September 14, 2010

Sayu Menyambut Hari Raya Bila Dua Ahli Keluarga Telah Tiada


Perjalanan awal pagi balik ke Kedah untuk beraya dikejutkan dengan panggilan telefon dari kakak di Melaka. Masa tu dah nak sampai Sungai Buloh. Dimaklumkan Pak Oteh meninggal kemalangan jalan raya di kampung. Dikatakan dia dilanggar kereta semasa menaiki motor untuk membeli daging. Rasanya baru berjumpa Pak Oteh masa kenduri nak menyambut Ramadhan di rumah mak. Barulah aku teringat, Pak Oteh nampak lebih banyak menyendiri dan tak banyak bercakap dalam majlis kenduri tu. Tak seperti biasa, Namun apa kan daya, tak dapat nak menziarah arwah Pak Oteh di Melaka. Hanya surah Al-Fatihah yang dapat dibaca untuknya.

Selang sehari iaitu di malam raya, satu lagi berita kematian diterima. Kali ni Mak Andak di Pulang Pinang pula telah pulang ke rahmatullah. Mak Andak dah lama sakit. Semasa hidupnya kalau berjumpa, mesti disapanya aku, 'Bila nak mai Penang ?'. 'InsyaAllah' jawab ku ringkas. Jawapan yang tak pasti bila dapat ke sana. Selalunya kami sekeluarga akan ke rumah Mak Andak di Sungai Nibong bila menyambut hari raya di Kedah. Kali ni lepas aje solat hari raya, kami berkonvoi ke rumah arwah Mak Andak. Sempatlah kami mengiringi jenazah Mak Andak  hingga ke masjid dan ke kubur.

No comments: