December 14, 2012

Harap2 Siap Sebelum Ramadhan


Semua warga Desa Bestari begitu teruja di Majlis Pecah Tanah tapak surau. Sebelum tu solat hajat dan doa selamat disempurnakan untuk memohon pada Nya agar pembinaan surau ini berjalan lancar. Walaubagaimana pun tak semua hadir disebabkan musim cuti sekolah. Ramai yang dah ada program lain. Kena ke majlis kenduri kahwin atau bercuti bersama keluarga. Cukuplah lebihkurang 50 orang sebagai wakil daripada hampir 200 keluarga mendiami Desa Bestari.

Ia mengambil masa hampir 2 tahun ke tahap ini. Melibatkan proses lukisan pelan bangunan, mendapatkan kelulusan dari JAIS, kebenaran merancang dan kelulusan bangunan oleh Majlis Perbandaran Sepang. Lepas tu kena buat pelan2 M & E dan ukur bahan. Untuk kegunaan kontraktor dan mendapatkan kos pembinaan sebenar. Maklumlah kerja2 dibuat secara sukarela oleh Jawatankuasa yang dilantik. Tentulah tak sama dengan tugasan sepenuh masa yang bergaji. Banyak rintangan dan cabarannya. 

Satu lagi tugas mencabar ialah usaha mengumpul dana. Sekali tengok pelan rekabentuk bangunan, akitek dah dapat anggarkan kosnya. '1 juta RM ni.' katanya. Semua ahli jawatankuasa 'dikerah' untuk mencari duit. Dah dua tahun cuma dapat lebihkurang RM200 ribu. Jauh dari sasaran. Tekanan terus diberi oleh segelintir warga taman. 'Buatlah dulu guna duit yang ada !' kata mereka. Jawatankuasa mula rasa confident sikit bila dah ada pihak yang bersetuju untuk menyalurkan RM450,000 dalam masa terdekat. Walabagaimana pun, usaha mencari dana akan diteruskan. Bila siap bangunan surau nanti kos2 finishing juga tidak kurang besarnya.

6 syarikat kontraktor dikenalpasti untuk pembinaan projek ni. Akhirnya satu sahaja yang difikirkan sesuai berdasarkan track records dan beban kerja semasanya. Kontraktor ni janji akan ambil masa 6 bulan. Kalau mula hujung tahun ni, InsyaAllah dalam bulan 5 atau 6 tahun depan boleh siap. Perkara ni dimaklumkan kepada semua yang hadir pada Majlis Pecah Tanah. Nampak ceria dan teruja mereka bila mendengarnya. Bagi warga taman, yang penting Ramadhan tahun depan dah dapat bertarawikh kat Surau Desa Bestari. InsyaAllah, sama2lah kita doakan.


No comments: