Showing posts with label Komuniti Ku. Show all posts
Showing posts with label Komuniti Ku. Show all posts

October 30, 2015

Bila Pangsapuri Dah Diluluskan


Cadangan projek pangsapuri ni dah lama tau. Masa beli rumah lagi dah nampak tapak cadangan dalam 'overall layout plan' Desa Bestari. Tapi bila fikirkan harga dan lokasi yang menarik, buat keputusan beli jugak rumah di sini. Pemaju terpaksa peruntukkan tapak pangsapuri ni bagi mematuhi syarat kelulusan pembangunan. Walhal tak ada pun keperluan rumah kos rendah sekitar kawasan projek. Tak ada pun kawasan setinggan yang perlu dipindahkan. Tak macam kawasan Petaling Jaya atau Puchong yang pernah aku diami.

Bila dah duduk sini, pakat bincang dengan jiran2 buat cadangan pada pemaju supaya pinda kegunaan tapak tu. Memang tak berapa setuju kalau pangsapuri kos rendah dibina. Cadang buat dewan atau kedai jer. Surat rasmi pun kami panjangkan pada pemaju. Pemaju dah dimaklumkan tapi tak respon apa2.

Legalah sekejap. Dah masuk 8 tahun duduk di sini. Beberapa projek baru mula naik bersebelahan Desa Bestari. Semuanya jenis unit kediaman yang harmoni dengan kawasan sediada. Cuma kesesakan trafik  dah mula meningkat sikit bila projek2 baru ni siap. Hanya satu jalan utama sediada selebar 1 rantai yang digunakan. Pagi2 pukul 7 dan 8 pun sekarang ni simpang keluar utama Desa Bestari dah beratur panjang kereta.

Agak terperanjat bila dimaklumkan cadangan projek pangsapuri dah diluluskan secara dasar oleh MPS. Tapi belum endorse lagi. Satu blok pangsapuri 5 tingkat 65 unit kediaman di atas tapak 1.45 ekar. Kalau satu unit kediaman darab 2 kereta ? 130 kereta tu. Dah mula dapat bayangkan isu dan masalahnya. Senario trafik dan corak parking pangsapuri2 sediada sekitar Lembah Klang banyak memberi pengajaran. Parking tak pernah cukup. Tak kan nak parking sepanjang jalan utama selebar 1 rantai ni ? Ni tak masuk jenis orang yang menyewanya. Orang bujang ?. Dalam otak mula fikir puak2 Negro dan Arab. Maklumlah sekitar Sepang, Salak Tinggi dan Nilai ni dah mula ramai masyarakat ni.

Senario dan bayangan di atas dah mula merisaukan komuniti Desa Bestari. Masalah kecil yang diwujudkan oleh pelanggan2 Restoran Pak Wan parking sekitar simpang jalan utama waktu lunch time pun dah menganggu kami. Ini kan pulak trafik dan parking projek pangsapuri ni. 

Tak ada pilihan lah nampaknya. Kena buat bantahan. Lebih cepat lagi bagus. Sebelum cadangan projek ni diendorsekan.  Berpeluanglah jugak bersembang dengan beberapa orang pegawai MPS. Depa suruh tulis bantahan secara rasmi kepada YDP. Atau bincang dengan ahli2 majlis berkaitan. Untuk dapatkan pandangan dulu. Bantahan kena berhemah dan ikut procedure. Elok Jawatankuasa Penduduk Desa Bestari yang buat.

Bukanlah kami penduduk Desa Bestari nak menafikan hak golongan yang berpendapatan rendah memiliki rumah. Tapi cadangan tapak projek kediaman kenalah sesuai. Membina projek berkepadatan tinggi di atas saiz tapak yang terhad dan di tengah2 kawasan 'desa' memang tak berapa sesuai. Apatah lagi kemampuan jalan keluar masuk sediada yang terhad. Yang pasti akan menambahkan masalah jer bukan menyelesaikannya. 







September 26, 2015

Kerja2 3D Majlis Korban


Tahun ni bilangan lembu korban agak berkurangan. Rata2 surau dan masjid mengumumkan jumlah penyertaan yang agak merosot berbanding tahun2 yang lalu. Mungkin kos penyertaan yang meningkat iaitu RM600 satu bahagian. Mungkin juga cuti Hari raya Haji bertembung dengan cuti sekolah. Ramai yang bercadang ambil kesempatan untuk balik kampung atau bercuti di mana2. 

Surau kami pun hanya dapat 3 ekor lembu tahun ini. Itu pun last minit dapat tambah seekor. Kalau tidak 2 ekor jer. Puas Pengerusi dan AJK buat announcement untuk memberi motivasi kepada jemaah untuk menyertainya. 3 ekor pun dah kira okey lah. Alhamdulillah. Walaubagaimana pun, awal2 lagi ramai jemaah yang telah memaklumkan tak dapat join majlis korban. Nak balik kampung. Termasuklah kebanyakan AJK sekali. Risau juga AJK yang tinggal. Takut tak ada orang yang datang membantu masa majlis korban nanti.

Agak memeranjatkan. Solat Hari raya pagi tu agak penuh. Lebih ramai dari tahun2 yang lalu. Imam pun jemputlah semua supaya untuk hadir gotong royong menguruskan lembu korban. Kebetulan ada 2 projek perumahan bersebelahan sedang dalam pembinaan. Ramai juga jemaah terdiri daripada buruh Bangladesh. Hati terasa lega sikit. Mereka ni lah yang boleh diharapkan nanti selain jemaah tempatan. Sempat mempelawa buruh2 Bangladesh ni bila berjumpa lepas solat.

Kehadiran jemaah tidak menghampakan. Termasuk buruh Bangladesh. Kebanyakan urusan menumbang dan melapah kulit lembu diuruskan oleh buruh2 Bangladesh. Tak payah disuruh suruh. Mereka secara sukarela melakukannya. Jemaah tempatan hanya jadi tukang sembelih dan membantu. Kerja2 yang agak ringan seperti melapah, membungkus dan mengagih daging diuruskan oleh AJK dan jemaah tempatan. Yang berat2 seperti bahagian tulang dilakukan oleh jemaah Bangladesh. Tak pakai mesin pun. Pakai kapak dan parang sahaja. Hebat mereka ni. Semuanya beres sebelum masuk waktu zohor.

Patutlah 1.5 juta lagi buruh Bangladesh diperlukan negara. Kata Pak Menteri orang tempatan dah kurang berminat bekerja dalam sektor 3D. 'Difficult, Dangerous and Dirty'. Kerja2 kecil di dalam majlis korban sedikit sebanyak membuktikannya. Apatah lagi dalam sektor-sektor utama seperti pembinaan, pertanian dan sebagainya.

November 1, 2014

Iktibar Membawa Anak Kecil Ke Surau


Kalau sebelum ni post mengenai anak-anak kecil ke surau lebih kepada menceritakan kesan2 negatifnya. Bising dan merimaskan. Tak khusyuk solat dibuatnya. Ke hulu ke hilir berjalan depan saf. Jemaah merungut kat Pengerusi dan Jawatankuasa. Puas buat announcement. Nasihat dan mohon ibu bapa kawal sikit anak2 ni. Bila masing2 tengah solat mana nak kawal. Kalau bagitau tak payah bawa, kecil hati pula. Serba salah. Mereka ada justifikasi masing2 membawa anak2 ke surau.

Tapi kes kecil ni membuka mata ku. Al kisah, anak kecil ni lebihkurang 3 tahun umurnya. Dia boleh dianggap antara paling buas dan nakal di surau. Ayah seorang Ustaz. Antara jemaah regular. Kerap jadi imam. Kenakalan anak kecil ni memang jadi bualan ahli kariah. Mesti bawa pedang plastik dia bila ke surau. Bila ayah solat sunat, ditunggangnya. Posisi ayah rukuk dan sujud cukup digemari. Kadang2 nak tergelak juga. Tapi ayahnya cukup cool. Bila ayah jadi imam habis diraba dan pegang microphone. Bila ayah bagi tazkirah, dipanjatnya kerusi dan meja. Duduk bersama ayah. Jemaah surau sampai dah jadi terbiasa dengan tingkah laku anak ini. Malas dah nak complain. Keadaan ni berterusan lebih 10 bulan sejak surau dibuka Januari lalu.

Lama juga aku 'cuti' tak ke surau. MC lepas bedah mata. Lebihkurang sebulan. Agak memeranjatkan bila aku ke surau semula. Wajah anak ini nampak ceria bila melihat ku. Macam reaksi orang dah lama tak jumpa. Tak sangka, disapanya aku. 'Pak Cik dah datang.' 'Pak Cik mana spek ?' tanyanya. Saja tak pakai spek masa tu bila mata rasa dah okey. 'Tertinggal (terpaksa buat bohong sunat).' jawabku spontan. 'Tertinggal kat mana ?' tanyanya lagi. 'Tertinggal kat rumah, Mai salam Pak Cik.' Dia sambut salam ku, senyum dah terus berlari ke ayahnya dan bagitau tentang jawapan ku. Tak sempat nak peluk dan cium budak ni. Comel sungguh dan tersentuh hati ku dibuatnya.

Anak kecil ni dah tak nakal lagi. Dah tak berlari-lari depan saf. Tak kacau ayah bila jadi imam. Hanya duduk dan bermain di bahagian belakang ruang solat. Dari kisah kecil ini dia macam dah kenal semua jemaah yang datang ke surau. Dah tau nak menyesuaikan diri. Tak ada lagi 'gangguan' darinya. Maklumlah dah hampir 10 bulan ke surau bersama ayahnya. 

Patutlah Nabi s.a.w. tak larang anak2 kecil ke surau atau masjid. Teringat kisah masyhur tentang cucu Baginda  Hassan dan Husin bermain semasa baginda bersolat.

July 13, 2014

Tadarus 2 Surau


Bila tiba bulan Ramadhan, salah satu ibadah yang dituntut tentulah tadarus Al Quran. Banyak fadhilatnya. Nak ambil sikit apa yang Nabi s.a.w dah bagitau “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka, maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud). Ni antara yang dikejar dalam bulan mulia ni.


Kata Nabi s.a.w. lagi, “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).

Tapi tak ramai yang sanggup buat. Antara sebabnya : mula lepas moreh agak lewat malam baru habis; letih esok kerja; segan tak berapa lancar baca; tak kurang juga ada yang nampak tak ambil kisah dan sebagainya. Ada yang kena tegur langsung tak datang lagi. Ada jugak yang puas ditegur bacaannya tapi macam 'degil'. Tu sebab boleh kira dengan jari jemaah yang bertadarus setiap malam. 3 ke 6 orang saja. Dapatlah habis 1 juzuk atau 1 juzuk setengah satu malam. Kalau 1 juzuk 1 malam memang tak khatamlah jawabnya. Sebab seminggu atau dua tiga hari sebelum raya taman dah hampir kosong. Ramai dah balik kampung.

Isu yang aku catatkan di atas adalah pengalaman bertadarus di 2 surau. Tempat lain tak taulah. Mungkin lebih baik. Surau pertama terletak di kawasan majoriti golongan berpendapatan rendah. Kebanyakan isirumah datang dari program pertempatan semula setinggan. Ramai yang kerja sebagai buruh, penjaja, kakitangan awam bawahan dan sebagainya. Lebih 14 tahun aku berjemaah bersama mereka ni. 

Surau kedua terletak di taman yang majoriti golongan profesional dan berpelajaran. Ramai terdiri dari pensyarah, pegawai kerajaan dan swasta. Bersama jemaah ni baru pertama kali berpeluang bertadarus. Dah masuk malam ke 15 Ramadhan, bilangan yang bertadarus semakin berkurangan. Kadarnya 1 malam 1 juzuk. Tak taulah sempat khatam ke tidak. 

Moga dipermudahkan Allah s.w.t.

Ameen.


June 30, 2014

Cabaran Solat Tarawih


Ramadhan dah tiba. Semua teruja. Maklumlah kali pertama nak buat solat tarawih di surau baru. Surau yang berjaya disiapkan awal Januari lalu. Hasil sumbangan wakaf dan sedekah orang ramai. Satu setengah tingkat. Lebihkurang RM1.16 juta kos pembinaannya. 

Perasaan berbeza. Tidak seperti sepanjang menunaikan solat fardhu berjemaah dan program2 ceramah yang telah diadakan. Kehadiran jemaah terkawal. Selalunya tidak lebih 3- 4 saf jemaah yang hadir. Yang bawa anak2 kecil pun tak ramai.

Untuk menyediakan peralatan dan keperluan tambahan tu, insyaAllah jawatankuasa boleh usahakan. Tambah kipas, pasang kemah, awning dan sebagainya, Alhamdulillah semua beres. Cuma yang satu ni agak membimbangkan. Anak2 kecil. 

Majoriti penduduk Desa Bestari terdiri daripada keluarga muda. Sudah tentu anak2 kecil membentuk cohort terbesar. Bila kedua ibu bapa ke surau. Anak2 ni terpaksa dibawa bersama. Apatah lagi malam pertama Ramadhan. Semangat masing2 tinggi nak solat tarawih.

Akhirnya yang dibimbangi terjadi juga. Bila dah ramai anak2 kecil. Boleh bayangkanlah. Riuh rendah, bising, hiruk piruklah dibuatnya. Berlari sana sini, menjerit, menangis, berkawat ulang alik depan jemaah bersolat. Ada jugak yang bawa pedang (mainan lah) ke surau.

Memang mencabar betul. Puas Pengerusi dan Pak Imam buat announcement. Senyaplah sekejap. Lepas tu start balik. Biasalah budak2. Bimbang juga kalau2 imam hafiz ni terganggu bacaannya. Nasib baiklah imam cool dan tabah. Nampak jelas wajah2 sedikit kecewa dan tidak selesa di kalangan para jemaah.

Isu2 macam ni, ibu bapalah kena faham. Kena berkorbanlah. Kalau dah 'menyusahkan' orang lain elok tak usah bawalah anak2 kecil ni ke surau lagi. Nak didik anak untuk merasai suasana surau pun buatlah secara bijaksana. Takut lain yang dihajatkan, lain pula yang dapat. 

Wallahualam.

February 13, 2014

Pembinaan Surau Desa Bestari

Berpindah ke Desa Bestari pada Disember 2008. Kebetulan lepas habis kemeriahan PRU13. Sebenarnya rumah ni dah siap pada Ogos 2008 lagi. Ikut jadual pembayaran penuh ke bank lah. Alhamdulillah, pembinaannya tak delay langsung. Pemaju terbaikk....Kami penduduk Fasa 1. Cuma 24 unit sahaja. Tak semua unit  kediaman dihuni lagi pada masa tu. Agak sunyi taman ni.

Dipendekkan cerita, hampir 2 tahun lebih, baru penuh kediaman di sini dihuni. Termasuk Fasa 2 dan 3. Lebihkurang 200 unit. Semua Melayu. Maklumlah taman ni dibina di atas Tanah Rezab Melayu. Rata2 penduduk Desa Bestari bekerja di Putrajaya, Cyberjaya, KLIA, Nilai dan Bangi.

Kami bertuah dah ada rezab surau disediakan pemaju. Lebihkurang 0.3 ekar sahaja luasnya. Ambil inisiatif tubuh Jawatankuasa Pembinaan. Kata Pengerusi yang dilantik, 'Kita kena bina ikut peraturan. Tak apa walaupun lambat.' Setuju sangat nasihat tu. Ada kes surau jadi 'haram'. Dari segi teknikal lah. Sebab dibina tanpa mendapat  kelulusan terlebih dahulu. Kami dimaklumkan Orang Besar Daerah pun agak tersinggung dan tak berapa berkenan kalau bina surau cara tu.

Lokasi
Tapak Surau
Borang permohonan boleh dapat di Bahagian Pengurusan Masjid JAIS. Biasalah, butir2 dan latarbelakang tapak dan taman perlu diisi. Yang mencabar sikit tu bila nak dapatkan sokongan 6 individu. Nazir Masjid, Pengerusi Taman, Tok Penghulu, Wakil Rakyat, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah dan Orang Besar Daerah. Bukan senang nak jumpa mereka2 ni. Ada juga yang kurang bersetuju. Sebab tapak surau ni tak jauh dari masjid sediada. Takut tak ramai datang masjid nanti, bila surau siap. Ada juga nak ikut titiah Sultan,'Surau tak perlu bina banyak2 di Selangor ni.' Puas juga nak memujuk dan menjustifikasikannya. Akhirnya, Alhamdulillah dapat juga sokongan mereka2 ni.


Seiring dengan tugas2 ni, permohonan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Bangunan dari PBT perlu dibuat. Kena lantik Perunding Perancang Bandar dan Akitek untuk urusan ini. Allah Maha Penyayang. Semua urusan ini berjalan lancar. 

Hampir setahun berusaha. Akhirnya surat permohonan, borang permohonan dan salinan kelulusan PBT yang lengkap dapat diserahkan ke JAIS. Kelulusan JAIS diperolehi selepas sebulan kemudian.

September 28, 2013

Silat Zikir


Ni pengalaman tak disengajakan. Tak rancang nak dapat. Semuanya cara kebetulan. Mungkin dah rezeki. Post kali ni agak mistik sikit. Pada asalnya hanya ikut dan temankan kawan berubat cara perubatan Islam. Dalam proses berubat tu, Ustaz yang mengubatnya tu pelawa pesakit2nya belajar Silat Zikir. Sebagai salah satu pendinding atau persediaan bila mengalami kesulitan atau ancaman. Ambil peluang tumpang sekakilah. Bukan senang nak dapat peluang macam ni.

Tempatnya di Pantai Port Dickson. Malam pulak tu. Ramainya juga yang dah berkumpul bila kami sampai. Lebihkurang 30 orang. Perempuan pun ada. Ustaz suruh semua beratur. Buat beberapa barisan. Jarak antara satu sama lain lebihkurang sedepa depan, belakang, kiri dan kanan.

Sebelum mula, Ustaz beri penerangan sikit. Katanya 'Zaman Rasulullah s.a.w dulu sahabat2 tak ada ilmu kebal. Mereka menang perang hanya dengan pertolongan Allah s.w.t.' Tambahnya lagi, 'Silat Zikir ni ada diamalkan oleh ulama2 besar nusantara seperti Wali Songo, Prof Hamka dan ramai lagi.' Sebenarnya ada lagi nama2 lain yang disebut. Cuma aku tak ingat. 'Bila kamu semua berzikir nanti, semua silat2 yang pernah kamu belajar dulu secara otomatik akan keluar secara sendiri.'

Dimulakan dengan mengikut Ustaz membaca beberapa surah lazim. Seterusnya bacaan zikir. Ustaz akan pergi pada setiap orang. Satu persatu. Dia akan memegang dan menyentuh kami sambil berzikir bersama-sama. Lebihkurang 10 minit berlalu. Dah ada yang berjalan ke hulu ke hilir. Ada yang dah mula bersilat. Rasa badan ni dah mula ringan. Kedua-dua tangan mula berhayun. Rasa betul2 bersemangat macam nak berpancak. Tapi taklah sampai nak bersilat pulak. Semuanya dalam keadaan sedar. 

Lebihkurang 30 minit kami pun berhenti berzikir. Kata Ustaz, 'Alhamdulillah, kita dah berzikir beribu kali malam ni. Ustaz dah ijazahkan kamu semua. Boleh amalkanlah. 5 minit lepas solat. Atau sambil baring, duduk semua boleh. Yang penting hati kita sentiasa ingat pada Allah s.w.t. InsyaAllah pertolonganNya akan sampai bila kita memerlukan.' Statement yang last ni betul2 menginsafkan bila mendengarnya.

Wallahualam.

April 2, 2013

Peluang Dari RM1.16 juta


Tak sangka kos pembinaan surau ni sampai satu juta lebih. Atau lebih tepat RM1.16 juta. Pada awalnya hanya agak2 sekitar RM700 ribu jer. Betullah kata seorang akitek ni, bila lihat pelan bangunan surau. 'Lebih sejuta kos bina surau ni !!!'. 'Hebat design surau ni. Tak ada lagi macam ni kat sekitar Sepang.' komen seorang pegawai tinggi di Majlis Perbandaran Sepang pula.

Mula2 rasa banggalah juga dengan komen2 mereka tu. Tapi bila fikirkan kosnya, agak membimbangkan. Mana nak cari RM1.16 juta ni ?. Komuniti taman ni asyik dok tanya tentang surau. 'Bila nak bina ?', 'Alaa..start ajelah dengan duit yang ada !!!'. 'Kami nak solat tarawikh kat surau tahun ni !!'. Antara pertanyaan dan gesaan yang dihadapi kami. Jawatankuasa.

Pelbagai cara untuk mencari dana dibuat. Edaran borang sedekah dan wakaf dibuat ke seluruh taman. Semua saudara mara, sahabat handai juga dirayu. Panggillah ustaz2 yang terer2 dan popular berceramah di taman permainan kami. Dengan harapan dapat menarik crowd. Seterusnya, menyumbang kepada dana pembinaan. Pejabat2 kerajaan berkaitan pun dicuba. Alhamdulillah. Ada yang berjaya. Ada juga yang tidak.

Aku bukanlah ustaz. Nak berceramah pasal fadhilat atau pahala sedekah bina surau ni. Tapi seperti yang semua tahu, memang banyak ayat Al Quran dan hadis berkaitannya. Atas kesedaran nilah, kos RM1.16 juta tu tidak lagi dilihat sebagai 'beban'. Yang sebenarnya, ia lebih merupakan peluang terbentang luas untuk komuniti taman khususnya menambah saham akhirat. Tak perlu cari jauh2. Di depan mata peluang dah ada. Lebih tinggi kosnya, lebih banyak peluang menambah pahala yang disediakanNya.

Apa2 pun, InsyaAllah, matlamat siapkan surau sebelum Ramadhan ni masih dipegang. Walaupun jumlah dana  masih tak mencukupi sepenuhnya (setakat nilah). Keutamaan diberi pada bangunan utama surau. Kalau duit tak cukup. Yang lain2 tak perlu dibina lagi. Dengan harapan peluang2 yang masih ada ini akan direbut oleh mereka2 yang terbuka dihati untuk tidak melepaskannya. Yang pasti, buka kecil fadhilat  membantu membina Rumah Allah ini. Wallahualam.

March 10, 2013

Gelar Mengelar Gurauan Orang Kampung


Masa kecil2 dulu di kampung salah-satu perkara dominan yang aku masih ingat ialah gelaran2 yang diberi kepada seseorang. Tak pastllah apa tujuan sebenarnya. Mungkin sebagai gurauan. Atau untuk mudah mengenalinya bila disebut. 

Gelaran2 tu selalunya banyak berkait rapat dengan karekter fizikal atau kelakuan individu itu. Contohnya, Embok Elat. Dia memang pelat bila bercakap. Aim Gagap. Agak jelaslah sebab dia digelar sebegitu. Ali Kerbau. Orangnya hitam berbadan besar. Harun Pekak. Bagai nak putus urat tekak kalau panggil dia. Kadang2 terlalu banyak nama yang sama terpaksa mereka membezakan untuk memudahkan. Agaknya. Seperti Mat Lorat, Mat Gajah, Mat Bengot, Mat Komando, Mat Cacing, Mat Jepun, Mat Dayong dan sebagainya. Arwah Abah pun tak terkecuali. Orang kampung panggil dia Hashim Panjang atau Hashim Telekom. Sebab dia agak tinggi dan berkerja di Jabatan Telekom Malaysia masa tu.

Peniaga2 Cina di kampung pun turut menjadi 'mangsa'. Yang paling lucu, Kek Taik. Sebab kedai dia guna tandas angkut. Bila dah penuh, kerap orang2 kampung terserempak dengan aktiviti angkut mengangkut benda tu. Sudah tentu jijik dan meloyakan. Seorang lagi Kek Loyang. Yang ni, aku tak pasti mana dia dapat gelaran tu. Mungkin jenis barangan yang dijual kot.

Gelaran2 ni dibawa hingga ke mati pemiliknya. Masa hidup mereka, tak pernah pulak aku dengar kes2 pergaduhan atau pertengkaran disebabkan isu gelar mengelar ni. Cuma kami yang kecil2 ni tak pulak berani memanggil mereka dengan gelaran2 tersebut bila bertemu. Faham sangat batasannya. Silap2 haribulan, takut naik penampar di muka nanti. Kat belakang bolehlah sebut. Tupun kalau terpaksa. Cuma nak memaklumkan hal2 berkaitan si pemilik gelaran. 

February 10, 2013

Teringat Beli Motor Dia


Lama dah aku tak jumpa dan mengikuti perkembangan insan ni. Hampir 30 tahun. Tau2 jadi Presiden dah dia. Bergelar Datuk lagi. Alhamdulillah, persatuan semakin berkembang dan maju di bawah pimpinannya. 

Masih ingat lagi ketegasan dan kehebatannya melatih kami. Masa tu aku dok rumah bujang di Kampung Baru KL. Dah satu rumah ahli persatuan. Aku pun terikut samalah. Lagi pun malam2 banyak masa free. Pakat join jadi ahli dan berlatih dua minggu sekali. Badan pun sihat dan ramai kawan baru.

Salah seorang jurulatihnya insan ini. Masa tu dia muda lagi. Belum dapat Datuklah. Dia memang jurulatih favourite aku. Walaupun tegas, keras dan tangkas. Rasa puas dan yakin bila dapat berlatih di bawah seliaan beliau. Masih terasa kehebatan tumbukan dan ketangkasannya.

Yang aku paling tak dapat lupa bila dia umumkan pada pelatih nak jual motor Honda cup sebelum kelas bermula. Kebetulan masa tu, aku tengah cari motor untuk pergi kerja. Terpaksa tumpang motor kawan jer selama ni. Lepas kelas aku jumpa dia. Nyatakan hasrat nak beli motor. Kami pun tawar menawarlah. Akhirnya persetujuan dicapai bersama. Nampak seronok sungguh dia. 'Horei !!! motor aku dah laku !!!' bersorak dia pada kawan2 jurulatih yang lain. Kami semua tersenyum. Bila aku dah pakai motor tu setiap kali ke kelas, ada jurulatih lain menyapa. 'Kamu adik Maideen ke ?'. Rupa dan colour kulit kami pun nak akan sama. Tu yang depa terconfuse tu.

Lama juga aku pakai motor tu. Gunakan masa sambung belajar semula. Sampai sempat bawa balik kampung dari KL ke Melaka. Panas punggung dibuatnya. Tak sangka harta kecil ini pernah dimiliki oleh insan hebat persatuan kami. Syukur dan Alhamdulillah.

February 5, 2013

Bila Surau & Masjid Bimbang 'Kehilangan' Jemaah


Menjemput Ustaz Don untuk berceramah diharapkan akan dapat menarik crowd yang besar. Seterusnya akan memberi kesan positif kepada jumlah kuitpan dana untuk membina surau taman kami. Itu pendapat kami, Jawatankuasa  Pembinaan Surau. Dana perlu terus dicari untuk memastikan wang yang cukup untuk menampung kos pembinaan. 

Dalam masa sebulan, tiga kali bermesyuarat. Untuk memastikan persiapan yang rapi dapat dibuat. Yang paling sibuk sudah tentulah Biro Publisiti dan Hebahan. Segala kaedah digunakan. Banner, flyer, poster, facebook dan sebagainya. Harapannya untuk memaksimumkan penyebaran maklumat ceramah ini. Dua minggu sebelum tarikh ceramah, publisiti dan hebahan telah digerakkan.

Salah satu kaedah lagi ialah pengumuman di surau2 dan masjid2 yang berdekatan. Dengan confidentnya, kami berpendapat cara ini antara yang paling berkesan. Terutama semasa solat Jumaat. Jemaah dah memang tertumpu di masjid2. Mudahlah maklumat ceramah ini dapat disampaikan.

Persetujuan telah diberi oleh pegawai dan jawatankuasa surau dan masjid yang ditemui untuk membantu mengumumkan pogram kami. Punyalah seronoknya kami dengan kerjasama yang diberi. Tiba masanya masing2 pakat pergilah ke surau dan masjid untuk menunggu annoucement. Malangnya, tak ada apa2 yang diumumkan. Bilal terus melaungkan azan tanda sudah masuk waktu. 'Depa lupakah ?' bertanya di dalam hati. Kecewa pun ada.

'Kami tak dapat nak umumkan. Pasal kat surau/masjid kami ada program/pengajian  malam tu.'  Simple  dan bersahaja je  alasan yang dimaklumkan pada kami. Kalau ikutkan hati nak marahlah jugak. Nasib baiklah kesabaran masih ada. Mungkin ini antara dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi untuk membina Rumah Allah ini.

Walaubagaimana pun, sambutan dan kehadiran orang ramai amat membanggakan ke Majlis Ceramah Ustaz Don. Dari jauh dan dekat mereka datang. Ada yang datang dengan dua bas. Aura Ustaz Don memang hebat. Kutipan dana surau pun sudah tentulah amat memuaskan. Syukur dan Alhamdulillah.

December 14, 2012

Harap2 Siap Sebelum Ramadhan


Semua warga Desa Bestari begitu teruja di Majlis Pecah Tanah tapak surau. Sebelum tu solat hajat dan doa selamat disempurnakan untuk memohon pada Nya agar pembinaan surau ini berjalan lancar. Walaubagaimana pun tak semua hadir disebabkan musim cuti sekolah. Ramai yang dah ada program lain. Kena ke majlis kenduri kahwin atau bercuti bersama keluarga. Cukuplah lebihkurang 50 orang sebagai wakil daripada hampir 200 keluarga mendiami Desa Bestari.

Ia mengambil masa hampir 2 tahun ke tahap ini. Melibatkan proses lukisan pelan bangunan, mendapatkan kelulusan dari JAIS, kebenaran merancang dan kelulusan bangunan oleh Majlis Perbandaran Sepang. Lepas tu kena buat pelan2 M & E dan ukur bahan. Untuk kegunaan kontraktor dan mendapatkan kos pembinaan sebenar. Maklumlah kerja2 dibuat secara sukarela oleh Jawatankuasa yang dilantik. Tentulah tak sama dengan tugasan sepenuh masa yang bergaji. Banyak rintangan dan cabarannya. 

Satu lagi tugas mencabar ialah usaha mengumpul dana. Sekali tengok pelan rekabentuk bangunan, akitek dah dapat anggarkan kosnya. '1 juta RM ni.' katanya. Semua ahli jawatankuasa 'dikerah' untuk mencari duit. Dah dua tahun cuma dapat lebihkurang RM200 ribu. Jauh dari sasaran. Tekanan terus diberi oleh segelintir warga taman. 'Buatlah dulu guna duit yang ada !' kata mereka. Jawatankuasa mula rasa confident sikit bila dah ada pihak yang bersetuju untuk menyalurkan RM450,000 dalam masa terdekat. Walabagaimana pun, usaha mencari dana akan diteruskan. Bila siap bangunan surau nanti kos2 finishing juga tidak kurang besarnya.

6 syarikat kontraktor dikenalpasti untuk pembinaan projek ni. Akhirnya satu sahaja yang difikirkan sesuai berdasarkan track records dan beban kerja semasanya. Kontraktor ni janji akan ambil masa 6 bulan. Kalau mula hujung tahun ni, InsyaAllah dalam bulan 5 atau 6 tahun depan boleh siap. Perkara ni dimaklumkan kepada semua yang hadir pada Majlis Pecah Tanah. Nampak ceria dan teruja mereka bila mendengarnya. Bagi warga taman, yang penting Ramadhan tahun depan dah dapat bertarawikh kat Surau Desa Bestari. InsyaAllah, sama2lah kita doakan.


November 22, 2012

Arah Kiblat Kena Betul



 292°41'11". Itu adalah arah kiblat yang telah ditanda dan ditetapkan oleh pegawai2 Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk surau taman aku. Dengan menggunakan theodolite dan pegawai2 yang berpengalaman, bacaan arah kiblat ni InsyaAllah tepat. Baru rasa confident nak bina surau nanti. Tak ada sesiapa boleh pertikai arah kiblat ni. Sijil pengesahan akan diberi.

Sememangnya menjadi salah satu syarat yang perlu dipatuhi untuk bina surau baru. Kena mohon perkhidmatan menentukan arah kiblat dari pihak berkuasa. Bukan boleh pakai agak2 je. Atau guna kompas beli kat Mydin. Yang tu untuk kes2 emergency bolehlah. Bila arah kiblat dah betul dan disahkan, insyaAllah bila bersolat nanti rasa tenang dan yakin. Taklah rasa was-was.

Kata pegawai2 tu, 'Kalau arah kiblat silap 1 darjah pun boleh menyebabkan tersasar lebih 180 km dari arah Kaabah sebenar.' Lebihkurang jarak antara Kuala Lumpur dan Ipoh tu. Kesilapan macam ni memang seriuslah. Bayangkan solat kita selama ni tidak menghadap kiblat yang betul. Haru-biru jawabnya. Apatah lagi surau yang akan digunakan oleh orang ramai. Bina surau cantik2 pun, kalau arah kiblat tak tepat pasti merugikan banyak pihak. Wallahualam



September 23, 2012

Bersembang Dengan Jin


Tiba2 anak buah yang tumpang bermalam di rumah terjaga dari tidurnya. Nampak macam ada orang perempuan sedang bersolat. Sedang rukuk. 'Dah Subuh ke ?' Ditoleh ke kanannya, anak perempuan ku (sepupunya) masih tidur. 'Siapa yang bersolat ?' Tengok jam baru pukul 3.00 pagi. Tubuh yang bersolat tu beransur-ansur berundur dan hilang. 'Ahhh... mungkin mimpi'. Dia terus menyambung tidurnya. Kisah ni diceritakannya kepada kami masa sarapan.

Bilik tu sentiasa kosong sejak anak perempuan ku pindah ke Shah Alam. Tapi sejak kebelakangan ni rasa lain macam kalau lalu depan bilik ni. Kadang2 naik bulu roma tak semena-mena. Bau harum juga kerap dihidu. Untuk kepastian, jumpa Ustaz yang memindahkan Syafie dan orang2nya dulu.

'Ada yang dah singgah rumah kau ni.' kata Ustaz lepas buat 'scanning'. 'Dia ikut orang yang berkunjung ke rumah masa kau buat kenduri dulu. Tak apa nanti Ustaz boleh suruh dia pindah dan kalau kamu nak bersembang dengan dia pun boleh. Sediakan beberapa biji botol. Ramai juga yang mengikutnya.' arah Ustaz ringkas.

Selang beberapa hari Ustaz pun datang. Seperti biasa Ustaz akan mulakan dengan berzikir dan baca beberapa surah lazim. Ustaz suruh letak botol2 tu kat depan tangga. 'Turun..!!!' arah Ustaz dengan suara yang tegas. 'Tutup botol2 tu dan bawa ke sini.' Ustaz membelek salah satu botol tu dan membuka penutupnya. Tiba2 gerak tubuh Ustaz seperti seorang perempuan lagaknya. Duduknya berubah kepada duduk bersimpuh. Penuh sopan dan ayu. Diambilnya kain batik disebelahnya dan dijadikan tudung menutup rambut di kepala. Sungguh kemas simpulan tudungnya. Terkebil-kebil kami melihatnya.

'Assalammualaikum..' suaranya lembut dengan senyum simpul memberi salam. 'Mualaikumsalam' jawab kami. 'Nenek datang dari mana ?' tanya ku. Masa tu kami langsung tak rasa seram atau takut. Nampak dia sungguh mesra dan bersahaja. 'Dari Gunung Ledang' jawabnya ringkas. 'Apa nama nenek ? tanya isteri ku. 'Puteri Mayang Mengurai.' jawabnya. 'Nenek suka tinggal sini. Nak sembahyang pun senang. Kadang2 kamu tak bau wangi ke ? Masa tu Nenek sedang menyapu haruman ditubuh.' sambungnya. Tiba2 dia menangis tersedu-sedu. 'Tapi cucu tak nak Nenek. Nampaknya Nenek kena pindah. Nenek tak boleh buat apa2. Dah dikawal oleh Ustaz.' 'Bukan apa Nek, kami takutlah nak duduk sama2.' balas isteriku. 'Tak apalah, Nenek baliklah ya.' jawabnya dengan sedu sedan sambil bersalam dengan kami.

Nasihat Ustaz kita memang tak digalakkan bersahabat dengan jin. Takut menjadi riyak dan syirik. Lama-kelamaan ia akan menjadi saka bila kita dah tiada. Menyusahkan anak cucu nanti. Ustaz suruh buangkan botol2 tu ke sungai yang jauh dari rumah.


September 11, 2012

Ronda2 Hari Raya Dulu2


Bila ternampak foto kereta Morris Minor ni terkenang pulak zaman beraya masa kecik2 dulu. Ronda2 dengan kereta ni macam dah jadi acara wajib bagi kebanyakan anak2 kampung masa tu. Pagi raya pertama sudah tentulah ajendanya round satu kampung collect duit raya. Masa tu taklah banyak dapat macam sekarang ni. Rasanya tak sampai RM10.

Selalunya aktiviti ronda2 dengan kereta ni pada 2 atau 3 hari raya. Maklumlah rata2 mak bapak tak punya kereta. Ada modal sikit ni nak rasalah juga naik kereta. Dah pakai baju lawa2, pakat ramai2 pergi ke pekan tunggu kereta Morris Minor dipandu drebar Cina. Selalunya ada 2 ke 3 kereta buat bisnes ni masa musim raya. Sebiji kereta disumbat semaksimum mungkin. Masa tu badan kecik2 belaka. Ramailah boleh diisi. Tambangnya untuk seorang tak silap 10 sen atau 20 sen aje. Drebar Cina tu bawalah kami dengan Morris Minornya ronda2 seluruh kampung hingga ke pekan2 berdekatan. Seronok bukan main semua pasengger di dalamnya. Ronda2 ni makan masa dalam 30 ke 45 minit aje. 

'Langit tak selalu cerah' kata orang. Tengah seronok2 round, tiba2 drebar tu terlanggar budak di pekan berdekatan. Habis satu kampung keluar. Nak belasah drebar tu. Kami semua terpinga-pinga. Ada yang dah mula menangis. Semua pucat dan takut. Drebar Cina tu entah ke mana. Dah lari lintang pukang kot. Akhirnya, bertapaklah kami semua balik ke kampung. Habis baju raya lawa2 basah kuyup dek peluh. Yang kecil2 asyik menangis sepanjang perjalanan. Yang tak larat terpaksa didokong. Kaki dah melecet dan penat. Dah macam pelarian perang pulak berduyun-duyun jalan kaki. Rasanya lepas tu tak ada lagi aktiviti ronda2 hari raya ni. Semua dah serik. Termasuklah drebar2 Cina tu.

December 7, 2011

Serumah Dengan Jin (Part 4)


Diharapkan, ini bahagian terakhir yang perlu diceritakan mengenai kisah ku serumah dengan jin. Walaupun tak nampak dengan mata kasar. Kehadiran Syafie dan orang2nya boleh dirasa. Nampak sejadah terbentang  di sudut rumah memang menimbulkan rasa kurang enak dan menyeramkan. Walaupun Ustaz menyakinkan kami sekeluarga supaya jangan takut. Mereka ni Jin Islam. Makhluk yang baik. Memang tak dinafikan sepanjang kehadiran mereka tidak ada perkara2 yang pelik dan buruk berlaku. Tidur kami sekeluarga tak pernah terganggu. Bayi dan anak2 kecil yang berkunjung ke rumah tidak pernah terjaga atau menangis di tengah malam.

Walaupun diminta izin 2 ke 3 bulan untuk membereskan urusan. Rupa2nya hanya lebihkurang satu bulan setengah saja diperlukan. Ustaz memaklumkan Syafie dan orang2nya dah pindah sepenuhnya. Sejadah tu tak perlu lagi dibentang. Lega rasanya. Memang dah tak lagi rasa yang pelik2 selepas itu. Bau kemyan belakang rumah pun dah tiada.

Ustaz memaklumkan bahawa tapak rumah ku dulu ada pokok berangan yang besar. Di pohon itulah Syafie dan pengikut2nya menginap. Ia juga tapak surau Jin Islam ni. 'Pada malam  'berdamai' tu mereka datang dengan berpakaian cantik. Ada yang berbaju Melayu lengkap bersampin. Ada yang berjubah.' cerita Ustaz. 'Syafie seorang yang kacak, cerah kulitnya macam Syeikh Arab.' tambah Ustaz.

Bila fikirkan semula, terasa sayang pulak dengan mereka. Maklumlah, tempat beribadah. Banyak keberkatan. Mereka dipimpin pula oleh seorang yang hafaz Al Quran pula. Tapi apa kan daya. Mereka hidup dalam alam yang berbeza. Orang biasa seperti aku tak mungkin faham dan berupaya untuk berkongsi tempat tinggal dengan makhluk Allah swt ini. Mudah2an Syafie dan orang2nya gembira di tempat baru mereka. Wallahualam.

December 5, 2011

Serumah Dengan Jin (Part 3)


Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi. Botol2 yang telah berisi jin2 ni dimasukkan ke dalam kereta. Separuh di dalam bonet. Selebihnya di kerusi belakang. Pakai kereta Kelisa aje. Kami bertiga menuju masjid yang diminta Syafie. Sepanjang perjalanan tak terasa apa2. Kata orang, kalau jin2 jahat. Kenderaan boleh terasa berat atau riuh rendah di dalam botol.  Tapi Safie dan pengikutnya adalah Jin Islam. Golongan baik2. Terasa sunyi dan nyaman saja malam tu.

Sampai di masjid, suruh kawan jumpa dan bersembang dengan Pak Guard. Strategi kami untuk mengalih pandangan dia. Aku dan anak lelaki ku turunkan botol2 dari kereta dan buka penutupnya. Maklumlah, hampir 30 botol. Lamalah juga kerjanya. Pak Guard masjid menghampiri kami. 'Apa tu ?' tanya dia. 'Botol2 ni banyak semut.' jawabku, berbohong sunat. Dia nampak termakan muslihat kami. Urusan perpindahan Syafie dan pengikut2nya berjalan lancar. Baliklah kami ke rumah dengan perasaan lega.

Tiba2 pagi esoknya dapat panggilan telepon dari Ustaz. 'Urusan belum selesai' katanya. Ustaz maklumkan, subuh tadi Syafie berjumpanya dan minta izin untuk balik ke 'rumahnya'. untuk 2-3 bulan lagi.  Katanya ada lagi beberapa urusan yang perlu dibereskan. Mungkin proses perpindahan malam tadi berlaku secara 'short notice'. Fikirku dalam hati. Kata Ustaz, Syafie sempat tambah, 'Nak bantu2 juga tuan rumah.' Ustaz minta dibentang sejadah di mana2 sudut dalam rumah untuk mempermudahkan urusan Syafie. Sempat Ustaz bergurau,' Kalau nak berkomunikasi dengan Syafie, berwiridlah atas sejadah tu.' (bersambung....)

December 1, 2011

Serumah Dengan Jin (Part 2)


Melalui kawan dapat cari seorang Ustaz yang dikatakan boleh berurusan dengan makhluk2 halus. Seperti dipersetujui, Ustaz tu berkunjung ke rumah selepas solat Isya'. Berubah  sikit wajah Ustaz bila pertama kali masuk ke rumah. Nampak serius aje. Walau apa2 pun, kami jamu Ustaz dululah.  Maklumlah dah hampir pukul 10.00 malam. Tentu semua orang dah lapar. 

Sambil makan sempat Ustaz bagi sikit maklumat. 'Kat luar tingkap tu ada yang asyik menjengok. Tu je kerja dia.'  Patutlah setiap kali ke tingkap tu memang terasa seram dan naik bulu roma. 'Kalau nak Ustaz boleh panggil dia.' gurau Ustaz. 'Tak payahlah Ustaz' jawab aku ringkas. 'Selalu ada bau kemyan kan kat belakang rumah ?' tanya Ustaz. Kami sekeluarga mengangguk tanda mengiakan. Ustaz minta kami sediakan lebihkurang  20-30 botol  kosong. 'Nanti minggu depan Ustaz datang. Jangan takut. Kita berdamailah dengan mereka ni.' kata Ustaz sebelum beredar.

Selang seminggu, lebihkurang pukul 10.30 malam Ustaz pun datang. Kami mula dengan membaca Surah Yaasin dan Solat Hajat. Setelah selesai sambil duduk berhampiran pintu, Ustaz minta botol2 kosong tu dibuka penutupnya. Lepas tu Ustaz suruh aku buka pintu rumah. 'Sila masuk' kata Ustaz ringkas ke arah pintu. Masa tu satu rumah berbau harum dan wangi yang amat sangat. Kami memang tak nampak apa2. Cuma berpandangan antara satu sama lain.

Ustaz pun mulakan sesi 'berdamai'. Kata Ustaz, 'Yang datang ni  ketua dia, namanya Syafie seorang Al Hafiz dan orang2nya'. 'Ini tuan rumah' sambil berpaling ke sebelah aku. Aku cuma mampu mengangguk, buat2 macam nampak tetamu yang datang. Ustaz kata sambil tersenyum 'Dia kata, dah kenal.' Kami semua memang tak dengar apa yang disebut Syafie. Sambung Ustaz, 'Tuan rumah ni takut nak tinggal sama2. Pindahlah ye.' Keadaan sunyi sekejab. Ustaz seolah-olah sedang mendengar sesuatu dengan tekun. Tiba2 Ustaz memandang ke arah ku. 'Mereka minta dipindahkan  ke masjid yang ada kolam.' Aku mengangguk, faham dan bersetuju. Selang beberapa minit, Ustaz pun suruh menutup semua botol yang ada di depannya. 'Cuba ambil botol dan dengar' kata Ustaz kepada kami semua. Masing2 pakat ambillah dan letakkan di telinga. Tak dengar apa2. Cuma macam bunyi berdengung di dalam botol. (bersambung...)

November 28, 2011

Serumah Dengan Jin (Part 1)


Memang bosan dan serik membeli rumah baru hendak dibina. Masa promosi, janji pemajunya bukan main manis. Confident, dalam masa dua tahun boleh siap. Tapi dah masuk 5 tahun menunggu. Habuk pun tak ada. Akhirnya, aku dan isteri buat keputusan cari rumah lain. Kali ni pilih rumah contohlah. Senang sikit, rumah pun dah nampak. Walaubagaimana pun kena tunggu bersama dengan pembeli2 lain. Nak duduk seorang2 takut pulak. Terlalu sunyi. Macam2 boleh jadi nanti.

Alhamdulillah, pemaju yang ni memang efisyien. Cukup 2 tahun kunci rumah diserahkan. Punyalah seronok kami sekeluarga berpindah ke rumah baru. Lebih selesa dari rumah yang dulu. Suasananya pun nyaman dan lalulintas tak sesibuk mana. Jauhlah sikit dari Kuala Lumpur dan Shah Alam. Tapi berbaloi. Buatlah majlis doa selamat. Tanda kesyukuran, selamat masuk rumah baru.

Dipendekkan cerita, masa awal2 duduk tak terasa apa2. Cuma suasana kawasan baru.  Biasalah, sunyilah sikit. Ramai pembeli masih belum pindah. Lama kelamaan, keadaan dalam rumah dirasakan sedikit berbeza. Ada tempat dan sudut2 tertentu, kalau dihampiri akan naik bulu roma. Seram semacam. Terutama pada waktu malam. Sesekali berkemas di belakang rumah pula, bau haruman kemyan jelas. Terutama bila menghampiri waktu maghrib. Keadaan yang sama ini disedari semua ahli keluarga. Pernah anak perempuan ku mendengar suara menyebut namanya ketika duduk di luar dekat2 masuk maghrib. Kelam kabut  dia masuk ke rumah.

Untuk kepastian, tanya2kan jiran sebelah. Kebetulan dia tuan tanah projek perumahan ni. Cuma nak tau kalau2 dia pun mengalami perkara yang sama. Nak tau juga latarbelakang tapak taman perumahan ni. Katanya, kawasan ni dulu banyak buniyan. Dikatakan ada yang pernah terserempak dengan perempuan tua berjubah hitam berjalan keluar setiap kali waktu subuh. Lepas tu ghaib. Pak guard yang bertugas dan duduk sementara di rumah contoh ni pun kadang2 mendengar orang memberi salam di luar.  Bila buka pintu tiada sesiapa di depan.

Nampaknya sesuatu perlu aku dilakukan. Cuma untuk dapatkan kepastian dari orang2 yang mahir tentang makhluk2 halus ni. Tak kan nak hidup dalam keadaan sebegini sampai bila2. Kacaulah nanti.   (bersambung......)