November 16, 2010

Apabila Ibu Bapa Hanya Membesarkan Anak2


Semasa mesyuarat AJK Penduduk Desa Bestari tempoh hari, sempat bersembang dengan pegawai kanan PDRM Melaka. Beliau duduk di taman ni dan tiap2 hari berulang alik ke Melaka. Katanya terpaksa berkorban untuk isteri yang mengajar di Salak Tinggi.

Aku ambil kesempatan mengucapkan tahniah pada dia kerana Melaka Maju 2010. Seterusnya memuji kerana 'crime rate' kat Melaka rendah. Sambil tersenyum dia menjawab, 'Cuma masalah kat Melaka ialah kes rogol yang tinggi, tiap2 hari mesti ada aduan. Bapa rogol anak, abang rogol adik, boyfriend rogol girlfriend dan sebagainya. Hampir 90 peratus kes terdiri di kalangan orang Melayu. Tulah antara sebab Ali Rustam cadang bina Rumah Harapan' tambahnya.

Dia kata, 'Ibu bapa sekarang ni kebanyakannya cuma pandai membesarkan anak. Tugas mendidik diserahkan pada guru bulat2.' Mereka beranggapan tugas utama ialah hanya memenuhi segala keperluan anak2 seperti makan minum, duit poket, tempat tinggal dan sebagainya. Bila berada di luar sekolah, tidak ada yang memantau anak2 ini. Maka bebas lah mereka seperti layang2 tapi tidak bertali. Dengan zaman internet sekarang, semua benda2 baik dan yang tak baik boleh diperolehi  hanya perlu klik saje komputer. Tanpa sentuhan didikan dari ibu bapa, anak2 ini mudah hilang punca. Nafsu muda mudah menguasai mereka.

November 15, 2010

Konsep Hierarki Pusat Perniagaan Tidak Sesuai Untuk KL ?


Rasa agak bertuah dapat menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Norliza Hashim pada Bengkel Makluman Awan dan Pihak Berkepentingan Pelan DBKL 2020 pada 15 Nov 2010 di Hotel Istana. Selain sempat berjumpa member2 sepejuangan, dapat juga maklumat2 terkini berkaitan isu2 yang ditimbulkan oleh orang ramai ke atas Pelan DBKL 2020. 

Bengkel sehari ni diadakan dari pagi hingga malam. Agenda pertama ialah taklimat yang disampaikan oleh Norliza berkaitan dengan pindaan2 yang telah dibuat berdasarkan kepada komen dan bantahan orang awam. Antara pindaan utama yang dibuat ialah menggugurkan cadangan hierarki pusat perniagaan. Kata Norliza, pembangunan KL yang amat pesat khususnya pusat2 perdagangan tidak memungkinkan konsep atau strategi ini dapat dilaksanakan. Tren menunjukkan kebanyakkan pusat2 ini telah dan akan bercantum antara satu sama lain. Pembangunan kawasan perniagaan di sepanjang jalan2 utama juga menjadi faktor tambahan.

Jadi agak mustahil untuk menetapkan lokasi atau kawasan yang 'rigid' sebagai pusat2 perniagaan berdasarkan hierarki. Sistem hiererki yang menentukan kawasan2 khas untuk pusat perniagaan daerah, pusat perniagaan tempatan dan sebagainya disedari tidak sesuai untuk KL. Bagaimana mungkin untuk merealisasikan hierarki ini, atau untuk digunakan sebagai  panduan kawalan perancangan, kalau pembangunan berlaku terlalu cepat dan sempadan kawasan perniagaan semakin membesar dan bercantum antara satu sama lain. Ditambah pula, pembangunan  baru yang dirancangkan secara komprehensif selalunya mencadangkan komponen atau kawasan perniagaan yang luas.

November 13, 2010

Hidup Ni Perlu Banyak Bakul

Teringat kata2 Tan Sri Khalid semasa beliau masih memegang jawatan CEO Guthrie. Dia kata kita kalau nak selamat, setiap orang mesti ada banyak bakul. Bakul tu maksud dia sumber pendapatanlah. Kalau satu bakul rosak atau bocor, adalah bakul2 lain membantu.

Tidak dinafikan cabaran masakini makin besar untuk bergantung hanya dengan satu 'bakul'. Dengan kos hidup semakin meningkat sudah tentu keadaan akan menjadi lebih buruk kalau satu2nya bakul yang kita harapkan bocor atau tidak mampu menanggung beban yang diisi.

Walaubagaimana pun, untuk tambah bakul, ia juga perlu bergantung kepada keupayaan kita untuk mengendalikannya. Takut2 terlalu banyak bakul, semuanya tidak terurus. Akhirnya, masalah lain pula timbul nanti.

November 2, 2010

Hutang Pasti Dibayar


Menonton siri Biography - Mahathir di Astro dua hari lalu memberi banyak maklumat dan pengajaran berharga. Selain dapat memahami sedikit sebanyak latarbelakang dan ketokohan Tun, ada satu kisah yang diceritakan Tun agak menyentuh perasaan.

Klinik Maha milik Tun merupakan klinik swasta pertama diusahakan oleh doktor Melayu di Alor Setar. Maka ia menjadi kunjungan pilihan di kalangan orang Melayu. Pesakit2 ni kebanyakannya terdiri daripada petani dan pesawah yang berpendapatan rendah. Belanja ke Alor Setar untuk menaiki bas atau teksi agak membebankan bagi mereka. Bila sampai ke klinik duit hanya tinggal untuk tambang balik ke rumah. 

Lepas mendapat rawatan dari Tun, ubat diberi tanpa mampu dibayar mereka. Dengan muka sedih minta tangguh dulu bayaran dan janji akan bayar kemudian. Tun tak kisah, janji pesakitnya dapat pulih dari beban yang ditanggung.


Selepas dilantik jadi PM, ada orang2 yang tidak dikenali berjumpanya. Lalu menghulurkan duit RM5. Katanya, 'ini hutang saya pada Dr. masa terima rawatan kat klinik dulu'. Tun kata peristiwa ini amat menyentuh perasaannya. Sebak juga rasa dihati menonton part ni.

October 12, 2010

Disapa Raja Muda Perlis Di Mekah


Biasanya lepas solat asar, singgah sebentar kat Makkah Hilton Hotel. Buat window shopping. Kali ni cari jam tangan yang dipesan anak. Masa dok belek2 jam, tiba2 ada yang menegur. 'Nak beli jam ke ?'. 'Saja tengok2' jawab ku ringkas sambil berpaling ke arah suara yang menegur. Orangnya agak rendah tapi berbadan tegap. Aku pun menghulurkan tangan untuk bersalam.

Nampak mesra sungguh orangnya. Dia tanya lagi. 'Datang naik penerbangan ke berapa ?' 'KT 2' jawabku. 'Encik pula KT berapa ?' tanyaku pula. 'Saya datang dengan MH2' jawabnya. 'Ehhh.... lain pulak nombor penerbangannya' bisik ku dalam hati. Sambil tersenyum dia bisik pada ku, 'Saya ni Raja Muda Perlis'.

MasyaAllah tak kenal sungguh aku pada Raja Muda Perlis ni. Maklumlah, baginda ni tak macam Raja2 Muda negeri lain. Baginda jarang sungguh keluar kat tv atau surat khabar. 'Maaf tuanku saya tak kenal' kata ku jujur padanya. 'Tak apa' katanya.

Difahamkan lepas beberapa bulan kembali daripada ibadah haji tahun tu (2000), baginda ditabalkan sebagai Raja Perlis. Kawan2 kata, 'Kau patut hantar postcard ucap tahniah pada baginda.' selepas aku menceritakan kisah ni pada mereka.

October 11, 2010

Mekah & Madinah Destinasi Luar Negara Yang Pertama


Bercuti bersama keluarga ke luar negara memang sentiasa menjadi cita2 dan idaman. Rasanya setiap kali cuti sekolah, anak2 akan bertanya ke mana destinasi kali ini. Semua tempat kat Malaysia ni dah pergi kata mereka. Pantai, gunung, pulau, tasik semua dah dikunjungi. 'Tak kan nak pergi lagi ?' Soalan yang agak mencabar ego ku sebagai bapa. Baru ku sedar anak2 sekarang agak demanding. Lagi besar mereka, lagi pandai meminta.

Bincang punya bincang dengan isteri. Akhirnya keputusan terbaik dicapai. Anak2 ni tak pernah ke luar negara. 'Biar kita bawa mereka ke tanah suci.' bisik ku pada isteri. Cadangan ini diterima baik oleh semua. Lagi pun masa tu rezeki agak mengizinkan. Bila dengar nak pergi ke tanah suci, ibu ku pun nak ikut sama.

Bila tiba masanya, berangkatlah kami berenam ke tanah suci. Bersyukur pada Allah s.w.t bila melihat anak2 ceria dan tekun beribadah sepanjang berada di tanah suci. Walau pun cuaca agak panas, tiada sedetik rungutan keluar dari mulut mereka. Ibadah umrah sebanyak 7 kali dapat dilaksana. Pesan ku pada mereka, 'Berdoa dan mintalah sebanyak mana kat Allah s.w.t. semasa berada di tanah suci'. InsyaAllah akan dikabulkanNya.

October 6, 2010

Dilema Mengadakan Kenduri Kahwin Dalam Bulan Syawal


Ada beberapa perkara yang dapat dirumuskan apabila sedikit sebanyak terlibat dalam beberapa majlis perkahwinan yang diadakan dalam bulan Syawal ni. Yang jelas, kadar ketidakhadiran para jemputan agak tinggi. Dianggarkan sekitar antara 20 ke 30 peratus. Fenomena ini mungkin disebabkan oleh pertembungan antara majlis perkahwinan dan rumah2 terbuka yang diadakan serentak. Bagi mereka yang dah balik kampung pada musim raya, mungkin agak keberatan nak datang balik. Sebabnya, kehabisan cuti, kos dan tak larat nak drive jauh selepas menghadapi traffic jam pada musim hari raya.

Para jemputan yang datang pun kebanyakan tak makan banyak, Perut dah penuh makan di majlis2 rumah terbuka. Ramai yang datang lewat atau datang saje2 sekadar tunjuk muka untuk menjaga hati tuan rumah. Maka banyaklah nasi dan lauk pauk terlebih dan tak habis,

Perkara yang satu lagi ialah 'collection' tuan rumah agak merundum. Walau pun ini bukan yang diharapkan sangat. Maklumlah,  persiapan menyambut hari raya melibatkan kos yang tinggi sekarang ni. Jadi para jemputan yang datang pun menghulur mana yang termampu atau terbakilah.