August 30, 2010

Buat 10 Amalan Pada 10 Terakhir Ramadhan


Malam ni InsyaAllah masuklah kita ke fasa ketiga puasa. Iaitu hari2 10 terakhir Ramadhan. Dikatakan ia waktu paling berkat. Macam2 ditawarkan. JannahNya, yang menjadi matlamat setiap insan di alam akhirat nanti. Malam Lailatulqadar lagi. Kalau tak rebut, tak taulah. Tahun depan tak pasti kita sempat jumpa lagi peluang sebegini.

Buatlah perancangan dan checklist untuk beramal pada hari2 terakhir ini. Antaranya :

1.   Kalau sebelum ni buat 8 rakaat Tarakwikh buatlah 20 rakaat pula;
2.   Pasti kita khatam Al-quran seminimumnya sekali;
3.   Kalau sebelum ni tak bersahur atau bersahur awal mulakan bersahur
      di penghujung malam;
4    Buat solat2 sunat malam (antaranya Tahajjud, Tasbih, Taubat &  Hajat) .
      Kalau tak di masjid, di rumah pun boleh;
5.   Banyakkan bersedekah seperti ke masjid.
      Bentuk sedekah tidak sepertinya duit saje;
6.   Jamulah orang2 berpuasa walau dengan sedikit juadah pun.
      Paling dekat jiran2 sebelah;
7.   Minimumkan buat dosa2 kecil melalui pancaindera.
      Sentiasa alert. Kalau boleh sifarkan.
8.   Sentiasa basahkan bibir dengan zikir.
9.   Banyakkan solat berjemaah; dan
10. Banyakkan berdoa.

Bak kata ustaz2 kalau tak boleh buat semua, jangan pulak tinggalkan semua. Tambah mereka lagi, 'Kamu buat, kamu dapat.'

August 29, 2010

Kesabaran Teruji Di Pintu Masuk Ke Tanah Suci


Rasanya lokasi yang paling mencabar kesabaran untuk ke tanah suci ialah di pintu masuknya. Iaitu bila kaki buat pertama kali memijak tanah Arab apabila turun dari kapalterbang. Sememangnya suhu bumi Arab yang panas memberi ujian pertama. Itu tidaklah menjadi rungutan. Kena biasakan saja. Yang nak dikisahkan ni ialah kerenah kakitangan kastam dan imigresennya semasa memberi khidmat.

Nampak macam tak ada urgency langsung ketika memeriksa pasport. Walaupun jemaah yang sampai beratus orang ramainya. Kadang2 bersembang antara satu sama lain. Kadang2 angkat kaki meninggalkan kaunter entah ke mana. Sering kali meninggikan suara mengarahkan jemaah beratur. Tak dinafikan jemaah dari  negara2 Arab kebanyakannya kurang berdisplin. Asyik nak potong queue aje. Tingkah laku mereka menambah burukkan keadaan. Tiba2 kaunter ditutup. Bila dah nak masuk waktu berbuka puasa, disuruhnya semua jemaah yang belum diperiksa pasport duduk di atas lantai. Lebih sejam menunggu baru kaunter dibuka semula.

Ada jemaah dah mula merungut, 'Patutlah Arab2 ni tak pernah menang perang dengan Israel. Buat kerja main2 dan lembap...' Tersenyum aku mendengarnya. Mungkin inilah antara ujian dari Allah s.w.t kepada setiap insan yang nak ke tanah suci. Kesabaran dah diuji di pintu masuknya lagi.

August 28, 2010

Qiyamullail di Masjidilharam Lengang ?


Merasai berqiyamullail di Mekah adalah antara tujuan utama ke tanah suci pada bulan puasa. Kali ni pergi bersama isteri. Ikut jadual, mungkin dapat dua tiga malam buat ibadah qiyamullail sebelum balik ke tanah air. Ibadah ini bermula pada 10 terakhir Ramadhan. Diceritakan orang, suasananya mengalahkan musim haji. Berjuta jemaah akan ke Masjidilharam pada tengah malam untuk bersama menunaikan ibadah qiyamullail secara berjemaah.

Isterku amat teruja dan tak sabar2 menantikan malam itu. Setelah beberapa hari di Mekah, ibadah qiyamullail dikatakan akan bermula. Pakat kira sendiri2 malam nilah agaknya akan mula. Tanya2 juga dengan jemaah lain. Depa pun kata 'ye lah agaknya'.

Kami pun setkan jam pukul 3.00 pagi. Nak pastikan akan terjaga. Bila alarm berbunyi, bangun dan bersiap2lah ke masjid dengan penuh semangat. Perjalanan dari hotel ke masjid lebihkurang 10 minit. Bila sampai masjid tepat pukul 3.30 pagi. Yang menghairankan masjid lengang. Jemaah yang ada ramai yang masih tidur. Ada yang baca quran dan buat solat2 sunat. Bisik kat isteri, 'tunggulah sekejap lagi'. Kami pun buatlah solat sunat dulu.  Bila jam tunjuk pukul 4.00 pagi, 'Salah kira hari nampaknya kita ni' kataku pada isteri. Kami pun pakatlah buat qiyamullail sendiri2. Lepas tu balik hotel untuk bersahur. Walaubagaimana pun, ibadah qiyamullail berjemaah dapat juga kami buat untuk beberapa malam di Masjidilharam. Pengalamannya memang seronok dan menginsafkan.

August 27, 2010

Pastikan Kita Sentiasa Berhubung Dengan Allah SWT


Tazkirah malam semalam disampaikan oleh seorang ustaz muda dari UKM. Maklumlah bila orang muda beri tazkirah nampak kurang menyengat sikit. Ada jemaah nampak sedikit gelisah dan tak berapa fokus mendengar apa yang disampaikan ustaz. Kadang2 depa dok pakat bersembang. Ada juga yang angkat kaki keluar sekejab. Ambil angin.

Tazkirah ni sempena menyambut Nuzul Quran. Walaubagaimana pun, tak banyak disentuh pasal topik ni. Apa yang dapat ku ambil point yang penting dari ustaz ialah betapa pentingnya manusia ini sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t. Kaedah hubungan ialah melalui doa. Seseorang insan tu akan dicop bongkak dan ego kalau tidak berdoa. Terutama selepas solat. Yang tak solat tu, lagilah. Dikira tak ada hubungan langsung.

Allah s.w.t bukan tak tau pelbagai masalah yang hamba2Nya hadapi. Kecil atau besar masalah tu diketahui semua. Itu kuasaNya. Dia hanya menunggu hamba2Nya meluahkannya. Lagi banyak yang diluahkah lagi suka Dia. Lagi banyak yang dipohon, lagi gemar Dia. Bila selalu berhubung dengan Nya maka kenallah Dia akan kita. Hingga dikatakan doa itu boleh mengubah qada' yang bakal kita terima.

Makbul atau tak makbul doa tu usah difikirkan sangat. Itu urusan dan hak Allah s.w.t. Kadang2 dimakbulkan terus. Kadang2 tak dimakbulkan. Ustaz kata mungkin ditangguhkan. Yang penting hamba2 perlu ada perasaan baik sangka dengan Penciptanya. Jangan cepat kecewa bila doa nampak tidak termakbul. Yang penting selalulah berdoa. Ia kaedah yang paling mudah berhubung dengan Allah s.w.t.

August 26, 2010

Menjadi Senior Consultant Pun Ada Dilemanya


Setelah lebih 25 tahun terlibat di dalam bidang perundingan perancang bandar ini banyaklah pengalaman diperolehi. Yang seronok ada dan yang tak berapa seronok pun ada. Mula kerja dengan orang, Bila rasa agak yakin beroperasi sebagai freelance. Nak buka company sendiri malas. Tak pandai nak lobi melobi untuk dapat projek. Lebih selesa bergerak cara sendiri2. Bantu kawan2 mana yang memerlukan kepakaran sedikit yang kita ada. Alhamdullillah, setakat ni rezeki sentiasa ada. Tak pernah miss soru lah kata orang.

Basic rate yang dicaj pun naik beransur ansur ikut tahun. Semuanya ikut jadual  gaji MOF yang ditetapkan berdasarkan tahap akdemik dan bilangan tahun pengalaman. Lama kelamaan gaji asas pun naiklah. Yang terbaru MOF naikkan sampai 20%. Baik sungguh hati depa. Mungkin baru sedar betapa pentingnya khidmat perancang bandar ni.

Tapi di sebalik berita baik ni ada isu yang agak tak menyenangkan. Terutama bila MOF buat stail open tender atau bidding bagi setiap projek. Dulu buat direct nego tak jadi masalah. Dengan cara baru ni lebihkurang 5 ke 10 firma dijemput hantar proposals. Kadang2 lebih. Taulah government, proposal yang paling rendah kosnya selalu yang dipilih. Nak jimat duit kerajaan, katanya. 

Firma2 perunding ni mulalah cari cara2 dapat menghasilkan kos terendah. Salah-satu caranya kurangkan bilangan senior consultant dalam team. Pengalaman ahli2 pasukan kajian tidak lagi menjadi kriteria utama. Senior2 consultant ni mula rasa terpinggir. Ruang dan peluang nak dipelawa makin menipis. Kadang2 strategi ni menjadi. Tapi tak selalunya berjaya. Ada juga kos terendah tak dapat projek. Pengalaman dan kualiti itu selalu berganding sama. Apatah lagi bila melibatkan khidmat perundingan.

August 24, 2010

Tip Menentukan Malam Lailatulqadar ?


Diceritakan ustaz ni dalam tazkirahnya malam semalam, bahawa pada zaman Nabi s.a.w. ada seorang insan ni tak pernah terlepas beramal pada malam lailatulqadar. Aku lupa nama insan ini kerana tak bawa buku nota dan pen ke masjid. Tiap2 tahun pada bulan Ramadhan insan ini cukup bernasib baik dapat berjumpa malam yang teramat berkat ini. Sungguh hebat dan bernasib baiknya dia. 

Tambah ustaz ni lagi, ada tip ditinggalkan insan ini. Mungkin untuk yang percaya dan nak mengamalkannya. Apa tipnya ? Malam2 lailatulqadar yang ditemui insan tersebut selama ini selalunya bersamaan dengan hari mula puasa. Maknanya, hari mula puasa tahun ini ialah pada hari Rabu (11 Ogos 2010). Maka hari2 10 terakhir yang jatuh pada hari Rabu ialah 8 September 2010 atau bersamaan 29 Ramadhan 1431H. 

Kata ustaz tu, terpulanglah. Nak percaya pun boleh, tak percaya pun tak apa. Yang paling senang, beramallah tiap2 malam terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan. Berusaha dan carilah malam yang dijanjikan kelebihan seperti beramal sebanyak 1,000 bulan ini. Tawaran ni datang pada bulan Ramadhan. Rugi besar kalau terlepas begitu sahaja.

August 22, 2010

Harap2 Kali Ni Jadilah

Pelan ini hanya hiasan


Hati ni rasa berbelah bagi bila timbul balik berita projek tambak laut Kuala Perlis. Nak percaya ada, tak nak percaya pun ada. Maklumlah, projek sebegini dah lama dirancang. Kalau ikut jadual dulu, tahun 1996 dah siap pun semuanya. Sekurang-kurangnya dah jadilah macam Bandar Hilir di Melaka. Bila tak dibuat, macam2 alasan terdengar. Ekonomi melesetlah, pantai Kuala Perlis tak sesuai tambaklah dan sebagainya. Harapan kerajaan negeri dan rakyat jadilah impian kosong.

Kali ni nampak pemajunya yakin sungguh. MOU dah disign. Dengan modal pelaburan RM130 bilion bukanlah sedikit. Sampai jambatan Langkawi-Kuala Perlis pun nak dibinanya. 'Royal Western Coastal Corridor' (RWCC) digelar projeknya. Semua ada. Pelabuhan, kawasan perumahan dan industri teknologi tinggi. Sudah tentu ia akan mengubah Kuala Perlis kalau dapat disiapkan seperti dirancang.

Nampaknya segala dasar dan strategi perancangan berkaitan Negeri Perlis terpaksa dibuat perubahan.  Untuk mengambilkira cadangan projek RWCC ni. Tugas2 mengubah ni tak jadi masalah. Ia setakat laporan dan pelan2. Yang perlu dipastikan RWCC akan jadi kenyataan. Rakyat Perlis dah macam lali cerita2 projek mega untuk Kuala Perlis ni. Harap2  lepas 10 ke 20 tahun dari sekarang tak ada lagi komen2 sinis terdengar. 'Pekan Kuala Perlis nampak dok macam tu je !'

August 21, 2010

Bila YB Tak Muncul2


Nampak ceria dan bersemangat di wajah Tuan Nazir bila mengumumkan YB akan datang berbuka puasa, bertarawikh dan moreh bersama jemaah masjid. Risalah majlis diedarkan oleh AJK kepada semua jemaah sebagai jemputan susulan. Makluman masjid ni dah lama tak terima kehadiran orang2 besar. Sudah tentu perasaan tu amat teruja.

Persiapan dah lama dijalankan. Tempat letak kereta dan motorsikal berbumbung baru dibina. Ruang solat utama dan perabut yang ada dikemas rapi agar nampak teratur. AJK dan masyarakat tempatan bergotong royong menyediakan masakan dan juadah. Kari kambing jadi menu utama. 

Bila senja hampir tiba, jemaah tempatan dan sekitar mula datang berduyun duyun. Abang2 RELA ditugaskan mengawal trafik. Jumlah kehadiran memang lebih ramai dari biasa. Orang Besar Daerah, Tok Penghulu dan pegawai2  JAIS antara tetamu kerhormat sudah tiba. Nampaknya YB masih tak muncul2 juga. Bila masuk waktu berbuka, semua pakat makan dah tak pandang2 belakang lagi.

Sebelum masuk waktu Isyak, Tuan Nazir mengumumkan YB masih tak sampai. Sebab2nya tidak dinyatakan. Solat fardhu dan sunat tarawikh diteruskan tanpa YB. Lepas empat rakaat tarawikh, Pegawai Pengurusan Masjid menyampaikan tazkirah menggantikan YB. Wajah  Tuan Nazir dan  jemaah sesekali berpaling ke pintu utama masjid. Kot2 YB muncul nanti. Di akhir solat, Tuan Nazir memaklumkan dengan nada yang agak kecewa. 'Kita boleh merancang, Allah s.w.t. juga yang menentukannya.' Agaknya bila YB dapat datang menjenguk kami ?

August 20, 2010

Beza Solat Tarawikh Dulu & Sekarang


Dulu solat tarawikh ni macam ibadah main2. Jemaah di saf2 belakang boleh bergurau senda masa bersolat. Main tarik2 kain pulak. Sampai terlondeh kawan di depan dibuatnya. Tapi jemaah sekarang nampak dah sedar dan lebih berilmu. Khusyuk sampai habis solat. 

Dulu Pak2 Imamlah pakat pulun jadi imam sampai 23 rakaat. Hanya surah2 lazim aje dibaca. Kadang2 berulang2. La ni rata2 masjid pakai imam2 muda al-hafiz. Kalau tak habis 30 juzuk pun, sekurang-kurangnya separuh quran dapat dihabiskan. Dapatlah imam2 masjid berehat sikit pada bulan Ramadhan ni.

Dulu kanak2 lebih berdisplin dan patuh. Ikut sama2 mak bapak bersolat tarawikh. Sekarang ni nampaknya kanak2 lebih ramai di luar masjid. Sibuk main basikal dan mercun. Tunggu juadah moreh yang akan dihidangkan.

Cuma yang sama dulu dan sekarang ialah saf2 bertambah maju ke depan bila tiba akhir2 Ramadhan. Masing2 dah mula sibuk nak sambut hari raya.

August 19, 2010

Rezeki Bersahur Tetap Ada


Sampai di Mekah dari Madinah dah hampir pukul 3.00 pagi. Pakat dengan kawan2 terus buat umrahlah senang. Memandangkan badan masih bertenaga, kami pun terus ke Masjidilharam untuk menyempurnakan ibadah umrah. Keadaan agak sibuk dan ramai jemaah lain yang ikut sama. Akhirnya, kumpulan kami terpisah. Masing2 buat ibadah umrah sendiri2. Semuanya dah beberapa kali ke tanah suci. Taklah risau sangat.

Jam di Masjidilharam menunjukkan pukul empat lebih bila aku selesai mengerjakan ibadah umrah. Nak balik bersahur kat hotel mungkin tak sempat. Ke Hilton Tower lah dituju. Mudah2an ada makanan yang boleh dibeli. Nampaknya hanya satu kedai makanan 'fast food' aje dibuka. Jemaah sedang berebut rebut membeli makanan. Pak2 Arab ni biasalah. Tak tau nak beratur. Keadaan menjadi kelam kabut dibuatnya. Saiz badan kita yang kecil ni tak setanding mereka. Akhirnya, kedai tu ditutup. Pekerja2nya pun nak bersahur juga. Terpinga pinga aku dan jemaah lain yang belum dapat beli apa2. Nampaknya kena puasa lalu lah jawabnya. Tiba2 datang Pak Arab terus hulurkan sebungkus makanan dari kedai tu. Dia kata dah terlebih beli. Aku pun berikan 5 Riyal kat dia. Bersahurlah aku di kaki lima kedai tu sambil menunggu solat subuh.

August 18, 2010

Juadah Sedekah Kembali Semula


Duduk berbaris menunggu berbuka puasa di dalam Masjid Nabi s.a.w. menimbulkan suasana meriah bercampur insaf dalam hati. Betapa sunnah Rasullullah dipraktikkan sebaik mungkin. Dengan hanya kurma, roti, yogart dan air zam-zam menjadi juadah rutin. Bukan nafsu perut yang dilayani semasa berbuka nanti. Kalau nasib baik dapatlah teh panas Arab yang dibawa jemaah tempatan.

Aku memang tak suka yogart. Apatah lagi yang sejuk pulak. Mungkin masalah perut ni tak boleh makan benda2 sejuk. Apatah lagi waktu berbuka puasa. Nanti terkeluar semula semuanya. Yogart yang ada di hadapan, ku sedekahkan pada jemaah sebelah. Dia tersenyum tanda menghargaiinya. Aku perhatikan yogart tu disedekah pula pada jemaah sebelahnya. Memanglah bersedekah tu digalakkan terutama dalam bulan Ramadhan. Pahala orang yang berpuasa tu dapat kak kita juga. Yogart yang ku sedekah tu nampaknya tak duduk diam. Lepas satu jemaah ke satu jemaah. Akhirnya, jemaah yang menerimanya di hadapan  ku menyedekahkannya pada aku. Besar sungguh  kuasa Allah s.w.t. Kalau dah ditentukan itu rezeki kita, terima aje lah. Jangan ditolak. Yogart tu pun aku bawa balik kat hotel. Tunggu hilang sejuknya barulah dimakan.

August 14, 2010

Tiba2 'Rabun' Di Masjidilharam


Kisah ni terjadi pada isteri ku semasa mengerjakan ibadah haji 2002. Ringkas aje ceritanya. Tapi agak melucukan. Selalunya sebelum masuk waktu, quran akan dibaca. Alangkan terperanjatnya dia, tiba2 matanya menjadi rabun. Halaman al-quran tidak jelas di mata. Isteri ku jadi panik. Macam nak menangis rasanya. 'Adakah Allah s.w.t. nak menghukum kesalahan2 ku ?' Terbisik di dalam hatinya. Depan Kaabah pulak ni. Teramat gundah gulana perasaannya. Nampaknya kena cepat2 bertaubat dan mohon ampun pada Dia. Itulah yang telintas di dalam hati.

Dalam keadaan yang 'meruncing' itu, dibukanya cermin mata yang dipakai tadi semasa nak baca al-quran. Tergelak sendiri di dalam hati bila tengok cermin mata tak berlensa lagi. Dah tanggal rupanya. Patutlah pandangan tak jelas. Lega rasa di hati. Kawan2 jemaah kat hotel penginapan pakat gelak bila diceritakan kisah ini.

August 12, 2010

Perunding Rancangan Pembangunan Bakal Dikuasai Wanita ?


Kehadiran kaum wanita dalam pasukan perunding amat ketara di dalam setiap sesi mesyuarat samada mesyuarat antara perunding ataupun mesyuarat pembentangan projek kepada jawatankuasa. Tidak dinafikan pada masa ini perunding utama lebih ramai terdiri daripada kaum lelaki. Contohnya, daripada sepuluh ahli pasukan perunding adalah dua ke tiga wanita. Pada masa ini, ia bukan isu pun.

Yang nak ditimbulkan ni ialah berkaitan perunding sokongan. Rata2 perunding utama membawa pegawai wanita bersama. Katanya susah nak dapat staff lelaki. Pegawai2 muda wanita ni lebih tekun dan berdisiplin.  Mereka tak kisah kena tulis report tebal2. Manakala, staff lelaki lebih suka kepada projek 'plan submission'. Dengan erti kata lain, kerja2 design dan penyediaan pelan tataatur. Suasana yang serupa boleh juga dilihat di kalangan perunding sektoral. Lebih ramai staff wanita yang dibawanya semasa mesyuarat.

Sekiranya senario ini berterusan sudah pasti dalam masa sepuluh tahun akan datang kaum wanita akan menguasai profesion perunding perancang bandar. Khususnya projek berkaitan penyediaan rancangan2 pembangunan. Pada masa ini pun kita boleh lihat majoriti perunding sokongan wanita yang mempunyai pengalaman bekerja lebih lima tahun sudah mula mengambil alih atau sekurang kurangnya menjadi pembantu utama kepada Ketua Perunding.

Nampaknya bos2 firma perunding kenalah pandai2 membahagi kerja. Mungkin buat sistem rotation di kalangan pegawai2nya. Biar kumpulan perancang bandar muda ni dapat pengalaman sama. Samada kerja2 menyediakan rancangan pembangunan maupun layout plan. Lepas 10 ke 15 tahun tak kira lelaki ke wanita, pengalaman di dalam dua2 bidang dapat dikuasai mereka. Taklah pada tahun 2030 nanti kaum wanita membentuk majoriti perunding rancangan pembangunan. Yang lelaki pulak tertumpu di dalam projek 'Plan Submission' aje. Fikir2 kan!!

August 11, 2010

Akibat Marah2 Semasa Berpuasa


Peristiwa ni berlaku semasa nak pergi buat umrah pada bulan puasa 2004. Masa di KLIA lagi ustaz ni nampak amat tak berpuas hati dengan perkhidmatan pakej umrah yang aku ikut sama. Dia mendakwa tak dimaklumkan pertukaran syarikat yang menguruskan kumpulannya ke tanah suci. Jemaah yang dibawanya pun tak ramai jadi syarikat asal suruh bergabung dengan syarikat umrah yang satu lagi. Pertengkaran kecil ada berlaku. Nasib baiklah taukeh umrah yang satu lagi ni nampak sabar orangnya. Tambahan pula bulan Ramadhan. Buat apa gaduh2, nanti sia2 aje puasa.

Dipendekkan cerita, rombongan kami pun selamat sampai ke tanah suci. Ibadah umrah dan puasa berjalan lancar. Sekali lagi peristiwa marah2 ni berlaku semasa nak balik ke tanahair. Kat airport Jeddah, ustaz ni marah lagi malah maki hamun jemaahnya sendiri. Macam budak kecik dileternya mereka. Kesian, aku tengok. Maklumlah, jemaah yang ikut dia semua warga emas. Slowlah sikit pergerakan tu. 

Wajah marahnya berterusan sehingga hampir waktu berbuka. Lebihkurang beberapa minit aje masa nak berbuka. Tiba2 ustaz ni buka penutup air mineral lalu terus menunggang ke mulutnya. Kami semua menegur, 'Hei ustaz, belum time berbuka lagi !!' Dia buat tak tau aje dan terus beredar ke tempat lain. Kami semua tak boleh nak buat apa. Hanya menggelengkan kepala masing2 je lah. Sia2 lah puasa ustaz tu nampaknya.


August 9, 2010

Bersedekah Juadah Berbuka Puasa Di Tanah Suci


Pertama kali berpuasa di tanah suci Mekah dan Madinah memang menyeronokkan. Sebelum ni hanya dengar dari kawan2 dan saudara mara yang pernah berpuasa di sana. Dengan izin Allah s.w.t  sampai juga hajat ku untuk menjalankan ibadah puasa di kedua dua kota suci ini pada tahun 2004. Trip ni pergi seorang diri mengikut pakej umrah yang dikendalikan jiran.

Saat berbuka puasa amat dinanti-nantikan. Pergi masjid awal iaitu lebihkurang satu jam sebelum masa berbuka. Pak2 Arab dan jemaah2 lain sudah memenuhi ruang luar kawasan masjid. Di dalam masjid pun sama ramainya. Setibanya di masjid adalah petugas2 akan melambai dan berebut rebut menarik kita ke tempat2 berbuka puasa samada di dalam atau di luar masjid. Juadahnya ringkas aje. Kurma, roti, yogurt dan air zam2. Setiap hari begitulah rutin dan menunya. Kadang2 terserempak juga dengan keadaan di mana Pak2 Arab ni berebut rebut juadah berbuka puasa. Suasana ini berlaku bila ada dermawan2 yang menyumbang juadah yang special sikit. Macam buah2an, kebab, kek dan sebagainya.

Bila dah lama berbuka puasa dengan juadah sedekah orang, terfikir juga nak buat ibadah yang sama. Nak ambil kesempatan sementara berada di tanah suci. Akhirnya dapatlah idea beli anggur dan kuih donut sebagai juadah berbuka setelah lama meninjau di supermarket dekat Masjidilharam. Bila sampai kat masjid pilihlah duduk dengan kumpulan2 Pak Arab. Anggur dan donut2 tu akan ku edarkan setelah azan dilaungkan. Nampak gembira dan ceria wajah2 Pak Arab dapat makan menu 'special' sikit. Dapatlah beberapa hari bersedekah juadah berbuka di tanah suci. Mudah2an Allah s.w.t menerima ibadah ku yang sedikit ini. Amin

August 8, 2010

Ancaman Di Bulan Ramadhan



Tak sangka sama sekali semasa semua umat Islam ternanti nanti kedatangan Ramadhan yang mulia ni ada pulak menantinya dengan tujuan yang lain. Kejadian samun awal pagi di Taman Desa Bestari dua hari lepas memeranjatkan kami penduduk taman perumahan ini. Taman ini nampaknya dah aman sejak lebihkurang dua bulan operasi mengawal bergilir gilir dijalankan oleh penduduk. Tiba2 kes samun berlaku. Masanya pulak dalam pukul 5.30 pagi. Waktunya selepas operasi mengawal yang selalunya tamat pada pukul 5.00 pagi.

Sesi perbincangan pun diadakan antara pihak polis IPD Sepang dan penduduk. Pihak polis memaklumkan berdasarkan MO, suspek kes samun ini ialah dari kaum Lombok dan Sunda. Walaupun dah ramai ditangkap dan ditembak mati, kes samun oleh mereka tetap berlaku. Nampaknya golongan ini sentiasa merekrut ahli2 baru untuk meneruskan jenayah mereka. Mereka menggunakan ilmu hitam dengan memukau mangsa. Bekas dan tanda amalan ilmu jahat ni akan ditinggalkan di sekitar atau dalam rumah yang disamun. Matlamat penyamun ni hanya duit dan barang berharga sahaja.

Tambah polis lagi, bulan Ramadhan ni merupakan masa yang paling banyak kes samun. Maklumlah nak menyambut Hari Raya. Kenalah cari duit lebih nak beraya sakan kat tanahair mereka. Rumah2 pun kerap kosong bila penghuninya ke masjid untuk beribadah. Atas nasihat polis, kami penduduk taman akan mengambil langkah keselamatan tambahan dan bersetuju untuk mengeluarkan sumbangan RM50 serumah setiap bulan. Anggota pasukan Rela akan diupah berkawal kawasan taman hingga pagi mulai bulan Ramadhan  hingga musim raya nanti. Penduduk juga akan bersama mengawal mengikut hari2 tertentu.

Di samping itu, usaha2 melalui keagamaan juga akan dilakukan. Ibadah solat hajat, doa2 pelindung dan pendinding rumah dan keluarga serta lain2 kaedah akan diusahakan. Moga2 Allah s.w.t. melindungi kami semua. Amin.

Pertandingan Bilal Muda


Salah satu program yang dapat mendekatkan golongan remaja ke masjid ialah dengan mengadakan pertandingan bilal muda. Remaja2 ni perlu diberi peluang menonjolkan bakat disamping beribadah. Sikap berlumba lumba di jiwa para remaja di atas platform yang betul mampu mendidik dan membentuk akhlak yang terpuji.

Seramai lebihkurang 20 remaja menyertai pertandingan bilal muda yang dianjurkan Masjid As Salam bersama pihak Kemas Parlimen Puchong. Program sehari ini dapat mencungkil bakat dan kebolehan remaja di bawah kariah masjid di dalam mengalunkan dan menghayati seruan azan. Perserta yang berjaya menjadi johan diberi peluang berkhidmat sebagai bilal sokongan secara sambilan di masjid. Peluang yang sama juga diberi kepada perserta2 yang mendapat tempat kedua dan ketiga.

August 6, 2010

Membudayakan Bertadarus Di Kalangan Remaja


Anak2 remaja kita ni buka tak tau baca al-quran. Kat sekolah memang terdapat syllabus belajar mengaji. Apatah lagi yang menghadiri sekolah agama sebelah pagi atau petang. Selain itu, ramai ustaz dan ustazah ada menyediakan kelas di rumah2 atau surau2. Tidak ada alasan kalau remaja sekarang tak tau baca al-quran. Pokoknya, ibu bapa kena main peranan dalam mengatur aktiviti harian anak2. Bila kita leka, anak2 lagi lah seronok. Benda2 lain yang akan mereka sibukkan.

Bila ramadhan menjelma, program bertadarus al-quran perlu diaktifkan. Semua lapisan umur perlu terlibat. Kalau ibu bapa tak menyertainya, macamana anak2 nak buat. Lepas solat tarawikh dok pakat tergesa gesa balik rumah tu nak buat apa ? Selalunya solat tarawikh habis dalam pukul 10.00 ke 10.30 malam. Yang buat lapan rakaat lagi awallah. Konsep beribadah malam hari dalam bulan ramadhan tu termasuklah solat tarawikh dan bertadarus al-quran selepasnya. Lebihkurang pukul 11.30 ke 12.00 malam habislah program ni.

Ibu bapa kena jadi 'role model'. Kalau tak dapat buat kat masjid atau surau, kat rumah bersama anak2 pun boleh. Bermulalah dengan setengah juzuk satu malam. Pada 10 malam terakhir, pakat pulun lah. Ada rezeki dapat bertemu malam Lailatulqadar. 

Selain itu, kerjasama masjid, ibu bapa dan sekolah amat penting untuk menganjurkan aktiviti tadarus secara teratur. Hanya sekolah sahaja tempat remaja berkumpul. Arahan dari pihak sekolah dan ibu bapa  mudah dipatuhi remaja, berbanding seruan atau jemputan dari masjid. Bak kata Ustaz Uthman El-Muhammady, 'Masjid, sekolah dan keluarga merupakan tiga institusi strategik yang berperanan membentuk akhlak remaja Islam. Kerjasama antara ketiga tiga pihak untuk menjayakan program2 remaja Islam amat penting.'  

August 5, 2010

Cabaran Memajukan 'Sg. Linggi River Cruise'


Pelawaan untuk menyertai trip menyusur Sungai Linggi diterima dengan rasa sedikit berdebar.  Mana kan tidak, bangkai buaya tembaga yang besar tersadai ditemui di pantai Port Dickson sehari sebelum trip ini. Memandangkan ia salah satu tanggungjawab sebagai perunding, rasa gemuruh dan takut ini dilupakan. Pakat berdoa dan berserahlah kepada Allah s.w.t untuk keselamatan.

Trip ini diuruskan oleh MPPD dan Jabatan Landskap Negara.  Enam buah boat disediakan. Seramai lebihkurang 40 perserta menyertainya terdiri daripada pegawai2 jabatan teknikal dan kumpulan perunding. Bermula pada pukul 5.40 petang dari Jeti Shahbandar di Lubok Cina menyusuri Sg. Rembau dan terus ke Sg. Linggi. Trip pergi balik mengambil masa lebihkurang tiga jam. Pukul 9.00 malam baru sampai balik.

Beberapa cabaran dan isu dikenalpasti yang perlu ditangani sebelum pakej dan produk pelancongan ini boleh menjadi salah-satu daya tarikan baru bagi Daerah Port Dickson. Antaranya :

i.  Air Pasang Surut

Pakej ini banyak bergantung kepada keadaan air pasang surut. Selalunya air pasang berlaku pada waktu pagi atau petang. Keadaan akan cepat menjadi gelap apabila  trip bemula pada lewat petang. Suasana  gelap gelita menyusuri sungai agak menakutkan. Cuaca akan menjadi panas kalau bermula waktu pagi pula.

ii. Kekurangan Daya Tarikan

Para pelancong akan dapat menikmati alam semulajadi persisiran sungai. Pokok bakau, nipah dan berembang merupakan spesis utama. Sesekali nampak juga burung bangau dan kera. Kadang2 bertembung dengan para nelayan sedang menangkap ikan dan udang. Berhenti di Taman Chandra Lokan tidak banyak yang dapat dilihat. Pak cik yang menguruskannya nampak tidak berapa 'bersedia' untuk menyambut pelancong. Bila waktu gelap pun, klip2 teramat kurang di pokok2 berembang.

iii.  Keadaan Fizikal Boat

Kes boat kehabisan minyak di tengah2 trip menyusur sungai memberi 'bad impression'. Rasa takut dan bengang di kalangan perserta mula timbul  Apatah lagi dalam keadaan gelap malam.

iv.  Tiada 'Tourist Guide'

Menyusur sungai tanpa 'si pencerita' agak membosankan. Perserta hanya di bawa oleh juru mudi boat yang tidak terlatih dan kurang berpengetahuan dalam hak ehwal Sungai Linggi. Tiada maklumat baru yang diperolehi perserta.


v.  Bantahan Nelayan

Difahamkan pakej menyusuri Sungai Linggi ini mendapat bantahan dari nelayan yang menangkap ikan dan udang. Kekerapan boat berulang alik membawa pelancong dikatakan menganggu aktiviti mereka. Hasil tangkapan didakwa berkurangan.

August 4, 2010

Corak Pembangunan 'Linear' Membantu Peniaga Melayu


Corak kawasan perniagaan berbentuk 'linear' yang membangun secara organik banyak tumbuh di kawasan2  separa bandar dan luar bandar. Barisan kedai2 yang tumbuh di sepanjang jalan utama disebabkan oleh dua faktor utama. Pertama ialah setiap aktiviti perniagaan memerlukan promosi yang maksimum. Dengan membina kedai menghadap jalan utama akan memberi peluang perniagaan itu dilihat oleh pelanggan dengan jelas. Aktiviti perniagaan ini banyak bergantung kepada lalulintas yang berulang alik. Faktor kedua ialah meminimumkan kos operasi. Peniaga2 lebih suka membina kedai di atas tanah sendiri berbanding membeli kedai yang siap dibina. Kedai2 yang dibina pemaju selalunya di luar kemampuan mereka.

Meninjau beberapa kawasan majoriti Melayu di pantai timur seperti Wilayah Felda Jengka di Maran, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Dungun dan beberapa kawasan lagi jelas menggambarkan keadaan sedemikian. Kawasan2 perniagaan ini mampu tumbuh dengan 'vibrant'. Nilai estetik dan fizikal premis perniagaan bukan keutamaan tidak seperti kawasan perniagaan baru dan moden. Jenis dan kualiti premis perniagaan bergantung kepada kemampuan peniaga. Isu tidak keseragaman bangunan dan kurang menarik tidak timbul. Yang penting peniaga2 Melayu ini dapat beroperasi dan mengeksploit potensi pasaran yang ada di sekeliling mereka.

Ada sesetengah PBT mengambil sikap 'mengalah'. Langkah untuk mengawal pertumbuhan kedai2 di sepanjang jalan utama ini nampak seperti misi mustahil. Para perancang bandar 'diarah' mengezonkan tanah2 di sepanjang jalan utama sebagai kawasan perniagaan. Kadang2 sepanjang 2-3 kilometer dari pusat bandar. Walaupun corak pembangunan 'linear' tidak digemari oleh para perancang bandar. Namun ego ini terpaksa diketepikan apabila menyedari aspek realitinya dan keperluan untuk membantu peniaga2 kecil terutama orang Melayu. Kawasan perniagaan 'linear' ini menjadi asas dan tapak permulaan bagi peniaga2 Melayu untuk memulakan bisnes. Pengalaman berniaga itu penting dan perlu dimulakan di lokasi yang betul dengan kos yang minimum.

August 3, 2010

Berselawat Keliling Taman


Sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid As Salam disambut meriah. Majlis ini dianjurkan buat pertama kali sempena pembukaan masjid secara rasmi pada tahun 2007. Sambutan amat menggalakkan. Hampir semua surau di bawah kariah masjid menyertainya. Murid2 sekolah dan tadika juga tidak ketinggalan. Persatuan dan NGO yang aktif turut mengambil bahagian.

Selawat ke atas junjungan Nabi s.a.w. oleh  barisan2 perarakan bergema dengan mengelilingi taman2 perumahan sekitar kariah masjid sejauh lebihkurang 4 kilometer. Walaupun hujan turun pada pagi itu, ia tidak mematahkan semangat para perserta perarakan. Kawalan keselamatan oleh pihak Polis Trafik melancarkan pergerakan para perserta tanpa diganggui oleh lalulintas.

Di ruang legar masjid, pelbagai acara susulan diadakan. Ini termasuklah : ceramah perdana; nyasid dan bercerita   kisah2 Rasulullah. Tetamu jemputan istimewa ialah Ustaz Nazri dari kumpulan Raihan yang menyanyikan beberapa buah lagu. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk pertandingan pasukan perarakan. Untuk majlis perarakan Maulidur Rasul yang pertama ini, Persatuan Nurul Aula Puchong Perdana dinobatkan sebagai pasukan terbaik.

August 2, 2010

Cabaran Bertadarus Al-Quran Dengan Ustaz Isa


Sebelum ni, bila bulan puasa  bertadarus al-quran hanya kat surau dengan Pak Imam dan rakan2 jemaah. Dapatlah buat untuk dua tahun berturut-turut. Campur dengan jemaah buruh Indonesia yang tinggal berdekatan surau, adalah lapan orang menyertainya. Bolehlah bagi dua kumpulan.

Bila masjid siap, lepas solat tarawikh pakat cubalah bertadarus di masjid pulak. Tak ramai yang turut serta. Lebihkurang 12 orang aje. Imam 2 masjid iaitu Ustaz Hj. Md Isa memimpin tadarus. Menggeletar lah masing2 menunggu giliran membaca. Maklumlah Ustaz Isa ni bekas johan qari Wilayah Persekutuan. Beliau juga mengajar tajwid dan taranum kat masjid. Jenu jugak hak habiskan satu muka surat. Ada aje kesilapan yang ditegur ustaz. Kumpulan Ustaz Isa yang paling lambat habis. Lepas tu, ada jemmah yang tak berani lagi masuk kumpulan Ustaz Isa. Dengan kumpulan lain, lebih mudah dan boleh balik awal sikit.

Malangnya, Ustaz Isa jatuh sakit kena strok  Tak dapatlah beliau memimpin majlis tadarus lagi. Pengalaman bertadarus dengannya memang amat mencabar. Baru lah kita tahu setakat mana kemampuan membaca al-quran. Selama ni bertadarus dengan ustaz lain mudah. Kita pun perasaan dah mahirlah. Ustaz Isa memang tegas bila mengajar. Dia akan ulang bacaan beberapa kali supaya jemaah yang bertadarus sedar kesilapan mereka. Moga Ustaz Isa sembuh semula. Dalam kepayahan bertadarus dengannya, ada banyak hikmah dan pengajaran yang kita boleh perolehi.