September 8, 2012

Pengalaman Berharga di Hospital


Dah lama tak ke hospital untuk rawatan. Seingat aku last pergi hospital pada tahun 1991. Operate mata sebelah kiri. Ada cataract. Kat hospital swasta. Sudah pastilah layanan dan khidmatnya amat memuaskan. Sesuai dengan bayaran yang dikenakan. Masa tu ofis tanggung sepenuhnya. Bolehlah pergi hospital macam tu. Lepas tu kalau sakit sikit2 cari klinik swasta yang paling dekat dengan rumah. Segala urusan cepat.

Bila sakit kali ni, rawatan klinik tak memadai lagi. Nampaknya terpaksa ke hospital. 'Kena dapatkan rawatan pakar di hospital.' nasihat doktor. Bila dah kerja sendiri, tak adalah lagi bantuan ofis seperti dulu. Semuanya kena tanggung sendiri. Kena cari hospital kerajaan nampaknya. Bila google di internet, Hospital Serdang ada perkhidmatan dan kepakaran berkaitan penyakit ku ini.

Pukul 10 pagi dari rumah terus ke Hospital Serdang. Lebihkurang 45 mimit sampai. Keadaan parking kereta kat hospital macam ada pesta. Semua ruang dah diisi. Sepanjang-panjang jalan kiri-kanan dalam dan luar hospital penuh. Habis kawasan2 lapang dan tanah kosong jadi mangsa. 'Ramainya orang sakit' fikir ku. Akhirnya, tepaksa parking kat luar, tepi jalan utama. Jauh jugalah menapak.

Sampai di lobi utama, terus ke kaunter pertanyaan. Lega. Tak ramai pun orang. 'Nak jumpa doktor pakar.' kata ku pada pegawai bertugas. 'Encik ada bawa surat klinik ?' tanya dia. 'Surat ?? surat apa ???' jawab ku terpinga-pinga. 'Hospital ni hospital rujukan. Kami hanya terima terus kalau kes2 kecemasan saja. Encik kena ada surat dari klinik kerajaan atau swasta yang recommend ke hospital ni. Lepas tu baru boleh set appointment dengan doktor pakar. Tak boleh terus dapat jumpa doktor hari yang sama. Kena tunggu.' jelasnya agak panjang. Terkebil-kebil aku bercampur hampa. Terpaksalah balik untuk dapatkan surat doktor klinik. 

Dalam perjalanan balik 'Ahhh..give up. Pergi hospital swasta ajelah. Lebih mudah.' fikir ku. Terus call dan buat appointment. Esoknya terus ke hospital pakar. Sambutan misi2 muda di kaunter amat mesra. Berdaftar dan tunggu dalam 15 minit terus dapat jumpa doktor. Lepas cerita dan sembang sikit2, doktor pun check. 'Kena pergi Hospital Serdanglah. Peralatannya lebih lengkap untuk periksa penyakit Encik ni.' 'Pulak dah ??' respon ku dalam hati. 'Sebenarnya saya dari sana. Nanti jumpa saya pukul 10 pagi esok. Boleh ?' tanya dia. Apa nak buat tak ada pilihan nampaknya. Tak pasal2 kena caj RM83 untuk pendaftaran dan consultation yang tak sampai 10 minit.

Walaupun appointmentnya pukul 10, 8.30 pagi aku dah sampai Hospital Serdang. Kali ni dapat parking tepi jalan dalam kawasan hospital. Taklah jauh sangat. Lebihkurang 100 orang dah menunggu di kauter pendaftaran. 'Pukul berapa nak dapat jumpa doktor kalau macam ni punya ramai.' merungut dalam hati. Nasib baik kaunternya banyak dan setiap urusan cepat. Lebihkurang 30 minit sampailah giliran ku. Yang kerja sendiri  macam aku ni kena caj RM30 kos pendaftaran. Sekelas warga asing. Kalau kerja kerajaan kena RM5. Bayar ajelah tak usah banyak soal.

Pukul 9.30 dah dapat jumpa doktor yang jumpa semalam. Senyum dia bila nampak aku.  Lengkap dan canggih sungguh peralatan Hospital Serdang. Memudahkan doktor buat kerja. Doktor tu explainlah agak detail penyakit ku lepas pemeriksaan. Jelas dan puas hatiku.  Lepas tu ke kaunter farmasi untuk ambil ubat pula. Masa dapat ubat terpaksa kena minta beg plastik pulak. 'Lain kali datang bawa beg sendiri ya Encik.' kata pegawai farmasi tu penuh sopan. Maklumlah pertama kali ke sini. Tak sangka beg plastik isi ubat ni amat berharga di Hospital Serdang.

Lebihkurang pukul 12 tengah hari selesai urusan ku. Banyak yang dapat ku pelajari dalam 3 hari berulang alik ke hospital. Memenatkan dan lucu pun ada.

September 2, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 6 (Dia Hanya Minta Diingati)


Perkara macam ni dah lama tak berlaku pada keluarga. Isteri anak buah yang baru berkahwin tiba2 jatuh sakit. Doktor hospital tak dapat mengesan punca penyakitnya. Degup jatungnya seperti seorang atlit baru lepas habis bertanding lumba lari. Amat pantas. Akibatnya, dia sentiasa tercungap dan mudah letih. 

Akhirnya ikhtiar lain terpaksa dibuat. Jumpa seorang Ustaz yang dikatakan mahir perubatan alternatif.  Tiba2 Ustaz bertanya, 'Siapa punya benda di air ini ?' Terperanjat dan terpinga-pinga semua yang hadir. Tak tau apa maksud soalan Ustaz. Tak hairanlah, sebab semua yang hadir ahli keluarga sebelah isteri anak buah. Orang Penang. Nasib baik anak buah ku ni tau sedikit sebanyak latarbelakang keluarga dia. Diceritakan serba sedikit pada Ustaz. Nak cakap banyak tak berapa pasti. Maklumlah dia kira dah masuk generasi ketiga. 'Dia ni baik dan alim orangnya' komen Ustaz ringkas ditujukan pada benda yang di air itu. Mereka dinasihatkan balik ke Melaka dan buat apa yang patut.

Penyelesaiannya mudah apabila berlaku kejadian seperti ini pada salah seorang ahli keluarga. Selalunya ia berlaku semasa atau selepas majlis kenduri kahwin. Masa Tok Aki ada, dia sentiasa ingat 'menjemput' atau 'memaklumkan' pada anaknya Yahya. 'Kad Jemputannya' mudah aje. Sedikit cebisan daging lembu yang dah disembelih untuk kenduri kahwin dan buah pisang diletakkan di atas bekas kecil. Lepas tu, tuan rumah atau pengantin kena baca selawat dan berludah sedikit ke atas bingkisan tu. Selalunya, Tok Aki ditemani oleh beberapa orang ahli keluarga akan ke pantai lepas Maghrib. Sampai di pantai diserulah nama Yahya dan diletakkan bingkisan tu di permukaan air. Itu saja yang perlu dibuat. InsyaAllah, tuan rumah atau pengantin yang sakit sembuh lepas tu.

Tok Aki sebagai salah seorang imam kat kampung ada juga merujuk pada ustaz2 pasal hal ini. Takut2 ia jadi kurafat atau syirik. Komen ustaz, 'Tak mengapa. Selagi kita menganggap setiap kejadian itu  datangnya dari Allah swt. Sedikit 'juadah' yang diberi padanya hanya sebagai simbolik tanda kasih dan ingatan pada ahli keluarga kita yang istimewa ini. Yang sakit tu pula, kita cuma berikhtiar. Samalah macam kita makan panadol bila demam. Yang pulihkan kita Allah bukan panadol.'

Bila Tok Aki dah tak ada, tugas 'menjemput' Yahya ni diambil alih oleh pak2 saudara. Kira pangkat adik2 Yahyalah. Mereka sentiasa ingat pesan Tok Aki. 'Yahya perlu dimaklumkan, kalau nak buat kenduri kahwin.'  Dia pun nak tumpang gembira bila nak terima ahli keluarga baru. Wallahualam.

Bersambung....


June 27, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 5 (Padah Mengurungnya !)


Walaupun Yahya bebas di laut, masa kecil dia selalu bermain-main di persisiran pantai. Mungkin rasa rindunya pada keluarga amat kuat. Sentiasa menanti. Kalau-kalau ada yang sudi menjenguk.  Selalunya Tok Aki dan Jaafarlah yang kerap ke pantai. 

Kata emak kerana kerap bermain di pantai, Yahya selalu terperangkap di dalam jaring atau sungkur nelayan. Mujurlah nelayan kampung tu dah kenal sangat kat dia. 'Oh ! ni Pak Usop punya.' kata mereka. Yahya cukup jinak. Tidak memberi reaksi yang marah atau  garang apabila terperangkap di jaring. Mudahlah nelayan tu memegang dan melepaskannya ke air.

Kata orang 'rambut sama hitam, hati lain-lain'. Ada juga yang mempunyai niat tak baik. Mungkin mereka tak berapa faham keadaan. Ditangkapnya Yahya dan dibawa balik. 'Untuk diperlihara' katanya. Disimpan Yahya dalam bekas di bilik air. Seronok bukan main dapat 'memelihara' Yahya yang sememangnya unik sifatnya.

Kebetulan isteri si polan ni tengah sarat mengandung. Selang beberapa hari tibalah masa untuk melahirkan. Mak Bidan pun datang. Kali ni urusan tidak berjalan lancar. Puas Mak Bidan mencuba. Seperti ada yang tersekat. Meraung-raung si isteri meneran dan menahan sakit. Bayinya tak mahu keluar juga. Mak Bidan dan semua yang ada bersama mula berasa hairan.

Tiba-tiba Mak Bidan bertanya, 'Ada apa-apa yang kau kurungkan dalam rumah ni ?!!!'  Terperanjat si polan mendengar soalan itu. Mak Bidan nampak marah. Terpaksalah dia mengaku. 'Lepaskan dia !' arah Mak Bidan. Kelam kabut dan tergesa-gesalah si polan tu menguruskannya. Belum sempat si polan pulang dari pantai, isterinya telah selamat melahirkan bayi yang comel.

Bersambung.....

June 21, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 4 (Sentiasa Dekat Dengan Kembarnya)


Jaafar, kembarnya sentiasa dekat dihati. Walaupun berbeza sifat namun dengan kuasa Allah swt, kedua-dua anak kembar ini memang rapat. Kalau ada kelapangan terutama waktu petang, Jaafar pasti akan ke pantai yang terletak tidak jauh dari rumah. Lekalah dia bermain-main dan mandi di pantai sehingga senja menjelma. Kata orang kampung, 'Kadang2 nampak Jaafar tidak keseorangan.' Mereka  seolah-olah nampak dua orang budak sebaya sedang asyik bermain di pantai. Begitulah keadaannya sehinggalah Jaafar dewasa. Orang2 kampung dah biasa dengan keadaan ini.

Jaafar pernah membuat bermacam-macam kerja di kampung. Termasuk sebagai guru di sekolah. Namun semuanya tidak mendatangkan kepuasan kepadanya. Jiwanya seolah-olah tidak sesuai dengan pekerjaan di darat. Akhirnya, Jaafar ke Singapura atas pelawaan rakan. Peluang pekerjaan dalam bidang perkapalan  yang ditawarkan tidak mahu dilepaskan. Dia amat teruja. 

Dah rezeki dia. Jaafar diterima bekerja sebagai pelayar dalam sebuah syarikat perkapalan di Singapura. Kariernya dalam bidang perkapalan amat cerah. Dalam masa yang singkat sahaja sudah naik ke taraf Kapten. Siapa tak kenal dengannya. Bila sebut 'Kapten Jaafar', semua orang kampung kenal sangat. Rasa bangga pun ada.

Semua orang tahu, keserasian jiwa Jaafar dalam bidang perkapalan sedikit sebanyak disumbang oleh kembarnya, Yahya. Mereka berdua sentiasa mahu bersama. Dengan berada di laut sajalah Jaafar dapat sentiasa 'bersua dan ditemani'. Mungkin hatinya tenang bila adik kembarnya sentiasa ada disampingnya semasa menjalankan tugas dan menghadapi pelbagai cabaran pelayaran di lautan. Wallahualam.

Bersambung ........

June 11, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 3 (Hantar Tok Aki & Nek Ncek Pergi Haji)


Sejak Yahya tak ada, Tok Aki terasa sunyi. Terbayang-bayang anaknya berenang-renang di dalam basin berair. Saat-saat Yahya dilepaskannya ke laut masih diingatnya. Kata Mak, 'Tok Aki kerap singgah di pantai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.'  Itulah rutin harian Tok Aki untuk melepas rindu pada anaknya. Mungkin bimbangkan Yahya yang hidupnya di laut. Masa dilepaskan Yahya amat kecil. Kata orang yang pernah terserampak, kadang2 ternampak Tok Aki macam sedang berbual-bual dengan seseorang di tepi pantai. Semua orang kampung dah tahu hal ini. Mereka faham dan ia seolah-olah sudah menjadi biasa.

Beberapa tahun berlalu. Mungkin Yahya pun dah dewasa. Hubungan Tok Aki dan anaknya ini tidak pernah terputus. Diceritakan Mak, masa Tok Aki dan Nek Ncek pergi haji, Yahya sama2 menghantarnya. Dulu nak pergi haji kena naik kapal di Pelabuhan Singapura. Perjalanan dari kampung ke Pelabuhan Singapura pun makan beberapa hari. Tak ramai yang dapat menghantar hingga ke kapal. Selain masalah pengangkutan, kos pun menjadi kengkangan. Berbulan-bulan lamanya dari Pelabuhan Singapura ke tanah suci. Kalau meninggal dunia atas kapal terpaksa disemadikan di laut saja.

Kata Mak, 'Tiba2 suasana riuh rendah jemaah atas kapal setelah meninggalkan Pelabuhan Singapura.' Mereka ternampak dengan jelas kelibat putih di permukaan air sedang mengekori kapal. Lama juga ia berkeadaan begitu. Mungkin dengan kuasa Allah swt, Tok Aki kenal sungguh siapa yang sedang dilihat oleh jemaah2 itu. Rupanya, Yahya tidak mahu ketinggalan menghantar ayah dan maknya ke tanah suci. Tok Aki tersenyum dan rasa bersyukur dapat melihat Yahya yang akan ditinggalkan untuk beberapa bulan. Kelibat Yahya kemudian hilang setelah mengekori kapal dikatakan hingga ke Pulau Pinang. Tok Aki berdoa moga dipanjangkan umur untuk dapat bertemu semula dengan anaknya itu.

Bersambung......


June 8, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 2 (Dia Ingin Bebas)

Kelam kabut dibuatnya. Tak pernah perkara seperti ini terjadi. Pelbagai pandangan diberi. Bagaimana Yahya nak dipelihara ? Apa makanannya untuk membesar ? dan macam2 persoalan lagi. Tok Aki jadi buntu. Semua pandangan yang diberi tidak pasti penyelesaiannya. Tok Aki dan keluarga hanya mampu untuk terus berdoa agar jalan keluar 'masalah' ini diberi petunjuk oleh Yang Maha Esa.

Akhirnya ayah Tok Aki mencadangkan dibuat kolam. Saiz yang dicadangkan agak besar. Ia diharap dapat memberi keselesaan kepada Yahya. Maka tukang yang mahir dipanggil. Kerja2 mengukur pun dibuat untuk membina sebuah kolam. Oleh kerana keadaan yang mendesak, Si tukang berjanji akan datang esok untuk memulakan tugas membina. Janjinya dalam seminggu boleh siap.

Esok paginya, belum sempat Si tukang datang, Mak Bidan terlebih dahulu tiba. Katanya pada Tok Aki dia bermimpi malam tadi. 'Yahya minta dilepaskan ke laut.' Perasaan Tok Aki bercampur baur. Adakah ini cara terbaik ? Ayah mana yang sanggup 'membuang' atau  berpisah dengan anaknya. Walaupun sifatnya berbeza. Dia tetap darah dagingnya. Yahya dianggap kurniaan  istimewa Allah swt kepada Tok Aki dan keluarga. Lama Tok Aki termenung. Setelah berbincang dengan semua akhirnya Tok Aki akur.

Yahya diriba Tok Aki menuju ke tepi pantai yang letaknya lebihkurang 3 km dari rumah. Diiringi ahli keluarga dan jiran terdekat. Makin hampir ke pantai makin hiba Tok Aki. Walaupun Yahya hanya sempat bersama seketika, perasaan kasih ayah kepada anaknya amat mendalam. Dengan lafaz 'Bismillah' Yahya dilepaskan ke air. Melinang air mata Tok Aki. Semua yang bersama turut menangis. Dalam sekelip mata kelibat Yahya hilang dari pandangan. Hanya kocakan2 kecil air yang ditinggalkan tanda perpisahan ini. 'Semoga Yahya sentiasa dilindungi Allah swt'.  Itu saja yang mampu dipinta oleh semua yang menyaksikan peristiwa ini.

Bersambung......

June 7, 2012

Pak Ngah Yahya - Part 1 (Kelahirannya)




Post kali ini, kisahnya agak personal dan mungkin unik dan bersejarah. Sekurang-kurangnya pada keluarga ku. Ianya sudah lama diketahui majoriti ahli keluarga dan penduduk sekampung. Agaknya generasi baru di kalangan keluarga dan anak2 kampung tidak mendengarnya. Kerana kisahnya tidak dibual atau diceritakan lagi. Malah ada yang mahu ianya dilupakan atau jangan disebut-sebut terus.

Terdetik hati ini untuk menulisnya, bila kisahnya tiba2 timbul semula baru2 ini. Tujuannya hanya satu. Untuk mencatatkan sedikit sebanyak kisah2 yang dapat dikutip dari bapa dan mak saudara untuk dimasukkan ke dalam post2 bersiri yang ringkas di blog ni. Mungkin hanya untuk tatapan ahli keluarga ku pada generasi ini dan akan datang. Terutama bila ramai yang mengetahui hal ini telah tiada nanti.

Lebihkurang 80 tahun dulu, seluruh ahli keluarga Tok Aki ku berdebar menunggu kelahiran anaknya yang ketiga. Saiz kandungan perut isterinya agak besar sedikit dari lazimnya. Dah dua kali menyambut kelahiran anak sebelum ini. Tapi kali ni debarannya lain macam sikit. Dulu urusan kelahiran dibuat cara kampung. Tak ke klinik ataupun hospital.

Bila genap 9 bulan dan tiba masanya, Bidan kampung dipanggil ke rumah Tok Aki. Seperti biasa Mak Bidan buat lah apa yang patut untuk menyambut kelahiran. Detik2 menyambut kelahiran tidaklah banyak masalah. Semuanya berjalan lancar. Lahirlah bayi lelaki yang comel dan sempurna sifatnya. Namun begitu, dia bukan keseorangan. Ada kembarnya. Tapi sifat2 tidak serupa dengan abangnya. Warna tubuhnya putih bersih. Terperanjant sungguh semua orang dibuatnya. Tok Aki redha bila dimaklumkan Mak Bidan. Disambut kedua-dua bayi itu dengan laungan azan yang syahdu.

Dinamakan kedua-dua anaknya ini, Jaafar dan Yahya. Jaafar yang sempurna sifatnya. lena tidur di  dalam dakapan ibu.  Manakala, Yahya dimasukkan ke dalam basin berisi air. Sesuai dengan sifat2nya.

Bersambung.......