June 21, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 4 (Sentiasa Dekat Dengan Kembarnya)


Jaafar, kembarnya sentiasa dekat dihati. Walaupun berbeza sifat namun dengan kuasa Allah swt, kedua-dua anak kembar ini memang rapat. Kalau ada kelapangan terutama waktu petang, Jaafar pasti akan ke pantai yang terletak tidak jauh dari rumah. Lekalah dia bermain-main dan mandi di pantai sehingga senja menjelma. Kata orang kampung, 'Kadang2 nampak Jaafar tidak keseorangan.' Mereka  seolah-olah nampak dua orang budak sebaya sedang asyik bermain di pantai. Begitulah keadaannya sehinggalah Jaafar dewasa. Orang2 kampung dah biasa dengan keadaan ini.

Jaafar pernah membuat bermacam-macam kerja di kampung. Termasuk sebagai guru di sekolah. Namun semuanya tidak mendatangkan kepuasan kepadanya. Jiwanya seolah-olah tidak sesuai dengan pekerjaan di darat. Akhirnya, Jaafar ke Singapura atas pelawaan rakan. Peluang pekerjaan dalam bidang perkapalan  yang ditawarkan tidak mahu dilepaskan. Dia amat teruja. 

Dah rezeki dia. Jaafar diterima bekerja sebagai pelayar dalam sebuah syarikat perkapalan di Singapura. Kariernya dalam bidang perkapalan amat cerah. Dalam masa yang singkat sahaja sudah naik ke taraf Kapten. Siapa tak kenal dengannya. Bila sebut 'Kapten Jaafar', semua orang kampung kenal sangat. Rasa bangga pun ada.

Semua orang tahu, keserasian jiwa Jaafar dalam bidang perkapalan sedikit sebanyak disumbang oleh kembarnya, Yahya. Mereka berdua sentiasa mahu bersama. Dengan berada di laut sajalah Jaafar dapat sentiasa 'bersua dan ditemani'. Mungkin hatinya tenang bila adik kembarnya sentiasa ada disampingnya semasa menjalankan tugas dan menghadapi pelbagai cabaran pelayaran di lautan. Wallahualam.

Bersambung ........

No comments: