July 21, 2010

Kembalikan Fungsi Sebenar Masjid


'Masjid Sebagai Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam'. Itulah tajuk tesis atau projek akhir ku bersama Anuar Muda di peringkat Diploma pada tahun 1980. Masa tu setiap projek akhir dibenarkan dibuat secara berdua. Pada mulanya nak buat tajuk berkaitan perancangan pusat2 ibadat. Bila bincang dengan senior2, katanya skop terlalu luas.  Orang Melayu lebih baik buat topik berkaitan tempat ibadat Islam. Mereka cadang buat masjid aje. Aku dan Anuar akur dengan syor mereka. Bila tajuk lulus, bermulalah projek ni selama satu semester.

Salah satu penemuan penting dalam kajian ini ialah berkaitan penafsiran dan kefahaman fungsi masjid di kalangan umat Islam negara ini. Adakah masjid sebagai tempat solat atau solat berjemaah sahaja ? Walhal Nabi s.a.w. ada mengajar kita bahawa solat itu boleh di mana2 asalkan bersih tempatnya. Sepatutnya masjid mempunyai fungsi yang lebih luas. Dengan penafsiran yang rigid ini, lebih 90 peratus bangunan masjid dibina untuk ruang solat. Bakinya adalah bilik imam, tempat azan, stor, ruang wuduk dan sebagainya. Rata2 masjid lama dibina satu tingkat sahaja. Justru itu, masjid selalunya sunyi setiap kali lepas waktu solat. Tak ada ruang untuk aktiviti lain.

Untuk meringkaskan cerita, adalah beberapa cadangan yang kami syorkan untuk mengembalikan fungsi masjid yang sebenar sesuai dengan tajuk tesis. Maklumlah, tesis ni merupakan kajian akedemik aje. Yang penting aku dan Anuar lulus dan layak menerima Diploma. Lepas tu tesis tu tersimpanlah di dalam perpustakaan jabatan, mungkin untuk rujukan mereka2 yang berminat.

Lepas 27 tahun berlalu, aku tersenyum syukur, bila Badan Dakwah Daerah Petaling memaklumkan bahawa salah-satu keputusan mesyuarat antara Mufti dan imam2 masjid seluruh Negeri Selangor pada tahun 2007 telah bersetuju untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti. Tujuan utamanya untuk menarik golongan muda ke masjid. Macam2 aktiviti dianjurkan termasuklah karnival, sukan, pameran, pelbagai pertandingan dan sebagainya. Setiap masjid diarah menyertai program ini. Ia kekal menjadi aktiviti tahunan sehingga kini.

Golongan profesional seperti perancang bandar dan akitek perlu jelas dengan fungsi sebenar masjid  Kawasan dan ruang2 yang mencukupi perlu dirancang dan direkabentukkan untuk memastikan masjid dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti umat Islam. Bak kata para pujangga Islam, 'Kalau nak menilai baik buruknya sesebuah masyarakat itu, lihatlah kepada masjidnya. Kalau masjid diimarahkan dengan pelbagai aktiviti maka baiklah masyarakat itu dan begitulah sebaliknya.'

No comments: