January 2, 2011

Hanya 4 Unit Milik Melayu


Tahun baru 2011 ni dimulakan dengan majlis meminang orang Penang untuk anak saudara. Dengan empat kereta berkonvoi dari Serdang bertolak selepas solat subuh. Cuaca 1 Januari 2011 ke Pulau Pinang amat nyaman dan redup sepanjang perjalanan. Kenderaan pun tak banyak. Lebihkurang pukul 12 tengahari sampai ke destinasi iaitu Vistaria Condominium di Sungai Ara.

Dipendekkan cerita, majlis pertunangan berjalan lancar. Dengan persetujuan kedua pihak, terikatlah perjanjian dan hubungan dua keluarga bila cincin disarungkan ke jari manis anak gadis yang telah disunting. InsyaAllah 11.11.2011 nanti kedua insan ini akan diijabkabulkan.

Sambil berbual dengan tuan rumah, sempat bertanyakan sedikit sebanyak mengenai Vistaria Kondominium. Dua blok kondominium 11 tingkat ni mempunyai 250 unit kediaman. Siap pada tahun 2004 dan dijual sekitar RM130,000 seunit. 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Dilengkapi pelbagai kemudahan seperti  kawalan keselamatan, dewan, kolam renang, ginasium dan padang permainan.

Kata tuan rumah sekarang nilai rumah di sini naik mendadak antara RM250,000 ke RM350,000. Satu peningkatan nilai yang amat baik terutama bagi  pelabur hartanah atau spekulator. Tapi yang tak sedap didengar, cuma empat unit Vistaria Kondominium ni dimiliki orang Melayu. Dengan nilai sekarang sudah tentu ia bertambah jauh dari jangkauan mereka untuk memilikinya. Silap haribulan, pemilik sediada pun bakal tergoda dengan nilai yang meningkat untuk menjualnya. Begitulah sedikit sebanyak gambaran dan senario  kurang menyenangkan mengenai pemilikan hartanah di Pulau Pinang di kalangan orang Melayu khususnya kediaman kondominium.

No comments: