June 13, 2013

Cendol Bakar@Dengkil


Lebihkurang 100 meter dari persimpangan empat lampu isyarat antara Putrajaya-Dengkil-Bangi-KLIA, kita boleh nampak terpampang kain rentang 'Cendol Bakar'.  Rasanya bisnes ni baru beroperasi beberapa bulan lalu. Yang menariknya siap ada perkhidmatan 'Drive Thru' lagi. Walaupun premis perniagaannya nampak biasa2 saje. Dibina dengan struktur kayu. Tak segahnya premis McDonald.

Setiap kali berulang alik, mata pasti menoleh ke premis ni. Rasa ingin tahu sentiasa ada. 'Cendol Bakar ?. Macamana agaknya rupa hidangannya ?'. Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran. Pelanggannya nampak semakin ramai. Berdasarkan deretan kereta yang parking di sepanjang jalan. Terutama waktu petang lepas ofis dan hujung minggu.

'Jom singgah Cendol Bakar.' pelawa isteri ku dalam perjalanan balik dari Putrajaya. Tiada bantahan dari ku. Agak ramai pelanggan di kaunter masa kami sampai. Yang bagus tu, servisnya cepat. Isteri ku order cendol berperisa durian. RM3.00 semangkuk. 'Macam cendol biasa je.' bisik ku pada isteri. Selamba je tanya Kakak yang bertugas di situ, 'Mana cendol yang dibakar tu ?' 'Habislah cendol kalau dibakar Encik.' jawabnya sambil tersenyum. Dah agak dah bila dia jawab macam tu. 'Ohh, Bakar tu nama taukeh dialah ye.' balasku spontan. 'Kita semua dah 'dibakar' bang.' sampok pelanggan sebelah meja kami. Tergelak kami semua yang telah 'terpedaya' oleh gimik dari nama bisnes ni.

Walaubagaimana pun, cendol Bakar ni memang sedap. Agak lain dari cendol2 yang pernah dirasa. Patutlah pelanggannya semakin ramai. Yang tak nak makan di situ, boleh order terus dari kereta. Keistimewaan nama Bakar digunakan secara kreatif. Yang jelas ia berjaya menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan pelanggan. Keenakan cendolnya pula sudah pasti menjadi faktor kedua dapat menarik terus kunjungan pelanggan.

Teringatkan Mee Abu kat Alor Setar...