March 10, 2013

Gelar Mengelar Gurauan Orang Kampung


Masa kecil2 dulu di kampung salah-satu perkara dominan yang aku masih ingat ialah gelaran2 yang diberi kepada seseorang. Tak pastllah apa tujuan sebenarnya. Mungkin sebagai gurauan. Atau untuk mudah mengenalinya bila disebut. 

Gelaran2 tu selalunya banyak berkait rapat dengan karekter fizikal atau kelakuan individu itu. Contohnya, Embok Elat. Dia memang pelat bila bercakap. Aim Gagap. Agak jelaslah sebab dia digelar sebegitu. Ali Kerbau. Orangnya hitam berbadan besar. Harun Pekak. Bagai nak putus urat tekak kalau panggil dia. Kadang2 terlalu banyak nama yang sama terpaksa mereka membezakan untuk memudahkan. Agaknya. Seperti Mat Lorat, Mat Gajah, Mat Bengot, Mat Komando, Mat Cacing, Mat Jepun, Mat Dayong dan sebagainya. Arwah Abah pun tak terkecuali. Orang kampung panggil dia Hashim Panjang atau Hashim Telekom. Sebab dia agak tinggi dan berkerja di Jabatan Telekom Malaysia masa tu.

Peniaga2 Cina di kampung pun turut menjadi 'mangsa'. Yang paling lucu, Kek Taik. Sebab kedai dia guna tandas angkut. Bila dah penuh, kerap orang2 kampung terserempak dengan aktiviti angkut mengangkut benda tu. Sudah tentu jijik dan meloyakan. Seorang lagi Kek Loyang. Yang ni, aku tak pasti mana dia dapat gelaran tu. Mungkin jenis barangan yang dijual kot.

Gelaran2 ni dibawa hingga ke mati pemiliknya. Masa hidup mereka, tak pernah pulak aku dengar kes2 pergaduhan atau pertengkaran disebabkan isu gelar mengelar ni. Cuma kami yang kecil2 ni tak pulak berani memanggil mereka dengan gelaran2 tersebut bila bertemu. Faham sangat batasannya. Silap2 haribulan, takut naik penampar di muka nanti. Kat belakang bolehlah sebut. Tupun kalau terpaksa. Cuma nak memaklumkan hal2 berkaitan si pemilik gelaran. 

No comments: