September 26, 2015

Kerja2 3D Majlis Korban


Tahun ni bilangan lembu korban agak berkurangan. Rata2 surau dan masjid mengumumkan jumlah penyertaan yang agak merosot berbanding tahun2 yang lalu. Mungkin kos penyertaan yang meningkat iaitu RM600 satu bahagian. Mungkin juga cuti Hari raya Haji bertembung dengan cuti sekolah. Ramai yang bercadang ambil kesempatan untuk balik kampung atau bercuti di mana2. 

Surau kami pun hanya dapat 3 ekor lembu tahun ini. Itu pun last minit dapat tambah seekor. Kalau tidak 2 ekor jer. Puas Pengerusi dan AJK buat announcement untuk memberi motivasi kepada jemaah untuk menyertainya. 3 ekor pun dah kira okey lah. Alhamdulillah. Walaubagaimana pun, awal2 lagi ramai jemaah yang telah memaklumkan tak dapat join majlis korban. Nak balik kampung. Termasuklah kebanyakan AJK sekali. Risau juga AJK yang tinggal. Takut tak ada orang yang datang membantu masa majlis korban nanti.

Agak memeranjatkan. Solat Hari raya pagi tu agak penuh. Lebih ramai dari tahun2 yang lalu. Imam pun jemputlah semua supaya untuk hadir gotong royong menguruskan lembu korban. Kebetulan ada 2 projek perumahan bersebelahan sedang dalam pembinaan. Ramai juga jemaah terdiri daripada buruh Bangladesh. Hati terasa lega sikit. Mereka ni lah yang boleh diharapkan nanti selain jemaah tempatan. Sempat mempelawa buruh2 Bangladesh ni bila berjumpa lepas solat.

Kehadiran jemaah tidak menghampakan. Termasuk buruh Bangladesh. Kebanyakan urusan menumbang dan melapah kulit lembu diuruskan oleh buruh2 Bangladesh. Tak payah disuruh suruh. Mereka secara sukarela melakukannya. Jemaah tempatan hanya jadi tukang sembelih dan membantu. Kerja2 yang agak ringan seperti melapah, membungkus dan mengagih daging diuruskan oleh AJK dan jemaah tempatan. Yang berat2 seperti bahagian tulang dilakukan oleh jemaah Bangladesh. Tak pakai mesin pun. Pakai kapak dan parang sahaja. Hebat mereka ni. Semuanya beres sebelum masuk waktu zohor.

Patutlah 1.5 juta lagi buruh Bangladesh diperlukan negara. Kata Pak Menteri orang tempatan dah kurang berminat bekerja dalam sektor 3D. 'Difficult, Dangerous and Dirty'. Kerja2 kecil di dalam majlis korban sedikit sebanyak membuktikannya. Apatah lagi dalam sektor-sektor utama seperti pembinaan, pertanian dan sebagainya.