June 11, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 3 (Hantar Tok Aki & Nek Ncek Pergi Haji)


Sejak Yahya tak ada, Tok Aki terasa sunyi. Terbayang-bayang anaknya berenang-renang di dalam basin berair. Saat-saat Yahya dilepaskannya ke laut masih diingatnya. Kata Mak, 'Tok Aki kerap singgah di pantai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.'  Itulah rutin harian Tok Aki untuk melepas rindu pada anaknya. Mungkin bimbangkan Yahya yang hidupnya di laut. Masa dilepaskan Yahya amat kecil. Kata orang yang pernah terserampak, kadang2 ternampak Tok Aki macam sedang berbual-bual dengan seseorang di tepi pantai. Semua orang kampung dah tahu hal ini. Mereka faham dan ia seolah-olah sudah menjadi biasa.

Beberapa tahun berlalu. Mungkin Yahya pun dah dewasa. Hubungan Tok Aki dan anaknya ini tidak pernah terputus. Diceritakan Mak, masa Tok Aki dan Nek Ncek pergi haji, Yahya sama2 menghantarnya. Dulu nak pergi haji kena naik kapal di Pelabuhan Singapura. Perjalanan dari kampung ke Pelabuhan Singapura pun makan beberapa hari. Tak ramai yang dapat menghantar hingga ke kapal. Selain masalah pengangkutan, kos pun menjadi kengkangan. Berbulan-bulan lamanya dari Pelabuhan Singapura ke tanah suci. Kalau meninggal dunia atas kapal terpaksa disemadikan di laut saja.

Kata Mak, 'Tiba2 suasana riuh rendah jemaah atas kapal setelah meninggalkan Pelabuhan Singapura.' Mereka ternampak dengan jelas kelibat putih di permukaan air sedang mengekori kapal. Lama juga ia berkeadaan begitu. Mungkin dengan kuasa Allah swt, Tok Aki kenal sungguh siapa yang sedang dilihat oleh jemaah2 itu. Rupanya, Yahya tidak mahu ketinggalan menghantar ayah dan maknya ke tanah suci. Tok Aki tersenyum dan rasa bersyukur dapat melihat Yahya yang akan ditinggalkan untuk beberapa bulan. Kelibat Yahya kemudian hilang setelah mengekori kapal dikatakan hingga ke Pulau Pinang. Tok Aki berdoa moga dipanjangkan umur untuk dapat bertemu semula dengan anaknya itu.

Bersambung......


No comments: