November 1, 2014

Iktibar Membawa Anak Kecil Ke Surau


Kalau sebelum ni post mengenai anak-anak kecil ke surau lebih kepada menceritakan kesan2 negatifnya. Bising dan merimaskan. Tak khusyuk solat dibuatnya. Ke hulu ke hilir berjalan depan saf. Jemaah merungut kat Pengerusi dan Jawatankuasa. Puas buat announcement. Nasihat dan mohon ibu bapa kawal sikit anak2 ni. Bila masing2 tengah solat mana nak kawal. Kalau bagitau tak payah bawa, kecil hati pula. Serba salah. Mereka ada justifikasi masing2 membawa anak2 ke surau.

Tapi kes kecil ni membuka mata ku. Al kisah, anak kecil ni lebihkurang 3 tahun umurnya. Dia boleh dianggap antara paling buas dan nakal di surau. Ayah seorang Ustaz. Antara jemaah regular. Kerap jadi imam. Kenakalan anak kecil ni memang jadi bualan ahli kariah. Mesti bawa pedang plastik dia bila ke surau. Bila ayah solat sunat, ditunggangnya. Posisi ayah rukuk dan sujud cukup digemari. Kadang2 nak tergelak juga. Tapi ayahnya cukup cool. Bila ayah jadi imam habis diraba dan pegang microphone. Bila ayah bagi tazkirah, dipanjatnya kerusi dan meja. Duduk bersama ayah. Jemaah surau sampai dah jadi terbiasa dengan tingkah laku anak ini. Malas dah nak complain. Keadaan ni berterusan lebih 10 bulan sejak surau dibuka Januari lalu.

Lama juga aku 'cuti' tak ke surau. MC lepas bedah mata. Lebihkurang sebulan. Agak memeranjatkan bila aku ke surau semula. Wajah anak ini nampak ceria bila melihat ku. Macam reaksi orang dah lama tak jumpa. Tak sangka, disapanya aku. 'Pak Cik dah datang.' 'Pak Cik mana spek ?' tanyanya. Saja tak pakai spek masa tu bila mata rasa dah okey. 'Tertinggal (terpaksa buat bohong sunat).' jawabku spontan. 'Tertinggal kat mana ?' tanyanya lagi. 'Tertinggal kat rumah, Mai salam Pak Cik.' Dia sambut salam ku, senyum dah terus berlari ke ayahnya dan bagitau tentang jawapan ku. Tak sempat nak peluk dan cium budak ni. Comel sungguh dan tersentuh hati ku dibuatnya.

Anak kecil ni dah tak nakal lagi. Dah tak berlari-lari depan saf. Tak kacau ayah bila jadi imam. Hanya duduk dan bermain di bahagian belakang ruang solat. Dari kisah kecil ini dia macam dah kenal semua jemaah yang datang ke surau. Dah tau nak menyesuaikan diri. Tak ada lagi 'gangguan' darinya. Maklumlah dah hampir 10 bulan ke surau bersama ayahnya. 

Patutlah Nabi s.a.w. tak larang anak2 kecil ke surau atau masjid. Teringat kisah masyhur tentang cucu Baginda  Hassan dan Husin bermain semasa baginda bersolat.