March 17, 2013

'Where Are All The Commandos ?'


Post kali ni bukan nak cerita pasal pasukan elite dalam askar tu. Cuma pinjam termnya saja. Gimiklah sikit. Bila membaca berita2 peristiwa di Sabah sekarang ni, teringat pulak al-kisah masa bekerja dengan syarikat orang dulu. Bos syarikat tu suka menggunakan ungkapan komando pada staff2nya. Bila nak meeting beliau akan sebut. "Where are all the commandos ?' pada secretary dia. 

Yang dimaksudkannya ialah in house staffs tertentu yang dikerah dan diperah keringatnya untuk menjalankan beberapa projek yang berjalan sekali gus. Masa tu rezeki syarikat ni teramatlah murah. Tawaran projek silih berganti. Tak putus2. Banyak yang overlap. Yang pasti. Boslah kenyang. Staffs dapatlah kuah dan sedikit isinya.

Golongan komando kat syarikat ni tak ramai. Ialah sesuai dengan gelarannya. Dalam 4 ke 5 orang saja.  Daripada 20 ke 30 orang staff semuanya. Mereka amat penting pada syarikat. Kira macam nadi. Setiap seorang, kerja dan tanggungjawab keliling pinggang. Lepas satu meeting ke satu meeting. Belum start nak buat projek yang baru meeting tadi, dah kena panggil meeting projek lain. Datelines berderet-deret. Kerja bertimbun. Kadang2 terduduk dan termenung. Pening. Tak tau mana satu nak start dulu.

Keadaan ni juga agak sama bagi sesebuah organisasi dalam masyarakat. Sedikit pengalaman menyertai beberapa jawatankuasa secara sukarela menggambarkan suasananya serupa. Betapa perlunya ada 'komando'. Iaitu segelintir yang benar2 bersungguh-sungguh menggerakkan organisasi itu. Tanpa 2 ke 3 orang ni. Pasti organisasi tu tak akan bergerak lancar. 

Melihatnya secara positif. Ia memberi banyak pengalaman dan pengajaran yang tidak ternilai kepada komando2 ini. Cabaran dan dugaan dihadapi sepanjang menjalankan tugas tak sama dirasai oleh orang lain. Yang penting ikhlas. InsyaAllah, Dia akan membalasnya dengan pulangan setimpal. Wallahualam.


March 10, 2013

Gelar Mengelar Gurauan Orang Kampung


Masa kecil2 dulu di kampung salah-satu perkara dominan yang aku masih ingat ialah gelaran2 yang diberi kepada seseorang. Tak pastllah apa tujuan sebenarnya. Mungkin sebagai gurauan. Atau untuk mudah mengenalinya bila disebut. 

Gelaran2 tu selalunya banyak berkait rapat dengan karekter fizikal atau kelakuan individu itu. Contohnya, Embok Elat. Dia memang pelat bila bercakap. Aim Gagap. Agak jelaslah sebab dia digelar sebegitu. Ali Kerbau. Orangnya hitam berbadan besar. Harun Pekak. Bagai nak putus urat tekak kalau panggil dia. Kadang2 terlalu banyak nama yang sama terpaksa mereka membezakan untuk memudahkan. Agaknya. Seperti Mat Lorat, Mat Gajah, Mat Bengot, Mat Komando, Mat Cacing, Mat Jepun, Mat Dayong dan sebagainya. Arwah Abah pun tak terkecuali. Orang kampung panggil dia Hashim Panjang atau Hashim Telekom. Sebab dia agak tinggi dan berkerja di Jabatan Telekom Malaysia masa tu.

Peniaga2 Cina di kampung pun turut menjadi 'mangsa'. Yang paling lucu, Kek Taik. Sebab kedai dia guna tandas angkut. Bila dah penuh, kerap orang2 kampung terserempak dengan aktiviti angkut mengangkut benda tu. Sudah tentu jijik dan meloyakan. Seorang lagi Kek Loyang. Yang ni, aku tak pasti mana dia dapat gelaran tu. Mungkin jenis barangan yang dijual kot.

Gelaran2 ni dibawa hingga ke mati pemiliknya. Masa hidup mereka, tak pernah pulak aku dengar kes2 pergaduhan atau pertengkaran disebabkan isu gelar mengelar ni. Cuma kami yang kecil2 ni tak pulak berani memanggil mereka dengan gelaran2 tersebut bila bertemu. Faham sangat batasannya. Silap2 haribulan, takut naik penampar di muka nanti. Kat belakang bolehlah sebut. Tupun kalau terpaksa. Cuma nak memaklumkan hal2 berkaitan si pemilik gelaran. 

March 9, 2013

Seluruh Anggota Seolah Berzikir


Bila tak ada apa nak dibuat hari2 cuti begini, tiba2 teringatkan tanah suci Mekah. Masa tu buat ibadah haji tahun 2000 dulu. Pergi seorang diri je masa tu. Isteri tak dapat ikut. Anak2 kecil lagi. Ada yang masih bersekolah. Berpisahlah kami hampir 40 hari. 

Ada beberapa kenangan telah ku ceritakan mengenai tanah suci sebelum ini. Tapi yang ni, baru teringat nak share. Tujuannya bukanlah nak berbangga atau riak. Cuma nak tunjukkan betapa besarnya kuasa Allah swt. Segala puji bagi Nya jua. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Kisahnya semasa habis buat rukun  ibadah haji. Bila balik ke Masjidilharam dari Mina terus buat tawaf, saie dan akhirnya bertahlul dengan mengunting sedikit rambut. Bersyukur dan  leganya rasa hati. Bila rukun ibadah haji dapat disempurnakan tanpa apa2 masalah. 

Duduklah sebentar dalam masjid. Berehat sambil beriktikaf. Sementara menunggu masuk waktu Zohor. Tiba2 badan rasa lain macam. Seolah-olah seluruh anggota bergeggar. Berhenjut-henjut rasa badan. Ku letakkan hujung jari tangan kanan ke lantai. Kelima-lima jari ku ni turut bergerak-gerak. Atau berhenjut. Seolah-olah berhenjut-henjut  ke arah Kaabah. Macam tengah berzikir lagaknya. Semuanya di luar kawalan ku. 'Hairan bin ajaib' bisik ku dalam hati. 'Subahanallah'. Hanya itu dapat diucapkan. Lama juga berkeadaan begitu. Lebihkurang 5-10 minit. 

Bila sampai ke maktab penginapan. Ceritakan juga pada kawan2 sebilik. Ada yang tersenyum saja mendengarnya. Ada juga beranggapan, 'Badan kau letih kot lepas buat tawaf dan saie. Tu yang bergetar seluruh badan.' Mungkin betul juga andaian mereka. Walaubagaimana pun hati kecil ku tetap bersyukur.dapat mengalami peristiwa yang 'istimewa' ini. Wallahualam.

February 13, 2013

'Perlukah Kami Dengar Doa Kamu ?


Balik cuti CNY kali ni anak ku bawa cerita lain macam bunyinya. Perjalanan dari Kolej ke rumah selalunya makan masa hampir 2 jam. Banyaklah juga topik dibualkan kami berdua. Lebih kepada pembelajaran dan aktiviti dia. Cuma nak tau perkembangannya saja. Setakat ni, Alhamdulillah semuanya okey dan memuaskan hati.

'Pengetua kami tiba2 buat hal pulak' luah anak ku. 'Bubuh notis nak dibatalkan upacara doa yang dibuat setiap kali assembly.' Tercengah-cengahlah pelajar2 dibuatnya. Terutama pelajar Melayu. Katanya atas desakan kakitangan dan pelajar bukan Islam. Dakwa mereka lagi ada geng Melayu yang tak kisah. Doa tu tak ada kaitan dan manafaat.terutama kepada guru, kakitangan dan pelajar kolej yang bukan Islam. Komposisi sekarang 50 : 50 antara pelajar Melayu dan bukan Melayu. Sinis jer mereka berhujah, 'Perlukah kami mendengar doa kamu setiap kali assembly ?'.

'Cukupkah dengan mengatakan ia telah lama jadi tradisi kolej ?' Sudah tentu hujah ni nampak tak kukuh untuk pertahankan upacara doa itu. Apatah lagi mereka hanya golongan pelajar. Masih muda. Walaubagaimana pun, mereka beranikan diri. Bantahan tetap dibuat. Nasib baik mereka smart. Adukan juga pada Chairman. Dia orang Melayu. Dengan hanya surat ringkas satu muka surat kepada Pengetua, Esok tu keluar notis baru dari Pengetua. Upacara Doa diteruskan seperti biasa.
 .
Bagi aku sebagai ibubapa, banyak pengajaran yang boleh diperolehi dari kes kecil dan terpencil ini. Ia memberi gambaran simbolik betapa cabaran dan dugaan bakal dihadapi khususnya orang Melayu dan agama yang mereka anuti. Sekarang ni segalanya nampak boleh dicabar. Ia berlaku sedikit demi sedikit. Senatio masa depan nampak bukan mudah bagi anak2 kita.  Wallahualam.

February 10, 2013

Teringat Beli Motor Dia


Lama dah aku tak jumpa dan mengikuti perkembangan insan ni. Hampir 30 tahun. Tau2 jadi Presiden dah dia. Bergelar Datuk lagi. Alhamdulillah, persatuan semakin berkembang dan maju di bawah pimpinannya. 

Masih ingat lagi ketegasan dan kehebatannya melatih kami. Masa tu aku dok rumah bujang di Kampung Baru KL. Dah satu rumah ahli persatuan. Aku pun terikut samalah. Lagi pun malam2 banyak masa free. Pakat join jadi ahli dan berlatih dua minggu sekali. Badan pun sihat dan ramai kawan baru.

Salah seorang jurulatihnya insan ini. Masa tu dia muda lagi. Belum dapat Datuklah. Dia memang jurulatih favourite aku. Walaupun tegas, keras dan tangkas. Rasa puas dan yakin bila dapat berlatih di bawah seliaan beliau. Masih terasa kehebatan tumbukan dan ketangkasannya.

Yang aku paling tak dapat lupa bila dia umumkan pada pelatih nak jual motor Honda cup sebelum kelas bermula. Kebetulan masa tu, aku tengah cari motor untuk pergi kerja. Terpaksa tumpang motor kawan jer selama ni. Lepas kelas aku jumpa dia. Nyatakan hasrat nak beli motor. Kami pun tawar menawarlah. Akhirnya persetujuan dicapai bersama. Nampak seronok sungguh dia. 'Horei !!! motor aku dah laku !!!' bersorak dia pada kawan2 jurulatih yang lain. Kami semua tersenyum. Bila aku dah pakai motor tu setiap kali ke kelas, ada jurulatih lain menyapa. 'Kamu adik Maideen ke ?'. Rupa dan colour kulit kami pun nak akan sama. Tu yang depa terconfuse tu.

Lama juga aku pakai motor tu. Gunakan masa sambung belajar semula. Sampai sempat bawa balik kampung dari KL ke Melaka. Panas punggung dibuatnya. Tak sangka harta kecil ini pernah dimiliki oleh insan hebat persatuan kami. Syukur dan Alhamdulillah.

February 9, 2013

Rumah Sendiri


Nenek masa muda boleh dikatakan berkarierlah juga orangnya. Walaupun sebagai anak kampung yang tidak menerima kemudahan pendidikan yang sempurna. Masa kuat Nenek pernah kerja jadi servant dengan Mr. John Betty. Mat Salleh yang menginap di sebuah rumah agam di tepi pantai dekat kampung. Semasa kerja dengannya Nenek diberi kuarters. Lama dia kerja kat situ. Sampailah Mat Salleh tu pencen dan balik ke England. 

Lepas tak kerja, nenek tak tau duduk diam. Ambil upah jadi tukang menjemput orang untuk majlis2 kenduri kawin. Bila ada orang kampung nak buat kerja kawin, mereka suruh nenek jemputkan. Habis satu kampung dia round. Maklumlah Nenek tinggal seorang. Lama dah Atok meninggal dunia. Aku pun tak sempat jumpa Atok. Abah satu2nya anak dia. Anaknya pun taklah kerja besar. Terpaksalah dia bina rumah tapi di atas tanah orang. Istilah teknikalnya 'Ground tenant' lah. Lama juga Nenek menumpang tanah orang ni.

Walaupun dah berusia lebih 100 tahun, mungkin keinginannya memiliki rumah sendiri tidak pernah pudar. Anaknya sendiri pun dah lama tiada. Sikit demi sikit dia menyimpan. Kebetulan ada orang kampung nak jual tanah. Dia suruh abang ku uruskan. Lepas tu carikan tukang buat rumah. Tak sampai dua bulan siap. Walaupun kecil dan kosnya tak seberapa. Rumah comel satu bilik lengkap dengan bekalan letrik dan air tu  sesuai untuk Nenek seorang. Yang penting sebelum dia 'menutup mata', impiannya dah tercapai. Pak Imam yang memimpin majlis doa selamat pun rasa kagum dengan Nenek. 'Sempat juga Nenek kau merasa rumah sendiri.' bisik Pak Imam pada kami sekeluarga.