February 9, 2013

Rumah Sendiri


Nenek masa muda boleh dikatakan berkarierlah juga orangnya. Walaupun sebagai anak kampung yang tidak menerima kemudahan pendidikan yang sempurna. Masa kuat Nenek pernah kerja jadi servant dengan Mr. John Betty. Mat Salleh yang menginap di sebuah rumah agam di tepi pantai dekat kampung. Semasa kerja dengannya Nenek diberi kuarters. Lama dia kerja kat situ. Sampailah Mat Salleh tu pencen dan balik ke England. 

Lepas tak kerja, nenek tak tau duduk diam. Ambil upah jadi tukang menjemput orang untuk majlis2 kenduri kawin. Bila ada orang kampung nak buat kerja kawin, mereka suruh nenek jemputkan. Habis satu kampung dia round. Maklumlah Nenek tinggal seorang. Lama dah Atok meninggal dunia. Aku pun tak sempat jumpa Atok. Abah satu2nya anak dia. Anaknya pun taklah kerja besar. Terpaksalah dia bina rumah tapi di atas tanah orang. Istilah teknikalnya 'Ground tenant' lah. Lama juga Nenek menumpang tanah orang ni.

Walaupun dah berusia lebih 100 tahun, mungkin keinginannya memiliki rumah sendiri tidak pernah pudar. Anaknya sendiri pun dah lama tiada. Sikit demi sikit dia menyimpan. Kebetulan ada orang kampung nak jual tanah. Dia suruh abang ku uruskan. Lepas tu carikan tukang buat rumah. Tak sampai dua bulan siap. Walaupun kecil dan kosnya tak seberapa. Rumah comel satu bilik lengkap dengan bekalan letrik dan air tu  sesuai untuk Nenek seorang. Yang penting sebelum dia 'menutup mata', impiannya dah tercapai. Pak Imam yang memimpin majlis doa selamat pun rasa kagum dengan Nenek. 'Sempat juga Nenek kau merasa rumah sendiri.' bisik Pak Imam pada kami sekeluarga. 



No comments: