August 2, 2011

Bila Imam Umum Tarawikh 8 Rakaat


Dah jadi fenomena biasa malam pertama bersolat Tarawikh. Semangat jemaah memang hebat. Parking masjid penuh dan sesak setelah confirm puasa esok. Ramai yang datang awal. Semua tidak mahu ketinggalan. Nak booking dalam ruang solat utama. Sejuk sikit sebab berair-con. Kat luar agak panas. Tak berapa selesa. 

Seperti biasa solat Tarawikh 20 rakaat 3 Witir. Lepas 8 rakaat ada juga yang mula melangkah keluar. Beberapa jemaah mula menoleh belakang. Cuma nak perhatikan jemaah2 yang buat 8 rakaat sahaja. Agak selamba dan tersipu sipu juga mereka. Yang kenal tu senyum2 perli aje. Walaubagaimana pun malam pertama agak membanggakan. Saf2 masih banyak yang menghabiskan 20 rakaat. Mungkin semangat dan tenaga masih kuat. Siang hari tadi masih belum berpuasa. Lebikurang 10.40 malam selesai solat.

Masuk malam kedua. Lepas solat Isyak, Imam umum malam ni buat 8 rakaat. Lepas 4, tazkirah. Kemudian sambung 4 lagi. Semua faham sangat tujuannya. Siapa makan cili dia rasa pedas le. Geng2 yang buat lapan tak kan nak balik lepas 4 rakaat pulak. Terpaksa tunggulah sambil mendengar tazkirah.

Antara intipati berkaitan tazkirah yang disampaikan oleh Imam 2 masjid malam tadi ialah kiasan reaksi dua golongan bila berada di masjid. Golongan pertama seperi ikan di akuarium. Sentiasa seronok di dalamnya. Kalau dikeluarkan pasti mengelumpur dan lemas. Gologan ini lagi lama di masjid lagi seronok. Golongan kedua pulak umpama burung dalam sangkar. Sentiasa gelisah di dalamnya. Ingin cepat dilepaskan dan dapat terbang jauh dan bebas.

Bagi sesetengah orang sudah tentu ia satu tazkirah yang sinis. Tapi tujuannya teramatlah baik. Cuma menasihat dan mengingatkan kepada mereka2 yang sememangnya telah arif dalam hal ini. Bulan nilah masa terbaik untuk merebut peluang yang dihidangkan. Pendek kata, lagi lama berada dan beramal di rumah Nya peluang mendapat keberkatan itu lebih luas. Wallahualam.

July 29, 2011

2 Kesibukan di Bulan Ramadhan


Suasana Ramadhan dah mula terasa. Khutbah Jumaat hari ni pun khatib cakap pasalnya. Masih ada yang mengadakan majlis kenduri doa selamat sempena Ramadhan. Bahan2 makanan yang sinonim dengan Ramadhan seperti kurma dah berlambak kat pasar2raya sejak beberapa minggu lalu. Kebetulan Ramadhan tahun ini disambut pada awal bulan. Selepas dapat gaji, orangramai  mengambil peluang untuk membeli belah stok makanan yang diperlukan sepanjang bulan ini. Pasaraya lebih sibuk berbanding hujung2 bulan yang biasa.

Islam menasihatkan umatnya supaya bersibuk-sibuk dalam bulan Ramadhan. Yang dimaksudkan bersibuk beramal. Satu bulan istimewa yang penuh keberkatan. Setelah berpuasa di siang hari, kita digalakkan supaya lebih aktif beribadah pada malamnya. Maklumlah siang lapar dan letih. Solat tarawikh, tadarus Al Quran, qiammulai dan bersahur. Antara empat ibadah sunat yang digalakkan. Dikatakan juga bulan ni bulan latihan. Untuk mendidik atau 'polish' semula iman yang mungkin terdapat karat dan kotoran di mana2.

'Godaan' hebat juga terdapat di bulan Ramadhan. Punca rezeki memang melimpah. Permintaan  keperluan untuk berbuka hinggalah ke hari raya amat tinggi. Peluang berniaga terbuka luas. Ramai yang tidak mahu terlepas peluang keemasan yang datang sekali setahun ini. Maka bersibuk-sibuklah mereka mencari rezeki. Kadang2 hingga ke malam hari. Mungkin ini adalah antara nikmat Allah s.w.t. kepada hambaNya di dalam bulan Ramadhan.

Mengeksploit dengan bijak antara dua peluang ini amat penting. Supaya kemanisannya dapat dirasa sepenuhnya di akhir Ramadhan. Ibadah2 sunat tidak ditinggalkan walaupun sibuk berniaga. Berpada-padalah mencari wang. Yang penting peluang memperolehi pahala besar yang ditawarkanNya tidak disia-siakan. Walaupun rezeki yang disediakanNya juga tidak patut dibiarkan berlalu begitu saja bagi yang rajin berusaha. Wallahualam.

July 25, 2011

Jangan Ulangi Kesilapan Sama


Hati ni agak berdebar juga bila lihat ada objek dilontar ke bahagian pertahanan Malaysia selepas gol keempat Singapura. Kalau tak silap benda tu datang dari kumpulan penyokong negara. Adakah penyokong kita telah berpaling tadah ? Disebabkan bengang dan tak berpuas hati melihat betapa rapuh dan lembiknya barisan pertahanan negara. Semuanya gol2 mudah. 

Stail bertahan masa lawan Arsenal dan Liverpool diperlihatkan semula di Stadium Jalan Besar. Kesilapan2 sebegitu tak akan dapat diterima peminat dalam perlawanan sebenar. Apatah lagi bila berlawan dengan seteru utama seperti Singapura. Maruah negara memang betul2 tercabar kalau kalah dengan team ini. Kalah pulak disebabkan pertahanan yang kelam kabut dan tak bermaya. 

Mujurlah Safi Sali dan Hadi Yahya ada. Terubat dan semangatlah sikit hati ni. Gol2 mereka memberi harapan. Bagai sinar terpancar semula. Tengah2 dok seronok. Gol kelima Singapura pulak masuk. Lagi sekali. Pertahanan standard budak2 sekolah ditunjukkan. Penyerang Singapura yang dah tua tu nampak lebih lincah dari pertahanan muda negara.

5 - 3 bila wisel penamat ditiupkan. Walaupun kalah, harapan Malaysia masih ada. Perlu menang  sekurang-kurangnya 2 - 0 untuk meneruskan cabaran ke Piala Dunia 2014. Kali ini bermain di Bukit Jalil. Sudah tentu sokongan padu diberikan kepada pasukan negara. Pasukan  ini sentiasa dipuja sejak memenangi Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki Cup. Kekalahan teruk kepada Arsenal dan Liverpool diterima peminat sebagai sekadar aksi pertunjukan dan hiburan. 

Tapi tidak bila berlawan Singapura. Kesilapan2 pada liga pertama diharap tidak berulang. Sebagai peminat sukan, menang atau kalah adat perlawanan. Kalau kalah dengan bermaruah sudah tentu semua boleh menerimanya. Sanjungan tetap akan diberi. Rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang. Sorakan padu di Stadium Bukit Jalil akan mewakili 26 juta rakyat Malaysia. Mudah2an kemenangan yang diidamkan dapat dikecapi. InsyaAllah.

July 22, 2011

Macam Menjamu Selera Di Tanah Suci


Makanan Arab atau Timur Tengah memang popular di negara kita. Asalkan sedap. Pasti ramai yang mengunjungi. Tapi restoran ni lain sikit. Restoran Al Diafah. Terletak di Sri Petaling. Tak jauh dari dari Hotel Sri Petaling yang nampak macam tak beroperasi lagi. Tingkat bawah kedai kurma dan cenderhati. Restoran terletak di tingkat atas.

Suasana dalam restoran betul2 macam restoran mewah di Tanah Suci. Audio bacaan Al-Quran oleh Imam Masjidilharam menghidupkan suasana. Staff semua warga Arab. Bolehlah berbahasa Melayu dan Inggeris Difahamkan dah lebih 14 tahun restoran ni beroperasi di negara ini. Taukehnya orang Jeddah. Setahun sekali, bila musim haji baru balik ke negaranya.

Lebih 100 hidangan disediakan. Semuanya makanan Arab original.  Perrgghhh.... Harga boleh tahan. Sepinggan nasi Arab berlauk ayam RM35.00. Jus minuman antara RM8 ke RM15. Jiran setaman nak belanja. Ikut saja. Bak kata orang. 'rezeki jangan ditolak'. Hari tu tiga orang makan order hidangan yang simple aje. Bilnya RM117.00. Rasanya, kena betul2 bersedia kalau berhajat nak belanja kawan atau keluarga di restoran ini. Terutama untuk berbuka puasa Ramadhan nanti.

July 16, 2011

Kena Ada RM500,000 Kalau Nak 'Berpisah'


Syukur Alhamdulillah, akhirnya dapat juga cari penaja untuk anak ku belajar ke luar negara selepas tamat Tingkatan 5. Telah menjadi cita2nya melanjutkan pelajaran ke sana selepas SPM. Semua tawaran belajar di dalam negara ditolak. Apa nak buat. Ikutkan sajalah kemahuannya. Benda baik. Ayah Ibu kena sokonglah.

Nak hantar pakai duit sendiri seperti di UK memang tak mampu. Ada juga peluang di Mesir. Kosnya agak berpatutan. Sambil2 tu terus berdoa agar ada penaja yang sudi menawarkan kemudahan biasiswa. JPA, Mara, Zakat Selangor, Bank Negara dsbnya semuanya tak berjaya. Akhirnya, di saat2 akhir dengan izin Allah s.w.t PNB sudi. Kalau dah rezeki, pasti ada punya. Bagai pucuk dicita ulam mendatangah. Begitu teruja nampaknya anak ku. Ceria dan berseri seri sungguh dia. Termasuk Ayah Ibu sekali le.

Majlis penyampaian tawaran biasiswa di adakan di Menara PNB pada 11 Julai 2011. Daripada 21 yang ditawarkan, hanya 16 yang hadir. Yang tak hadir dah dapat tawaran lain katanya. Kena buat A Level dua tahun di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin. Ada juga dihantar ke MCKK bagi yang buat program International Baccalaureate (IB). Lepas tu kalau semua OK, boleh lah meneruskan pengajian peringkat Ijazah di universiti2 terkenal di UK, USA atau Australia.

Dalam seronok2 tu, PNB ada berpesan. Kena berkhidmat sekurang-kurangnya 8 tahun dengan mereka selepas tamat pengajian. Itu bond perjanjian yang dikenakan. Kalau rasa tak seronok kat PNB dan berangan-angan nak cari kerja tempat lain. Sila sediakan RM500,000. Jumlah dikenakan untuk 'berpisah' kata mereka.

July 4, 2011

Bila Tak Ada Orang Nak Pimpin Tahlil


Setiap kali nak sambut Ramadhan pasti akan diadakan majlis bacaan Yaasin dan tahlil. Semua anak2 disuruh balik ke kampung pada tarikh yang telah ditetap dan dipersetujui. Tiada kompromi. Ia semacam kehadiran wajib. Tak kira jauh atau dekat. Tiba masanya, semua perlu berkumpul untuk majlis ini.

Yang pasti, tahun demi tahun akan terdapat bilangan kehadiran yang berkurangan. Terutama di kalangan bapa dan emak saudara yang tinggal di kampung. Yang sentiasa bersama dalam majlis sebegini. Satu demi satu mereka pergi. Pergi yang pasti tidak kembali. Kadang2 terasa sayu di hati. Hanya doa  dan pahala bacaan Yaasin mampu disedekahkan untuk roh2 mereka.

Bila orang2 tua dah tiada, masalah timbul nak cari pemimpin majlis. Nak tunggu Pak2 Imam masjid atau surau di kampung kadang2 agak lambat. Mereka selalunya sibuk dengan hal2 lain. Tak larat nak menunggu. Sejuk nasi dan lauk dibuatnya.

Mulalah pakat suruh menyuruh dan tolak menolak antara orang2 muda. Semuanya pakat geleng kepala. Tak sanggup. Pada hal yang ada ni bukanlah muda lagi. Rata2 dah lebih separuh abad umurnya. Perasan je muda lagi. Akhirnya Abang Long lah volunteer. Pimpin bacaan Yaasin dan tahlil. Usaha pertamanya boleh dikira berjaya walaupun kadang2 tersekat sekat  juga bacaan doanya.

Bila difikirkan semula, dah tiba masanya majlis sebegini dipimpin oleh 'generasi baru'. Apatah lagi oleh orang rumah atau anak2 arwah yang telah pergi. Lebih afdhal. Kalau tak mula, sampai bila tak yakin. Kena belajar dan berlatih. Lama2 pandailah. Tak kan sampai tua nak jadi tukang amin aje.

June 29, 2011

Nak Karier Yang Boleh Kaya


Anak2 sekarang lain. Kalau tanya nak jadi apa bila dewasa ? Rata2 jawapan mereka, 'Yang boleh jadi kaya.' Tak macam kita dulu. Orang tua2 zaman kita selalu menasihatkan, 'Belajarlah bersungguh sungguh. Janganlah jadi macam kami. Hidup susah.' Memang orang dulu2 ramai yang kurang mendapat peluang pendidikan. Ada yang tak sekolah langsung. Atau tak tamat sekolah. Selalunya disebabkan oleh kesempitan hidup atau kurang galakkan.

Kalau ada anak orang kampung masuk universiti. Itu dah kira hebat. Cerahlah masa depan. Selalu di sebut2 sebagai contoh pada anak2 yang masih bersekolah. Jurutera dan doktor adalah antara jawatan yang berprestij bagi mereka pada masa tu. Bangga sungguh ibu bapa dan orang2 kampung bila ada yang berjawatan begitu.

Suasana sekarang dah berubah. Peluang melanjutkan pelajaran banyak. Dah tak jadi satu kebanggaan sangat kalau ada anak yang masuk universiti. Yang ditanya pada kita sebelum memilih karier mereka, contohnya, 'Jadi doktor tu boleh kaya tak ? Jadi jurutera tu banyak duit ke ? Sekarang ni buat satu filem je dah boleh jadi jutawan.' kata mereka. Faktor pendapatan jadi penentu karier nampaknya.

Tak salah anak2 kita bercita cita nak jadi orang kaya. Itu petanda positif. Agama pun menggalakkan. Mereka dah sedar betapa wang amat penting untuk hidup senang. Keadaan, maklumat, pergaulan, media masa semasa membuatkan mereka terdedah dan jadi begitu. Kebanyakan kita yang bukan orang kaya ni tak berapa pandailah nak cerita kat mereka macamana nak jadi kaya. Tak pernah berada di tahap itu. Yang boleh kita nasihatkan pada anak2 ni, belajar dan berusahalah bersungguh-sungguh. Rezeki tu di tangan Allah s.w.t. Asas agama mesti sentiasa kukuh. Jangan sampai nanti semuanya mereka kira boleh. Asalkan jadi kaya.