June 27, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 5 (Padah Mengurungnya !)


Walaupun Yahya bebas di laut, masa kecil dia selalu bermain-main di persisiran pantai. Mungkin rasa rindunya pada keluarga amat kuat. Sentiasa menanti. Kalau-kalau ada yang sudi menjenguk.  Selalunya Tok Aki dan Jaafarlah yang kerap ke pantai. 

Kata emak kerana kerap bermain di pantai, Yahya selalu terperangkap di dalam jaring atau sungkur nelayan. Mujurlah nelayan kampung tu dah kenal sangat kat dia. 'Oh ! ni Pak Usop punya.' kata mereka. Yahya cukup jinak. Tidak memberi reaksi yang marah atau  garang apabila terperangkap di jaring. Mudahlah nelayan tu memegang dan melepaskannya ke air.

Kata orang 'rambut sama hitam, hati lain-lain'. Ada juga yang mempunyai niat tak baik. Mungkin mereka tak berapa faham keadaan. Ditangkapnya Yahya dan dibawa balik. 'Untuk diperlihara' katanya. Disimpan Yahya dalam bekas di bilik air. Seronok bukan main dapat 'memelihara' Yahya yang sememangnya unik sifatnya.

Kebetulan isteri si polan ni tengah sarat mengandung. Selang beberapa hari tibalah masa untuk melahirkan. Mak Bidan pun datang. Kali ni urusan tidak berjalan lancar. Puas Mak Bidan mencuba. Seperti ada yang tersekat. Meraung-raung si isteri meneran dan menahan sakit. Bayinya tak mahu keluar juga. Mak Bidan dan semua yang ada bersama mula berasa hairan.

Tiba-tiba Mak Bidan bertanya, 'Ada apa-apa yang kau kurungkan dalam rumah ni ?!!!'  Terperanjat si polan mendengar soalan itu. Mak Bidan nampak marah. Terpaksalah dia mengaku. 'Lepaskan dia !' arah Mak Bidan. Kelam kabut dan tergesa-gesalah si polan tu menguruskannya. Belum sempat si polan pulang dari pantai, isterinya telah selamat melahirkan bayi yang comel.

Bersambung.....

June 21, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 4 (Sentiasa Dekat Dengan Kembarnya)


Jaafar, kembarnya sentiasa dekat dihati. Walaupun berbeza sifat namun dengan kuasa Allah swt, kedua-dua anak kembar ini memang rapat. Kalau ada kelapangan terutama waktu petang, Jaafar pasti akan ke pantai yang terletak tidak jauh dari rumah. Lekalah dia bermain-main dan mandi di pantai sehingga senja menjelma. Kata orang kampung, 'Kadang2 nampak Jaafar tidak keseorangan.' Mereka  seolah-olah nampak dua orang budak sebaya sedang asyik bermain di pantai. Begitulah keadaannya sehinggalah Jaafar dewasa. Orang2 kampung dah biasa dengan keadaan ini.

Jaafar pernah membuat bermacam-macam kerja di kampung. Termasuk sebagai guru di sekolah. Namun semuanya tidak mendatangkan kepuasan kepadanya. Jiwanya seolah-olah tidak sesuai dengan pekerjaan di darat. Akhirnya, Jaafar ke Singapura atas pelawaan rakan. Peluang pekerjaan dalam bidang perkapalan  yang ditawarkan tidak mahu dilepaskan. Dia amat teruja. 

Dah rezeki dia. Jaafar diterima bekerja sebagai pelayar dalam sebuah syarikat perkapalan di Singapura. Kariernya dalam bidang perkapalan amat cerah. Dalam masa yang singkat sahaja sudah naik ke taraf Kapten. Siapa tak kenal dengannya. Bila sebut 'Kapten Jaafar', semua orang kampung kenal sangat. Rasa bangga pun ada.

Semua orang tahu, keserasian jiwa Jaafar dalam bidang perkapalan sedikit sebanyak disumbang oleh kembarnya, Yahya. Mereka berdua sentiasa mahu bersama. Dengan berada di laut sajalah Jaafar dapat sentiasa 'bersua dan ditemani'. Mungkin hatinya tenang bila adik kembarnya sentiasa ada disampingnya semasa menjalankan tugas dan menghadapi pelbagai cabaran pelayaran di lautan. Wallahualam.

Bersambung ........

June 11, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 3 (Hantar Tok Aki & Nek Ncek Pergi Haji)


Sejak Yahya tak ada, Tok Aki terasa sunyi. Terbayang-bayang anaknya berenang-renang di dalam basin berair. Saat-saat Yahya dilepaskannya ke laut masih diingatnya. Kata Mak, 'Tok Aki kerap singgah di pantai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.'  Itulah rutin harian Tok Aki untuk melepas rindu pada anaknya. Mungkin bimbangkan Yahya yang hidupnya di laut. Masa dilepaskan Yahya amat kecil. Kata orang yang pernah terserampak, kadang2 ternampak Tok Aki macam sedang berbual-bual dengan seseorang di tepi pantai. Semua orang kampung dah tahu hal ini. Mereka faham dan ia seolah-olah sudah menjadi biasa.

Beberapa tahun berlalu. Mungkin Yahya pun dah dewasa. Hubungan Tok Aki dan anaknya ini tidak pernah terputus. Diceritakan Mak, masa Tok Aki dan Nek Ncek pergi haji, Yahya sama2 menghantarnya. Dulu nak pergi haji kena naik kapal di Pelabuhan Singapura. Perjalanan dari kampung ke Pelabuhan Singapura pun makan beberapa hari. Tak ramai yang dapat menghantar hingga ke kapal. Selain masalah pengangkutan, kos pun menjadi kengkangan. Berbulan-bulan lamanya dari Pelabuhan Singapura ke tanah suci. Kalau meninggal dunia atas kapal terpaksa disemadikan di laut saja.

Kata Mak, 'Tiba2 suasana riuh rendah jemaah atas kapal setelah meninggalkan Pelabuhan Singapura.' Mereka ternampak dengan jelas kelibat putih di permukaan air sedang mengekori kapal. Lama juga ia berkeadaan begitu. Mungkin dengan kuasa Allah swt, Tok Aki kenal sungguh siapa yang sedang dilihat oleh jemaah2 itu. Rupanya, Yahya tidak mahu ketinggalan menghantar ayah dan maknya ke tanah suci. Tok Aki tersenyum dan rasa bersyukur dapat melihat Yahya yang akan ditinggalkan untuk beberapa bulan. Kelibat Yahya kemudian hilang setelah mengekori kapal dikatakan hingga ke Pulau Pinang. Tok Aki berdoa moga dipanjangkan umur untuk dapat bertemu semula dengan anaknya itu.

Bersambung......


June 8, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 2 (Dia Ingin Bebas)

Kelam kabut dibuatnya. Tak pernah perkara seperti ini terjadi. Pelbagai pandangan diberi. Bagaimana Yahya nak dipelihara ? Apa makanannya untuk membesar ? dan macam2 persoalan lagi. Tok Aki jadi buntu. Semua pandangan yang diberi tidak pasti penyelesaiannya. Tok Aki dan keluarga hanya mampu untuk terus berdoa agar jalan keluar 'masalah' ini diberi petunjuk oleh Yang Maha Esa.

Akhirnya ayah Tok Aki mencadangkan dibuat kolam. Saiz yang dicadangkan agak besar. Ia diharap dapat memberi keselesaan kepada Yahya. Maka tukang yang mahir dipanggil. Kerja2 mengukur pun dibuat untuk membina sebuah kolam. Oleh kerana keadaan yang mendesak, Si tukang berjanji akan datang esok untuk memulakan tugas membina. Janjinya dalam seminggu boleh siap.

Esok paginya, belum sempat Si tukang datang, Mak Bidan terlebih dahulu tiba. Katanya pada Tok Aki dia bermimpi malam tadi. 'Yahya minta dilepaskan ke laut.' Perasaan Tok Aki bercampur baur. Adakah ini cara terbaik ? Ayah mana yang sanggup 'membuang' atau  berpisah dengan anaknya. Walaupun sifatnya berbeza. Dia tetap darah dagingnya. Yahya dianggap kurniaan  istimewa Allah swt kepada Tok Aki dan keluarga. Lama Tok Aki termenung. Setelah berbincang dengan semua akhirnya Tok Aki akur.

Yahya diriba Tok Aki menuju ke tepi pantai yang letaknya lebihkurang 3 km dari rumah. Diiringi ahli keluarga dan jiran terdekat. Makin hampir ke pantai makin hiba Tok Aki. Walaupun Yahya hanya sempat bersama seketika, perasaan kasih ayah kepada anaknya amat mendalam. Dengan lafaz 'Bismillah' Yahya dilepaskan ke air. Melinang air mata Tok Aki. Semua yang bersama turut menangis. Dalam sekelip mata kelibat Yahya hilang dari pandangan. Hanya kocakan2 kecil air yang ditinggalkan tanda perpisahan ini. 'Semoga Yahya sentiasa dilindungi Allah swt'.  Itu saja yang mampu dipinta oleh semua yang menyaksikan peristiwa ini.

Bersambung......

June 7, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 1 (Kelahirannya)




Post kali ini, kisahnya agak personal dan mungkin unik dan bersejarah. Sekurang-kurangnya pada keluarga ku. Ianya sudah lama diketahui majoriti ahli keluarga dan penduduk sekampung. Agaknya generasi baru di kalangan keluarga dan anak2 kampung tidak mendengarnya. Kerana kisahnya tidak dibual atau diceritakan lagi. Malah ada yang mahu ianya dilupakan atau jangan disebut-sebut terus.

Terdetik hati ini untuk menulisnya, bila kisahnya tiba2 timbul semula baru2 ini. Tujuannya hanya satu. Untuk mencatatkan sedikit sebanyak kisah2 yang dapat dikutip dari bapa dan mak saudara untuk dimasukkan ke dalam post2 bersiri yang ringkas di blog ni. Mungkin hanya untuk tatapan ahli keluarga ku pada generasi ini dan akan datang. Terutama bila ramai yang mengetahui hal ini telah tiada nanti.

Lebihkurang 80 tahun dulu, seluruh ahli keluarga Tok Aki ku berdebar menunggu kelahiran anaknya yang ketiga. Saiz kandungan perut isterinya agak besar sedikit dari lazimnya. Dah dua kali menyambut kelahiran anak sebelum ini. Tapi kali ni debarannya lain macam sikit. Dulu urusan kelahiran dibuat cara kampung. Tak ke klinik ataupun hospital.

Bila genap 9 bulan dan tiba masanya, Bidan kampung dipanggil ke rumah Tok Aki. Seperti biasa Mak Bidan buat lah apa yang patut untuk menyambut kelahiran. Detik2 menyambut kelahiran tidaklah banyak masalah. Semuanya berjalan lancar. Lahirlah bayi lelaki yang comel dan sempurna sifatnya. Namun begitu, dia bukan keseorangan. Ada kembarnya. Tapi sifat2 tidak serupa dengan abangnya. Warna tubuhnya putih bersih. Terperanjant sungguh semua orang dibuatnya. Tok Aki redha bila dimaklumkan Mak Bidan. Disambut kedua-dua bayi itu dengan laungan azan yang syahdu.

Dinamakan kedua-dua anaknya ini, Jaafar dan Yahya. Jaafar yang sempurna sifatnya. lena tidur di  dalam dakapan ibu.  Manakala, Yahya dimasukkan ke dalam basin berisi air. Sesuai dengan sifat2nya.

Bersambung.......