July 10, 2010

Jatuh Sakit Selepas Daki Gua Musang




Masa di tahun 2 aku memilih jalani praktikal di Kesedar, Kota Bharu Kelantan bersama Anuar Muda. Anuar budak Kelantan. Dialah yang tolong uruskan segala keperluan seperti bilik sewa dan transport di Kelantan. 

Kesedar baru nak mula rancang pembangunan Wilayah Kelantan Selatan selepas BN ambilalih kerajaan Kelantan dari PAS. Memang loaded agensi ni. Maklumlah, Tengku Razaleigh Hamzah yang berkuasa. Kami berdua ditempatkan di Unit Rancangan Khas Kesedar di Bangunan Lembaga Tabung Haji. Ketua unit En. Zaharuddin Alias.

Baru praktikal beberapa hari, kami disuruh ikut En. Zaharuddin pergi site visit ke Gua Musang. Pada awal tahun 1980an, jalanraya belum ada lagi dari Kota Bharu ke Gua Musang. Sampai Kuala Krai je. Yang ada jalan keretapi. Perjalanan memang memenatkan dan mencabar. Lepas naik keretapi, naik land rover ikut jalan balak. Turun naik bukit bukau dan jalan tanah merah yang tak rata. Silapnya aku, sebelum pergi tak ambil breakfast. Perut tengah kosong. Land rover tu kadang2 melambung bila termasuk lubang. Hampir 2 ke 3 jam begitu. Sampai Pekan Gua Musang cuma dapat rihat sekejap terus daki Bukit Gua Musang. Dalam sejam sampailah ke puncaknya.

Lepas balik dari site visit tu, badan mula rasa lain macam. Selera makan kurang. nak buang air besar payah. Sampai naik pitam dalam toilet. Atas nasihat doktor aku pun ambil cuti dan balik Melaka. Berubatlah kat kampung. Pergi berurut satu badan. Kira macam overhaul lah. Dua minggu cuti. Mak cik yang mengurut aku tu kata tak ada apa2. Cuma badan tu macam bentan dan terlalu letih. Alhamdulillah, selepas berurut 3 kali dan minum ubat akar kayu yang diberinya, badan rasa segar semula. Boleh sambung praktikal balik di Kesedar selama 5 bulan.

No comments: