August 8, 2010

Ancaman Di Bulan Ramadhan



Tak sangka sama sekali semasa semua umat Islam ternanti nanti kedatangan Ramadhan yang mulia ni ada pulak menantinya dengan tujuan yang lain. Kejadian samun awal pagi di Taman Desa Bestari dua hari lepas memeranjatkan kami penduduk taman perumahan ini. Taman ini nampaknya dah aman sejak lebihkurang dua bulan operasi mengawal bergilir gilir dijalankan oleh penduduk. Tiba2 kes samun berlaku. Masanya pulak dalam pukul 5.30 pagi. Waktunya selepas operasi mengawal yang selalunya tamat pada pukul 5.00 pagi.

Sesi perbincangan pun diadakan antara pihak polis IPD Sepang dan penduduk. Pihak polis memaklumkan berdasarkan MO, suspek kes samun ini ialah dari kaum Lombok dan Sunda. Walaupun dah ramai ditangkap dan ditembak mati, kes samun oleh mereka tetap berlaku. Nampaknya golongan ini sentiasa merekrut ahli2 baru untuk meneruskan jenayah mereka. Mereka menggunakan ilmu hitam dengan memukau mangsa. Bekas dan tanda amalan ilmu jahat ni akan ditinggalkan di sekitar atau dalam rumah yang disamun. Matlamat penyamun ni hanya duit dan barang berharga sahaja.

Tambah polis lagi, bulan Ramadhan ni merupakan masa yang paling banyak kes samun. Maklumlah nak menyambut Hari Raya. Kenalah cari duit lebih nak beraya sakan kat tanahair mereka. Rumah2 pun kerap kosong bila penghuninya ke masjid untuk beribadah. Atas nasihat polis, kami penduduk taman akan mengambil langkah keselamatan tambahan dan bersetuju untuk mengeluarkan sumbangan RM50 serumah setiap bulan. Anggota pasukan Rela akan diupah berkawal kawasan taman hingga pagi mulai bulan Ramadhan  hingga musim raya nanti. Penduduk juga akan bersama mengawal mengikut hari2 tertentu.

Di samping itu, usaha2 melalui keagamaan juga akan dilakukan. Ibadah solat hajat, doa2 pelindung dan pendinding rumah dan keluarga serta lain2 kaedah akan diusahakan. Moga2 Allah s.w.t. melindungi kami semua. Amin.

Pertandingan Bilal Muda


Salah satu program yang dapat mendekatkan golongan remaja ke masjid ialah dengan mengadakan pertandingan bilal muda. Remaja2 ni perlu diberi peluang menonjolkan bakat disamping beribadah. Sikap berlumba lumba di jiwa para remaja di atas platform yang betul mampu mendidik dan membentuk akhlak yang terpuji.

Seramai lebihkurang 20 remaja menyertai pertandingan bilal muda yang dianjurkan Masjid As Salam bersama pihak Kemas Parlimen Puchong. Program sehari ini dapat mencungkil bakat dan kebolehan remaja di bawah kariah masjid di dalam mengalunkan dan menghayati seruan azan. Perserta yang berjaya menjadi johan diberi peluang berkhidmat sebagai bilal sokongan secara sambilan di masjid. Peluang yang sama juga diberi kepada perserta2 yang mendapat tempat kedua dan ketiga.

August 6, 2010

Membudayakan Bertadarus Di Kalangan Remaja


Anak2 remaja kita ni buka tak tau baca al-quran. Kat sekolah memang terdapat syllabus belajar mengaji. Apatah lagi yang menghadiri sekolah agama sebelah pagi atau petang. Selain itu, ramai ustaz dan ustazah ada menyediakan kelas di rumah2 atau surau2. Tidak ada alasan kalau remaja sekarang tak tau baca al-quran. Pokoknya, ibu bapa kena main peranan dalam mengatur aktiviti harian anak2. Bila kita leka, anak2 lagi lah seronok. Benda2 lain yang akan mereka sibukkan.

Bila ramadhan menjelma, program bertadarus al-quran perlu diaktifkan. Semua lapisan umur perlu terlibat. Kalau ibu bapa tak menyertainya, macamana anak2 nak buat. Lepas solat tarawikh dok pakat tergesa gesa balik rumah tu nak buat apa ? Selalunya solat tarawikh habis dalam pukul 10.00 ke 10.30 malam. Yang buat lapan rakaat lagi awallah. Konsep beribadah malam hari dalam bulan ramadhan tu termasuklah solat tarawikh dan bertadarus al-quran selepasnya. Lebihkurang pukul 11.30 ke 12.00 malam habislah program ni.

Ibu bapa kena jadi 'role model'. Kalau tak dapat buat kat masjid atau surau, kat rumah bersama anak2 pun boleh. Bermulalah dengan setengah juzuk satu malam. Pada 10 malam terakhir, pakat pulun lah. Ada rezeki dapat bertemu malam Lailatulqadar. 

Selain itu, kerjasama masjid, ibu bapa dan sekolah amat penting untuk menganjurkan aktiviti tadarus secara teratur. Hanya sekolah sahaja tempat remaja berkumpul. Arahan dari pihak sekolah dan ibu bapa  mudah dipatuhi remaja, berbanding seruan atau jemputan dari masjid. Bak kata Ustaz Uthman El-Muhammady, 'Masjid, sekolah dan keluarga merupakan tiga institusi strategik yang berperanan membentuk akhlak remaja Islam. Kerjasama antara ketiga tiga pihak untuk menjayakan program2 remaja Islam amat penting.'  

August 5, 2010

Cabaran Memajukan 'Sg. Linggi River Cruise'


Pelawaan untuk menyertai trip menyusur Sungai Linggi diterima dengan rasa sedikit berdebar.  Mana kan tidak, bangkai buaya tembaga yang besar tersadai ditemui di pantai Port Dickson sehari sebelum trip ini. Memandangkan ia salah satu tanggungjawab sebagai perunding, rasa gemuruh dan takut ini dilupakan. Pakat berdoa dan berserahlah kepada Allah s.w.t untuk keselamatan.

Trip ini diuruskan oleh MPPD dan Jabatan Landskap Negara.  Enam buah boat disediakan. Seramai lebihkurang 40 perserta menyertainya terdiri daripada pegawai2 jabatan teknikal dan kumpulan perunding. Bermula pada pukul 5.40 petang dari Jeti Shahbandar di Lubok Cina menyusuri Sg. Rembau dan terus ke Sg. Linggi. Trip pergi balik mengambil masa lebihkurang tiga jam. Pukul 9.00 malam baru sampai balik.

Beberapa cabaran dan isu dikenalpasti yang perlu ditangani sebelum pakej dan produk pelancongan ini boleh menjadi salah-satu daya tarikan baru bagi Daerah Port Dickson. Antaranya :

i.  Air Pasang Surut

Pakej ini banyak bergantung kepada keadaan air pasang surut. Selalunya air pasang berlaku pada waktu pagi atau petang. Keadaan akan cepat menjadi gelap apabila  trip bemula pada lewat petang. Suasana  gelap gelita menyusuri sungai agak menakutkan. Cuaca akan menjadi panas kalau bermula waktu pagi pula.

ii. Kekurangan Daya Tarikan

Para pelancong akan dapat menikmati alam semulajadi persisiran sungai. Pokok bakau, nipah dan berembang merupakan spesis utama. Sesekali nampak juga burung bangau dan kera. Kadang2 bertembung dengan para nelayan sedang menangkap ikan dan udang. Berhenti di Taman Chandra Lokan tidak banyak yang dapat dilihat. Pak cik yang menguruskannya nampak tidak berapa 'bersedia' untuk menyambut pelancong. Bila waktu gelap pun, klip2 teramat kurang di pokok2 berembang.

iii.  Keadaan Fizikal Boat

Kes boat kehabisan minyak di tengah2 trip menyusur sungai memberi 'bad impression'. Rasa takut dan bengang di kalangan perserta mula timbul  Apatah lagi dalam keadaan gelap malam.

iv.  Tiada 'Tourist Guide'

Menyusur sungai tanpa 'si pencerita' agak membosankan. Perserta hanya di bawa oleh juru mudi boat yang tidak terlatih dan kurang berpengetahuan dalam hak ehwal Sungai Linggi. Tiada maklumat baru yang diperolehi perserta.


v.  Bantahan Nelayan

Difahamkan pakej menyusuri Sungai Linggi ini mendapat bantahan dari nelayan yang menangkap ikan dan udang. Kekerapan boat berulang alik membawa pelancong dikatakan menganggu aktiviti mereka. Hasil tangkapan didakwa berkurangan.

August 4, 2010

Corak Pembangunan 'Linear' Membantu Peniaga Melayu


Corak kawasan perniagaan berbentuk 'linear' yang membangun secara organik banyak tumbuh di kawasan2  separa bandar dan luar bandar. Barisan kedai2 yang tumbuh di sepanjang jalan utama disebabkan oleh dua faktor utama. Pertama ialah setiap aktiviti perniagaan memerlukan promosi yang maksimum. Dengan membina kedai menghadap jalan utama akan memberi peluang perniagaan itu dilihat oleh pelanggan dengan jelas. Aktiviti perniagaan ini banyak bergantung kepada lalulintas yang berulang alik. Faktor kedua ialah meminimumkan kos operasi. Peniaga2 lebih suka membina kedai di atas tanah sendiri berbanding membeli kedai yang siap dibina. Kedai2 yang dibina pemaju selalunya di luar kemampuan mereka.

Meninjau beberapa kawasan majoriti Melayu di pantai timur seperti Wilayah Felda Jengka di Maran, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Dungun dan beberapa kawasan lagi jelas menggambarkan keadaan sedemikian. Kawasan2 perniagaan ini mampu tumbuh dengan 'vibrant'. Nilai estetik dan fizikal premis perniagaan bukan keutamaan tidak seperti kawasan perniagaan baru dan moden. Jenis dan kualiti premis perniagaan bergantung kepada kemampuan peniaga. Isu tidak keseragaman bangunan dan kurang menarik tidak timbul. Yang penting peniaga2 Melayu ini dapat beroperasi dan mengeksploit potensi pasaran yang ada di sekeliling mereka.

Ada sesetengah PBT mengambil sikap 'mengalah'. Langkah untuk mengawal pertumbuhan kedai2 di sepanjang jalan utama ini nampak seperti misi mustahil. Para perancang bandar 'diarah' mengezonkan tanah2 di sepanjang jalan utama sebagai kawasan perniagaan. Kadang2 sepanjang 2-3 kilometer dari pusat bandar. Walaupun corak pembangunan 'linear' tidak digemari oleh para perancang bandar. Namun ego ini terpaksa diketepikan apabila menyedari aspek realitinya dan keperluan untuk membantu peniaga2 kecil terutama orang Melayu. Kawasan perniagaan 'linear' ini menjadi asas dan tapak permulaan bagi peniaga2 Melayu untuk memulakan bisnes. Pengalaman berniaga itu penting dan perlu dimulakan di lokasi yang betul dengan kos yang minimum.

August 3, 2010

Berselawat Keliling Taman


Sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid As Salam disambut meriah. Majlis ini dianjurkan buat pertama kali sempena pembukaan masjid secara rasmi pada tahun 2007. Sambutan amat menggalakkan. Hampir semua surau di bawah kariah masjid menyertainya. Murid2 sekolah dan tadika juga tidak ketinggalan. Persatuan dan NGO yang aktif turut mengambil bahagian.

Selawat ke atas junjungan Nabi s.a.w. oleh  barisan2 perarakan bergema dengan mengelilingi taman2 perumahan sekitar kariah masjid sejauh lebihkurang 4 kilometer. Walaupun hujan turun pada pagi itu, ia tidak mematahkan semangat para perserta perarakan. Kawalan keselamatan oleh pihak Polis Trafik melancarkan pergerakan para perserta tanpa diganggui oleh lalulintas.

Di ruang legar masjid, pelbagai acara susulan diadakan. Ini termasuklah : ceramah perdana; nyasid dan bercerita   kisah2 Rasulullah. Tetamu jemputan istimewa ialah Ustaz Nazri dari kumpulan Raihan yang menyanyikan beberapa buah lagu. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk pertandingan pasukan perarakan. Untuk majlis perarakan Maulidur Rasul yang pertama ini, Persatuan Nurul Aula Puchong Perdana dinobatkan sebagai pasukan terbaik.

August 2, 2010

Cabaran Bertadarus Al-Quran Dengan Ustaz Isa


Sebelum ni, bila bulan puasa  bertadarus al-quran hanya kat surau dengan Pak Imam dan rakan2 jemaah. Dapatlah buat untuk dua tahun berturut-turut. Campur dengan jemaah buruh Indonesia yang tinggal berdekatan surau, adalah lapan orang menyertainya. Bolehlah bagi dua kumpulan.

Bila masjid siap, lepas solat tarawikh pakat cubalah bertadarus di masjid pulak. Tak ramai yang turut serta. Lebihkurang 12 orang aje. Imam 2 masjid iaitu Ustaz Hj. Md Isa memimpin tadarus. Menggeletar lah masing2 menunggu giliran membaca. Maklumlah Ustaz Isa ni bekas johan qari Wilayah Persekutuan. Beliau juga mengajar tajwid dan taranum kat masjid. Jenu jugak hak habiskan satu muka surat. Ada aje kesilapan yang ditegur ustaz. Kumpulan Ustaz Isa yang paling lambat habis. Lepas tu, ada jemmah yang tak berani lagi masuk kumpulan Ustaz Isa. Dengan kumpulan lain, lebih mudah dan boleh balik awal sikit.

Malangnya, Ustaz Isa jatuh sakit kena strok  Tak dapatlah beliau memimpin majlis tadarus lagi. Pengalaman bertadarus dengannya memang amat mencabar. Baru lah kita tahu setakat mana kemampuan membaca al-quran. Selama ni bertadarus dengan ustaz lain mudah. Kita pun perasaan dah mahirlah. Ustaz Isa memang tegas bila mengajar. Dia akan ulang bacaan beberapa kali supaya jemaah yang bertadarus sedar kesilapan mereka. Moga Ustaz Isa sembuh semula. Dalam kepayahan bertadarus dengannya, ada banyak hikmah dan pengajaran yang kita boleh perolehi.