi macam 'degil'. Tu sebab boleh kira dengan jari jemaah yang bertadarus setiap malam. 3 ke 6 orang saja. Dapatlah habis 1 juzuk atau 1 juzuk setengah satu malam. Kalau 1 juzuk 1 malam memang tak khatamlah jawabnya. Sebab seminggu atau dua tiga hari sebelum raya taman dah hampir kosong. Ramai dah balik kampung.

Isu yang aku catatkan di atas adalah pengalaman bertadarus di 2 surau. Tempat lain tak taulah. Mungkin lebih baik. Surau pertama terletak di kawasan majoriti golongan berpendapatan rendah. Kebanyakan isirumah datang dari program pertempatan semula setinggan. Ramai yang kerja sebagai buruh, penjaja, kakitangan awam bawahan dan sebagainya. Lebih 14 tahun aku berjemaah bersama mereka ni. 

Surau kedua terletak di taman yang majoriti golongan profesional dan berpelajaran. Ramai terdiri dari pensyarah, pegawai kerajaan dan swasta. Bersama jemaah ni baru pertama kali berpeluang bertadarus. Dah masuk malam ke 15 Ramadhan, bilangan yang bertadarus semakin berkurangan. Kadarnya 1 malam 1 juzuk. Tak taulah sempat khatam ke tidak. 

Moga dipermudahkan Allah s.w.t.

Ameen.