June 27, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 5 (Padah Mengurungnya !)


Walaupun Yahya bebas di laut, masa kecil dia selalu bermain-main di persisiran pantai. Mungkin rasa rindunya pada keluarga amat kuat. Sentiasa menanti. Kalau-kalau ada yang sudi menjenguk.  Selalunya Tok Aki dan Jaafarlah yang kerap ke pantai. 

Kata emak kerana kerap bermain di pantai, Yahya selalu terperangkap di dalam jaring atau sungkur nelayan. Mujurlah nelayan kampung tu dah kenal sangat kat dia. 'Oh ! ni Pak Usop punya.' kata mereka. Yahya cukup jinak. Tidak memberi reaksi yang marah atau  garang apabila terperangkap di jaring. Mudahlah nelayan tu memegang dan melepaskannya ke air.

Kata orang 'rambut sama hitam, hati lain-lain'. Ada juga yang mempunyai niat tak baik. Mungkin mereka tak berapa faham keadaan. Ditangkapnya Yahya dan dibawa balik. 'Untuk diperlihara' katanya. Disimpan Yahya dalam bekas di bilik air. Seronok bukan main dapat 'memelihara' Yahya yang sememangnya unik sifatnya.

Kebetulan isteri si polan ni tengah sarat mengandung. Selang beberapa hari tibalah masa untuk melahirkan. Mak Bidan pun datang. Kali ni urusan tidak berjalan lancar. Puas Mak Bidan mencuba. Seperti ada yang tersekat. Meraung-raung si isteri meneran dan menahan sakit. Bayinya tak mahu keluar juga. Mak Bidan dan semua yang ada bersama mula berasa hairan.

Tiba-tiba Mak Bidan bertanya, 'Ada apa-apa yang kau kurungkan dalam rumah ni ?!!!'  Terperanjat si polan mendengar soalan itu. Mak Bidan nampak marah. Terpaksalah dia mengaku. 'Lepaskan dia !' arah Mak Bidan. Kelam kabut dan tergesa-gesalah si polan tu menguruskannya. Belum sempat si polan pulang dari pantai, isterinya telah selamat melahirkan bayi yang comel.

Bersambung.....

No comments: