September 16, 2010

Bila Baby Rayyan Kemalangan


Sambutan hari raya tahun ni diserikan lagi dengan kehadiran Sallehuddin Rayyan. Baby comel, periang dan yang paling penting tak mudah menangis. Murah dengan senyuman. Baru mula nak merangkak sikit2. Semua orang boleh mencium, bermain dan mendokongnya. Tidak banyak karenah. Cuma merengek seketika bila perutnya dah mula kosong.

Berita kemalangan Rayyan sekeluarga berhampiran plaza tol Jalan Duta untuk pulang ke KL dari kampung memeranjatkan kami semua. Berita awal yang diterima mengatakan Rayyan tercampak keluar dari riba ibunya yang duduk di kerusi hadapan. 'Ya Allah !!' itu ucapan pertama terkeluar dari mulut. Dimaklumkan, Rayyan dimasukkan ke ICU HUKM  untuk pemeriksaan rapi. Ibunya patah tangan semasa cuba keluar dari kereta untuk mencari Rayyan. Selang beberapa jam, kami semua merasa lega. Dimaklumkan Rayyan selamat. Cuma luka dan calar2 di kepala dan beberapa bahagian anggota. Ibunya perlu dibedah untuk memulihkan tangan yang patah.

Kemalangan ini berlaku disebabkan rempuhan lori dari arah belakang yang kerosakan brek bila menuruni bukit. Masa tu sekitar pukul 7 pagi. Trafik dah mula sibuk untuk ke KL. Lori bermuatan jentera berat tu terhumban ke gaung. Pemandu dan kelindannya dikatakan cedera parah.

Meriba bayi atau anak kecil di tempat duduk hadapan memang tak dinafikan berisiko tinggi. Mereka digalakkan duduk di belakang atau menyediakan kerusi khas di kerusi hadapan. Bila berlaku kemalangan sebegini, barulah kita sedar betapa peraturan ini perlu sentiasa kita dipatuhi.

September 15, 2010

Status 'Ground Tenant' Memudahkan Orang Melayu Diusir


Beraya di rumah sanak saudara di Pulau Pinang kali ni disambut dengan topik hangat semasa. Rata2 nampak jelas orang Melayu Pulau Pinang mula rasa kedudukan mereka terancam. Kemarahan mereka diluahkan pada kerajaan negeri khususnya Lim Guan Eng. Satu demi satu premis perniagaan dan kampung orang Melayu dirobohkan. Agendanya ditafsirkan seperti mahu mengusir mereka dari Pulau Pinang.

Bila kes2 ni mula berlaku, aku teringatkan data2 pemilikan tanah semasa membuat kajian Pelan Induk Perda pada awal tahun 1990an dulu. Statistiknya memang memeranjat dan merisaukan. Hampir semua kampung2 Melayu yang dikajiselidik di Pulau Pinang mempunyai taraf pemilikan berstatus 'ground tenat'. Golongan ini membina rumah sendiri di atas tanah orang lain atas ihsan tuan tanah. Atau tanah telah dijual tapi pembeli masih membenarkan mereka kekal di situ. Sudah tentulah untuk sementara.

Hakikatnya, golongan 'ground tenat' ini seperti duduk di atas bom jangka. Bila2 masa boleh memusnahkan mereka. Ditambah pula, kerajaan negeri sekarang dilihat 'kurang bersimpati' pada orang Melayu. Mereka bertindak mengikut 'rules of  law'. Iaitu tuan2 tanah ada hak ke atas tanah mereka. Dengan potensi ekonomi yang besar dan sokongan kuat dari kerajaan negeri, sekaranglah masanya untuk memajukan tanah2 mereka. Bila 'land is State matters', tidak banyak yang boleh dibuat oleh kerajaan Persekutuan untuk membantu orang Melayu di situ.

Semoga kes ini menjadi iktibar kepada kita. Khususnya pemilik2 tanah. Janganlah mudah menjualnya. Buatlah perancangan rapi agar anak cucu tidak merana di kemudian hari.

September 14, 2010

Sayu Menyambut Hari Raya Bila Dua Ahli Keluarga Telah Tiada


Perjalanan awal pagi balik ke Kedah untuk beraya dikejutkan dengan panggilan telefon dari kakak di Melaka. Masa tu dah nak sampai Sungai Buloh. Dimaklumkan Pak Oteh meninggal kemalangan jalan raya di kampung. Dikatakan dia dilanggar kereta semasa menaiki motor untuk membeli daging. Rasanya baru berjumpa Pak Oteh masa kenduri nak menyambut Ramadhan di rumah mak. Barulah aku teringat, Pak Oteh nampak lebih banyak menyendiri dan tak banyak bercakap dalam majlis kenduri tu. Tak seperti biasa, Namun apa kan daya, tak dapat nak menziarah arwah Pak Oteh di Melaka. Hanya surah Al-Fatihah yang dapat dibaca untuknya.

Selang sehari iaitu di malam raya, satu lagi berita kematian diterima. Kali ni Mak Andak di Pulang Pinang pula telah pulang ke rahmatullah. Mak Andak dah lama sakit. Semasa hidupnya kalau berjumpa, mesti disapanya aku, 'Bila nak mai Penang ?'. 'InsyaAllah' jawab ku ringkas. Jawapan yang tak pasti bila dapat ke sana. Selalunya kami sekeluarga akan ke rumah Mak Andak di Sungai Nibong bila menyambut hari raya di Kedah. Kali ni lepas aje solat hari raya, kami berkonvoi ke rumah arwah Mak Andak. Sempatlah kami mengiringi jenazah Mak Andak  hingga ke masjid dan ke kubur.

September 13, 2010

Ketidakselesaan Seketika Yang Mengeratkan Ikatan Kekeluargaan


Beraya di kampung memang meriah. Semua adik beradik balik walaupun ayah dan ibu telah lama tiada. Dah jadi tradisi. Selepas solat sunat raya mesti menziarah pusara ayah bonda. Bawa bersama anak cucu yang kebanyakannya tak sempat bertemu datuk dan nenek mereka. Sekurang-kurangnya bacaan Al-Fatihah dapat disedekahkan.

Suasana riuh rendah menghidupkan rumah arwah ayah yang selama ni sunyi. Masing2 pakat berebut channel semasa bersembang. Diselangi gelak ketawa dan senda gurau antara ahli keluarga. Kadang2 sampai lewat malam. Rasa macam tak puas2. Ada saje topik yang dibualkan. Walhal, masing2 duduk kat KL dah biasa berjumpa. Anak cucu pun sibuk bemain-main dan berlari ke sana sini.

Bayangkanlah hampir 40 orang ahli keluarga balik ke kampung serentak. Rumah arwah ayah hanya ada tiga bilik tidur dan dua bilik air sahaja. Hampir setengah jam digunakan hanya untuk menyusun tempat tidur. Kadang2 pakat berebut tempat tidur. Kena Pak2 saudara yang berdengkur kuat . Tak lena lah semua dibuatnya. Macam2 lagu. Time nak mandi dan ke tandas pun sama. Kena beratur. Part nak makan pula kena pandai berebut. Siapa lambat dan malu2, dapat sisa lah jawabnya.

Semua keadaan tidak selesa ini dihadapi setiap tahun. Ia hanya seketika. Antara dua ke tiga hari saja. Yang penting adik beradik dapat berkumpul dan menyambut hari raya kat rumah arwah ayah. Anak2 pula dapat bermesra dengan sepupu2 mereka. Masa yang singkat ini digunakan semaksimum mungkin untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan. Terasa puas dalam hati bila suasana sebegini dapat dilalui setiap tahun.

September 7, 2010

Cabaran Memandu Balik Kampung Pasti Ada


Nampaknya musim balik kampung untuk berhari raya telah bermula. Sudah hampir sebulan kita menunggu saat ini. Ia adalah pengalaman yang perlu dilalui oleh warga kota untuk meraikan hari raya setiap tahun. Cabaran memandu tidak dinafikan amat besar. Walaupun dah ada lebuhraya. Kalaulah tak ada lebuhraya, tak tahu lah macamana agaknya.

Bak kata ustaz2, sebelum bertolak keluar dari rumah, buatlah beberapa ibadah sunat. Digalakkan buat solat sunat musafir dulu. Tujuan untuk keselamatan kita dan harta yang ditinggalkan sementara. Jangan lupa baca doa naik kenderaan. Kita baca dan ahli keluarga aminkan. Mintalah jiran2 sebelah yang tak balik kampung, tolong2 tengokkan rumah kita.

Banyak2 bersabar semasa memandu. Ikut had laju. Biasalah musim raya. Jumlah kenderaan berlipat ganda. Jangkamasa diambil sampai balik ke kampung mestilah lebih lama daripada biasa. Kalau rasa mengantuk, rehat dulu sebentar. Semuanya terletak ditangan kita semasa memandu. Berkat solat dan doa kita, insyaAllah dilindungiNya kita dari apa2 kesulitan di sepanjang perjalanan.

September 3, 2010

Moga Kita Lulus Dengan Cemerlang


Bulan tarbiyah atau latihan kita nampak tinggal beberapa hari lagi saje. Lima ke enam hari saja lagi InsyaAllah, kita sampai ke garisan penamat Ramadhan. Peringkat awal dan separuh akhir dah berlalu. Dikatakan sekarang ni kita tengah berada di peringkat finallah (10 hari terakhir). Bagi Allah s.w.t  lagi ramai yang berada di peringkat final, lagi dialu-alukanNya. Hadiah2 yang disediakanNya banyak dan lumayan belaka. Tak macam pertandingan buatan manusia. Hanya dua pemain atau dua pasukan saja yang layak berada di peringkat ini. Itulah tanda kebesaranNya.

Kata ustaz2, perasaan yakin nak dapat result cemerlang dalam ujian ni dah boleh mula dirasakan sikit2. Antaranya, semangat beribadah semakin kuat. Rasa ringan saja nak ke masjid. Tak rasa malas dan bermacam-macam halangan. Bangun bertahajjud pun rasa mudah. Pantang lapang, al-quran mesti  nak dibaca. Perasaan seronok dan kelazatan beribadah dapat dirasakan. Maklumkan, dikatakan beribu-ribu malaikat turut beribadah bersama kita. Meriahlah suasana.

Tambah ustaz lagi, banyakkanlah berdoa. Mohon Allah s.w.t menerima amalan puasa kita. Antara ayat2 al-quran yang digalakkan dibaca sebagai doa ialah : Surah Ibrahim (Ayat 37) dan Surah Al Aaraf (Ayat 43). Matlamat puasa kita ialah untuk menjadi insan yang  BERTAQWA. Itulah keputusan cemerlang yang dicita-citakan.

August 30, 2010

Buat 10 Amalan Pada 10 Terakhir Ramadhan


Malam ni InsyaAllah masuklah kita ke fasa ketiga puasa. Iaitu hari2 10 terakhir Ramadhan. Dikatakan ia waktu paling berkat. Macam2 ditawarkan. JannahNya, yang menjadi matlamat setiap insan di alam akhirat nanti. Malam Lailatulqadar lagi. Kalau tak rebut, tak taulah. Tahun depan tak pasti kita sempat jumpa lagi peluang sebegini.

Buatlah perancangan dan checklist untuk beramal pada hari2 terakhir ini. Antaranya :

1.   Kalau sebelum ni buat 8 rakaat Tarakwikh buatlah 20 rakaat pula;
2.   Pasti kita khatam Al-quran seminimumnya sekali;
3.   Kalau sebelum ni tak bersahur atau bersahur awal mulakan bersahur
      di penghujung malam;
4    Buat solat2 sunat malam (antaranya Tahajjud, Tasbih, Taubat &  Hajat) .
      Kalau tak di masjid, di rumah pun boleh;
5.   Banyakkan bersedekah seperti ke masjid.
      Bentuk sedekah tidak sepertinya duit saje;
6.   Jamulah orang2 berpuasa walau dengan sedikit juadah pun.
      Paling dekat jiran2 sebelah;
7.   Minimumkan buat dosa2 kecil melalui pancaindera.
      Sentiasa alert. Kalau boleh sifarkan.
8.   Sentiasa basahkan bibir dengan zikir.
9.   Banyakkan solat berjemaah; dan
10. Banyakkan berdoa.

Bak kata ustaz2 kalau tak boleh buat semua, jangan pulak tinggalkan semua. Tambah mereka lagi, 'Kamu buat, kamu dapat.'