December 11, 2014

2,500 km, 5 Hotel & Menunggu Salji di Turkey


Kawan yang pernah pergi ikut pakej ni dah warning. Trip macam ni agak memenatkan. Dok dalam bas lama dan asyik keluar masuk hotel. Tak kisah lah janji pergi Turkey. Trip paling jauh kali ni. Offer di Matta Fair tu agak menarik dan murah. Pergi dengan group seramai 29 orang. Ada 5 orang berpangkat Dato' bersama isteri masing-masing. Semua dah pencen.

Flight dari KL ke Istanbul lebih 11 jam. Nasib baik crew MAS tu jiran setaman. Dapatlah layanan special sikit. Sampai di airport Istanbul, Mr. Atilla dari Renk United Travel dah sedia menunggu. Kami terus naik bas menuju ke Bursa. Lebih kurang 3 jam perjalanan. Termasuk naik feri. Tempat2 lawatan di Bursa termasuklah Ulu Camii (Grand Mosque), Green Mosque dan makam. Sempat solat di masjid ni. Lepas makan round2 Silk Market. Barang2 perhiasan dan cenderhatinya agak menarik. Tapi harganya sikit mahallah. Ada antara ahli group merungut, 'Tak ada apa yang menarik di Bursa ni. Tak singgah pun tak apa.' Check in 1 malam di Bursa.

Pagi2 dah check out dan angkut beg. Menuju ke Pamukkale. Perjalanan makan masa lebih 7 jam. Kelibat Cotton Castle atau Pamukkale dari jauh jelas kelihatan di celah2 bukit. Putih bersih. Sungguh menakjubkan. Seronok dan lama kami menghabiskan masa di sini. Lepas tu terus ke hotel check in 1 malam.

Destinasi seterusnya ialah Capadocia, Dimaklumkan perjalanan akan mengambil masa lebih 10 jam. Tapi bila ambilkira makan, solat dan toilet, hampir 12 jam sebenarnya. Pertengahan jalan singgah dulu Konya. Melawat Mevlana Mesuem dan Sultanhani Caravanserai.

Sebelum sampai di hotel, Mr. Atilla maklumkan mungkin salji akan turun esok. Semua dah mula excited. Dari bilik hotel asyik menyelak langsir saja. Lepas subuh bila cuaca mula terang, barulah nampak keputihan salji di atas tanah, ranting dan daun2 pokok. Seronoknya kami semua. Dapat menyambut, melihat dan merasai salji di hari pertama winter di bumi Turkey untuk tahun ini. Dalam bas kami disarankan oleh Mr. Atilla membaca surah Al Fatihah tanda kesyukuran.


Capadocia terkenal dengan bentuk landskap mukabumi yang unik dan hot ballon. Melawat Underground City dan melihat kediaman2 yang dibina di dalam gua dan batu sungguh menarik. Malangnya, cuaca tak mengizikan kami mengikuti pengembaraan dengan hot ballon. Tak ada rezeki.

Setelah 2 malam di Capadocia, perjalanan diteruskan ke Bolu. Singgah di Ankara untuk melawat Tugu dan Muzium Kamal Ataturk. Sayangnya banyak foto kenangan di sini terdelete. Tinggal yang 1 ni jer.


Sempat juga berhenti di Highway Outlet. Window shopping kononnya. Satu jam setengah jer diberi. Ada pulak SALE !. Kedai beg tangan dan kasut kulit. Beli 1 dapat 1 lagi. Bukan mainlah semua. Leka di kedai ni. Rasa macam tak cukup masa yang diberi. Check in 1 malam di kawasan tanah tinggi Bolu.


Seperti biasa, pagi2 lagi dah angkut beg untuk ke Istanbul. Destinasi terakhir pakej pelancongan ni. Bolehlah dianggap kemuncak lawatan. Check in untuk 2 malam di sini. Banyak tempat menarik boleh dilawati di Istanbul. Yang sempat kami pergi termasuklah : Blue Mosque, Hagia Sofia, Makam Ayub Ansari, Topkapi Palace, Grand Bazar, Spice Market, River Cruise (Golden Horn) dan Kuzu Leather Store.




Bila difikirkan semula, ada hikmah sebaliknya bila Poto Travel tangguhkan tarikh lawatan kami. Dari 3hb November kepada 19hb November. Disebabkan tak cukup korum. Kalau pergi awal hari tu, taklah merasa salji. Itu semua kuasa Allah swt. Alhamdulillah.

November 1, 2014

Iktibar Membawa Anak Kecil Ke Surau


Kalau sebelum ni post mengenai anak-anak kecil ke surau lebih kepada menceritakan kesan2 negatifnya. Bising dan merimaskan. Tak khusyuk solat dibuatnya. Ke hulu ke hilir berjalan depan saf. Jemaah merungut kat Pengerusi dan Jawatankuasa. Puas buat announcement. Nasihat dan mohon ibu bapa kawal sikit anak2 ni. Bila masing2 tengah solat mana nak kawal. Kalau bagitau tak payah bawa, kecil hati pula. Serba salah. Mereka ada justifikasi masing2 membawa anak2 ke surau.

Tapi kes kecil ni membuka mata ku. Al kisah, anak kecil ni lebihkurang 3 tahun umurnya. Dia boleh dianggap antara paling buas dan nakal di surau. Ayah seorang Ustaz. Antara jemaah regular. Kerap jadi imam. Kenakalan anak kecil ni memang jadi bualan ahli kariah. Mesti bawa pedang plastik dia bila ke surau. Bila ayah solat sunat, ditunggangnya. Posisi ayah rukuk dan sujud cukup digemari. Kadang2 nak tergelak juga. Tapi ayahnya cukup cool. Bila ayah jadi imam habis diraba dan pegang microphone. Bila ayah bagi tazkirah, dipanjatnya kerusi dan meja. Duduk bersama ayah. Jemaah surau sampai dah jadi terbiasa dengan tingkah laku anak ini. Malas dah nak complain. Keadaan ni berterusan lebih 10 bulan sejak surau dibuka Januari lalu.

Lama juga aku 'cuti' tak ke surau. MC lepas bedah mata. Lebihkurang sebulan. Agak memeranjatkan bila aku ke surau semula. Wajah anak ini nampak ceria bila melihat ku. Macam reaksi orang dah lama tak jumpa. Tak sangka, disapanya aku. 'Pak Cik dah datang.' 'Pak Cik mana spek ?' tanyanya. Saja tak pakai spek masa tu bila mata rasa dah okey. 'Tertinggal (terpaksa buat bohong sunat).' jawabku spontan. 'Tertinggal kat mana ?' tanyanya lagi. 'Tertinggal kat rumah, Mai salam Pak Cik.' Dia sambut salam ku, senyum dah terus berlari ke ayahnya dan bagitau tentang jawapan ku. Tak sempat nak peluk dan cium budak ni. Comel sungguh dan tersentuh hati ku dibuatnya.

Anak kecil ni dah tak nakal lagi. Dah tak berlari-lari depan saf. Tak kacau ayah bila jadi imam. Hanya duduk dan bermain di bahagian belakang ruang solat. Dari kisah kecil ini dia macam dah kenal semua jemaah yang datang ke surau. Dah tau nak menyesuaikan diri. Tak ada lagi 'gangguan' darinya. Maklumlah dah hampir 10 bulan ke surau bersama ayahnya. 

Patutlah Nabi s.a.w. tak larang anak2 kecil ke surau atau masjid. Teringat kisah masyhur tentang cucu Baginda  Hassan dan Husin bermain semasa baginda bersolat.

October 22, 2014

Pembedahan Katarak dan Lasek



'Kau ni asyik tukar spek jer !' tiba2 ada kawan yang menegur ku bila berkacamata baru. Baru perasan. Tak sampai setahun power spec naik lagi. Kali terakhir check power dah sampai 1400. Sampai budak kedai spec pun tak tau nak rekemen lens apa lagi. Dah maksimum power mata ni. Lens makin lama makin tebal. 'Baik check doktorlah encik.' nasihat dia.

Tahun 1991 pernah bedah mata kiri. Sebab ada katarak. Yang tu jelas, Bermula dengan titik putih boleh dikesan dibiji mata. Cahaya pecah bila dilihat waktu malam. Makin lama titik putih tu membesar. Hampir menutup mata hitam. Pergi check Hospital Mata Hussein Onn, terus buat operation. Masa tu bedah style lama. Pakai blade. Teringat lagi dicucuknya 2 kali untuk bius ke biji mata. Agak mengeri dan menyakitkan. Lama juga nak baik lepas operation.

Lepas lebih 20 tahun masalah sama menimpa. Dah tak boleh memandu waktu malam. Nak turun tangga pun terpaksa pelahan-lahan. Masalah untuk membezakan level. Tapi kali ni kesan katarak tidak jelas. Tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Googlelah hospital dan klinik2 pakar sekitar Lembah Klang. Akhirnya pilih Optimax Eye Specialist kat Shah Alam. Bila doktor check dan tunjukan kat skrin jelaslah ada katarak pada mata kanan pula. Kena bedahlah. Tiada pilihan. Kalau pakai spek beribu power pun tak akan clear pandangannya.

Pembedahan cara baru pakai laser. Cepat dan tak menyakitkan. Lebihkurang 30 minit selesai. Doktor masukkan lens mata yang zero power. InsyaAllah tak perlu pakai spek lagi. Cuma dalam masa 2 minggu ni solat tak boleh rukuk dan sujud seperti biasa. Tidur pun kena pakai penutup mata.

Masalah ku belum selesai lagi. Bila mata kanan dah zero power, mata kiri yang pernah operate dulu powernya dah hampir 1000. Tak balance lah pulak. Doktor nasihatkan buat pembedahan Lasek. Bukan Lasik tau. Berbeza. Lasek ni teknik pembedahan laser untuk 'reshaping' selaput cornea supaya lebih nipis dan memudahkan cahaya terus ke cornea. Itu kata doktor secara mudahlah. Dia bagi pulak power lebihkurang 200 untuk tujuan membaca dan pandangan dekat.

Pembedahan Lasek mudah. Cuma 15 minit. Tak sakit lansung. Tapi seksanya lepas bedah. Mata mudah jadi kering. Bila kering sakitlah. Seperti ada benda dalam mata, Nak buka mata pun tak boleh. Terutama masa bangun tidur waktu pagi. Kelam kabut makan pil pain killer yang doktor bagi. Cepat2 bubuh ubat mata. Agak menyeksakan juga untuk beberapa hari. Appointment susulan lebih kerap untuk check up selepas pembedahan Lasek berbanding katarak.

Dah hampir 2 bulan selepas kedua-dua pembedahan ni, pandangan ku masih belum betul2 memuaskan. Akhirnya terpaksa bergantung pada spek juga, Tapi power untuk mata kanan hanya 75 sahaja. Baru betul2 clear dan sharp apa yang dilihat. Bila nak baca kena buka spek. Sebab mata kiri dah ada power untuk membaca selepas pembedahan Lasek. Doktor kata pembedahan Lasek ni memakan masa lebih lama untuk pulih. Ada yang sampai lebih 3 bulan. 'Pandangan akan sentiasa fluctuated.' katanya. Tak apalah janji keadaan penglihatan ku dah jadi lebih baik berbanding sebelum ini. 

Syukur dan Alhamdulillah.


September 23, 2014

Jalan2 Jogja-Solo : Part 4 : Lain2 Yang Menarik

Bagi aku selain tiga destinasi utama yang telah diceritakan sebelum ini, ada beberapa tarikan lain di Jogja-Solo. 

Istana Keraton Jogjakarta

Hanya Jogjakarta yang masih mempunyai raja. Walaupun berstatus Gabenor. Lain2 jajahan atau daerah di Indonesia hanya tinggal bahan2 sejarah sahaja. Melihatkan kepada istana dan kisah sejarahnya, memang hebat raja2 Jogjakarta ni. Jasa dan sumbangannya besar terutama dalam membantu Indonesia mendapatkan kemerdekaan dari Belanda. Tidak hairanlah kuasanya dikekalkan dan dihormati oleh kerajaan Indonesia sehingga kini.



Taman Sari

Kehebatan kerajaan kesultanan Jogja juga boleh dilihat pada Taman Sarinya atau istana air. Taman Diraja yang dibina dalam kawasan istana khusus untuk Raja dan keluarganya beriadah. Yang romantiknya tu ada kolam istimewa yang di khaskan untuk isteri2nya mandi beramai-ramai. Raja akan memerhati dan memilih salah seorang dari mereka dari bilik khas di tepi kolam.



Istana Mangkunegaran Solo

Tidak seperti Jogja, di Solo istana raja hanya tinggal sebagai bahan pameran. Kita akan dibawa melawat dan diringi oleh pemandu pelancong. Dapatlah sedikit sebanyak maklumat latarbelakang dan sejarah Kesultanan Solo.



Pantai dan Gurun Pasir Parangtritis

Yang menarik kat sini ialah pasir pantainya yang berwarna kehitaman. Ombaknya besar. Tak sesuai untuk mandi. Pengunjung hanya main2 tepi pantai sajalah. Selain tu ada kawasan ala2 padang pasir Sahara. Atau dipanggil Gumuk pasir. Dalam perjalanan balik singgah sat. Okeylah, menarik dan unik.


Masjid An Nurumi

Masjid ni terletak tepi jalan antara Jogja-Solo. Senibinanya ala2 Istana Kremlin di Moscow. Menarik juga untuk singgah dan ambil gambar sebagai kenangan.


Tempat2 yang tak jadi pergi atau singgah termasuklah : Air terjun Grojogan Sewu (Tak cadang nak pergi berkelah tepi air terjun. Tak cukup masa nanti);  Pusat Grosir Solo Mall (Trip ni bukan nak shopping sangat pun); Candi Prambanan (Tak laratlah nak tengok candi/kuil2 ni. Tengok Borobodur cukuplah).

September 10, 2014

Jalan2 Jogja-Solo : Part 3 - Idea Dari Sehelai Daun

Candi Borobudur boleh dikatakan tarikan utama ke Jogjakarta. Nak tengok sendiri kehebatan binaan dan mendengar cerita asalnya. Walaupun ia berkaitan Buddha, tapi mungkin banyak yang boleh diterokai. Dari Gunung Merapi terus ke sini. Tiket masuk agak mahal terutama untuk pelancong asing. Di dalam ruang menunggu, Pak Hatta sudah bersedia untuk membawa kami ke candi.

Keseluruhan kawasan candi dijaga dengan rapi dan bersih. Kawasan candi dan taman meliputi lebihkurang 80 hektar. Pak Hatta tiba2 berhenti dan terus mengutip sehelai daun. Dilipatnya daun tersebut. 'Nah, cuba lihat bentuk daun yang dilipat ini. Dipercayai rekabentuk candi diilham dari bentuk daun ini. Dikatakan Buddha gemar beristirehat di bawah pokok ini.' Tambah Pak Hatta, 'Pokok ini juga digelar Pokok Buddha.'


Sambil berjalan Pak Hatta sentiasa memberi penerangan. 'Buddha mengajar pengikutnya melalui kaedah lisan. Pada masa tu tak ada buku atau kitab untuk dirujuk. Salah satu cara merekodkannya ialah dengan membina candi yang mengandungi pengajaran dan kisah2 yang dicerita atau diajar Buddha.' 'Nak tau seluruh kisahnya kena daki setiap tingkat candi.' kata Pak Hatta. 'Tu dia, 9 tingkat. Mampus..' 

Di setiap tingkat dan kiri kanan dinding ada ukiran2 batu yang menceritakan kisah2 kehidupan Buddha dan ajarannya. Pak Hatta pun faham kami bukanlah nak tau semua. Dijelaskannya secara detail tapi terpilih-pilih sebagai contoh kepada kami sahaja. Pandai pulak Pak Hatta ni buat pendakian 'short cut.' Tiba2 dah sampai ke puncak candi.

Candi Borobudur telah melalui beberapa fasa pembinaan. Pernah runtuh akibat gempa dan letupan gunung berapi. Pembinaan semula bukan mudah. Kecurian juga banyak berlaku. Kata Pak Hatta salah satu patung Buddha dipercayai ada di Thailand. Pada tahun 2010 terpaksa ditutup 2 bulan untuk membersih debu Merapi setebal 10 cm meliputi candi dan seluruh kawasannya. Diakhir lawatan Pak Hatta membawa kami ke kawasan atau sudut paling terbaik untuk mengambil foto keseluruhan Candi Borobudur untuk diabadikan sebagai kenangan.



September 2, 2014

Jalan2 Jogja-Solo : Part 2 - Mengharung Debu Merapi

Itinerary trip kali ni suruh anak yang susun awal2 dari rumah. Pak Arfan yang mengiringi kami ikut saja. Lepas breakfast terus ke Gunung Merapi. Lebihkurang 1 jam setengah perjalanan. Jogjakarta taklah macet sangat. Jadi perjalanan pun agak lancar. 

Dalam perjalanan Pak Arfan bagilah briefing sikit tentang Merapi. Ikut rekod setiap 4 tahun, gunung ni akan meletop. Last sekali pada 5 November 2010. Suspen juga bila mendengarnya. Maknanya, next sudah tentulah tahun 2014. 'Janganlah masa kami ada di Jogja ni' doa sungguh2 dalam hati.

Sampai di kaki Merapi, kena sewa jeep. Ambil pakej yang round 1 jam saje. Cukuplah. Tengok yang penting dan basic2 sudahlah. Pakej yang paling lama round sampai 3 jam kot. Mahal sikit. Setiap orang dibekalkan mask. Untuk tutup hidung dan mulut.


Perjalanan mendaki agak memeritkan. Jalannya sempit, berlopak dan berliku. Terutama apabila terpaksa bertembung, berselisih dan mengekori lori2 yang mengangkut batu dan pasir gunung. Keadaannya amat berdebu. Pakai mask mungkin tak mencukupi. Lebih elok pakai topi sekali. 

Kesan2 kemusnahan diabadikan menjadi sebuah muzium mini. Semuanya tinggal rangka. Termasuk pohon2 tanaman dan binatang ternakan. Sedih melihatnya. Ganas sunggu Merapi bila 'mengamok'. Walaubagaimana pun Merapi juga meninggalkan jasa. Tanah menjadi subur selepas setahun. Penghuninya kembali menikmati hasil tanaman yang agak lumayan. Ini tidak termasuk batu dan pasirnya yang diangkut berlori lori untuk bahan binaan.


August 27, 2014

Jalan2 Jogja-Solo : Part 1 - Sampai Terkentut Kuda

Bila semua anak2 ada bersama, mulalah mencari tempat nak melancong. Sebelum ni payah sikit. Yang sulung ada, nombor dua tak ada. Nombor dua dan tiga ada, nombor satu tak ada. Tak berapa lengkaplah trip2 sebelum ni. Jogja-Solo dipilih sebagai destinasi keluarga kali ini. Bak kata orang untuk memanafaatkan 'Quality time' keluarga. Selain dekat. Lebihkurang 2 jam saja dok dalam flight. Senang cari makan. Janji halal dan sedap.

Balai ketibaan Adisucipto International Airport di Jogjakarta teramatlah kecil. Nasib baiklah hanya satu kapalterbang yang landing dalam satu masa. Kalau lebih tak taulah macamana. Ruang tuntuan bagasi sebelah kaunter immigrisen. Hanya satu lorong untuk penumpang antarabangsa. Bersebelahan lorong penumpang domestik. Sesaklah jawabnya.

Di lobby airport Pak Arfan dah sedia menunggu. Terus bawa kami untuk dinner di Restoran Sekar Kedhaton. Cantik dan selesa premisnya. Makanannya pun sedap. 


Lepas tu terus check in di hotel. Hotel Grage Ramayana. Tak jauh dari Jalan Malioboro. Jarak berjalan kaki sahaja. Walaupun agak gelap, Jalan Malioboro memang popular di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa. Hampir 90 peratus premisnya menjual produk batik. Meriah suasananya. Selain bershopping, pengujung terhibur dengan pemuzik2 jalanan. Khidmat kereta kuda dan beca pun ada. Boleh bersiar-siar keliling bandar Jogja. Cuma sikit tip kalau nak naik kereta kuda ni. Kalau boleh jangan duduk belakang kuda. Asyik terkentut jer kuda tu. Hancing baunya. Penat dan tak larat agaknya dia. Bawa  kami berlima.