February 3, 2015

Bila 5 Series Kena Kayap


Mula2 rasa macam nak kena sakit pinggang. Mungkin dok lama sangat depan komputer. Kerja punya pasal. Teruskan juga lah. Makin lama makin lenguh rasanya. Ambil minyak angin sapu sikit. Usaha seterusnya beli koyok. Tampal. Bangun esok pagi dah ada macam ruam. Bertompok-tompok, berair, kemerahan dan bentuk menjalar bahagian belakang pinggang kanan hingga ke bawah pusat. Alamak kayap ni. Kayap ular ? kayap terbang ? kayap bunga ? Tak tau lah jenis apa.

Talipon Mak kat kampung. Dah tua2 ni pun selalu talipon Mak kalau ada hal. Mak suruh balik kampung. Berubat cara tradisional. Kata Mak kayap bahaya, jangan buat main2. Rasa malas pulak nak balik kampung. Terpaksa pakai kain drive jauh2. Dah tak boleh pakai seluar. Sakit dan bisa bila tersentuh. Fikir punya fikir, pergi kliniklah dulu. Biasalah, doktor bagi krim, pil anti biotik dan pain killer. Nampak agak kurang berkesan. Tanya 10 orang, 10 cara ubat kayap. Pening. Cuba ubat Cina Seh Seh pulak. Dia bagi ubat sapu dan makan. Alhamdulillah, berkesan. Tompok2 kayap dah mula kering. Tapi bisanya masih rasa.

Dah hampir sebulan lebih. Tompok2 kayap dah lama kering. Tapi kesakitan seperti dicucuk-cucuk, ngilu bila tersentuh kain dan kadang-kadang terasa bisa2. Heran jugak. Apa hal ni. Mula lah google tentang kayap. Komplikasi selepas kayap kering dipanggil Post Herpectic Neuralgia  (PHN).   PHN adalah komplikasi kayap yang lazim berlaku dan didefinasikan sebagai rasa sakit yang berlarutan melebihi 90 hari. Tu dia lamanya. Komplikasi ini diakibatkan oleh kerosakan pada urat saraf yang disebabkan oleh virus kayap. Ia kerap dialami oleh pesakit berusia 50 tahun ke atas.

Betul kata Mak. Kayap jangan buat main2. Apatalah lagi kena masa umur dah kategori 5 series. Sakit dan menyeksakan. Makan dah tak boleh sebarangan. Sea food, telor, kacang2 dah tak boleh sentuh. Macam orang lepas bersalin. Salah-satu usaha, mulalah ambil suplementary food untuk menguatkan imunisasi atau ketahanan badan. Sebab kayap boleh menyerang pada orang yang mempunyai imunisasi badan yang lemah. InsyaAllah dengan usaha pelbagai cara ni komplikasi kayap ini akan hilang dan sembuh.

December 11, 2014

2,500 km, 5 Hotel & Menunggu Salji di Turkey


Kawan yang pernah pergi ikut pakej ni dah warning. Trip macam ni agak memenatkan. Dok dalam bas lama dan asyik keluar masuk hotel. Tak kisah lah janji pergi Turkey. Trip paling jauh kali ni. Offer di Matta Fair tu agak menarik dan murah. Pergi dengan group seramai 29 orang. Ada 5 orang berpangkat Dato' bersama isteri masing-masing. Semua dah pencen.

Flight dari KL ke Istanbul lebih 11 jam. Nasib baik crew MAS tu jiran setaman. Dapatlah layanan special sikit. Sampai di airport Istanbul, Mr. Atilla dari Renk United Travel dah sedia menunggu. Kami terus naik bas menuju ke Bursa. Lebih kurang 3 jam perjalanan. Termasuk naik feri. Tempat2 lawatan di Bursa termasuklah Ulu Camii (Grand Mosque), Green Mosque dan makam. Sempat solat di masjid ni. Lepas makan round2 Silk Market. Barang2 perhiasan dan cenderhatinya agak menarik. Tapi harganya sikit mahallah. Ada antara ahli group merungut, 'Tak ada apa yang menarik di Bursa ni. Tak singgah pun tak apa.' Check in 1 malam di Bursa.

Pagi2 dah check out dan angkut beg. Menuju ke Pamukkale. Perjalanan makan masa lebih 7 jam. Kelibat Cotton Castle atau Pamukkale dari jauh jelas kelihatan di celah2 bukit. Putih bersih. Sungguh menakjubkan. Seronok dan lama kami menghabiskan masa di sini. Lepas tu terus ke hotel check in 1 malam.

Destinasi seterusnya ialah Capadocia, Dimaklumkan perjalanan akan mengambil masa lebih 10 jam. Tapi bila ambilkira makan, solat dan toilet, hampir 12 jam sebenarnya. Pertengahan jalan singgah dulu Konya. Melawat Mevlana Mesuem dan Sultanhani Caravanserai.

Sebelum sampai di hotel, Mr. Atilla maklumkan mungkin salji akan turun esok. Semua dah mula excited. Dari bilik hotel asyik menyelak langsir saja. Lepas subuh bila cuaca mula terang, barulah nampak keputihan salji di atas tanah, ranting dan daun2 pokok. Seronoknya kami semua. Dapat menyambut, melihat dan merasai salji di hari pertama winter di bumi Turkey untuk tahun ini. Dalam bas kami disarankan oleh Mr. Atilla membaca surah Al Fatihah tanda kesyukuran.


Capadocia terkenal dengan bentuk landskap mukabumi yang unik dan hot ballon. Melawat Underground City dan melihat kediaman2 yang dibina di dalam gua dan batu sungguh menarik. Malangnya, cuaca tak mengizikan kami mengikuti pengembaraan dengan hot ballon. Tak ada rezeki.

Setelah 2 malam di Capadocia, perjalanan diteruskan ke Bolu. Singgah di Ankara untuk melawat Tugu dan Muzium Kamal Ataturk. Sayangnya banyak foto kenangan di sini terdelete. Tinggal yang 1 ni jer.


Sempat juga berhenti di Highway Outlet. Window shopping kononnya. Satu jam setengah jer diberi. Ada pulak SALE !. Kedai beg tangan dan kasut kulit. Beli 1 dapat 1 lagi. Bukan mainlah semua. Leka di kedai ni. Rasa macam tak cukup masa yang diberi. Check in 1 malam di kawasan tanah tinggi Bolu.


Seperti biasa, pagi2 lagi dah angkut beg untuk ke Istanbul. Destinasi terakhir pakej pelancongan ni. Bolehlah dianggap kemuncak lawatan. Check in untuk 2 malam di sini. Banyak tempat menarik boleh dilawati di Istanbul. Yang sempat kami pergi termasuklah : Blue Mosque, Hagia Sofia, Makam Ayub Ansari, Topkapi Palace, Grand Bazar, Spice Market, River Cruise (Golden Horn) dan Kuzu Leather Store.




Bila difikirkan semula, ada hikmah sebaliknya bila Poto Travel tangguhkan tarikh lawatan kami. Dari 3hb November kepada 19hb November. Disebabkan tak cukup korum. Kalau pergi awal hari tu, taklah merasa salji. Itu semua kuasa Allah swt. Alhamdulillah.

November 1, 2014

Iktibar Membawa Anak Kecil Ke Surau


Kalau sebelum ni post mengenai anak-anak kecil ke surau lebih kepada menceritakan kesan2 negatifnya. Bising dan merimaskan. Tak khusyuk solat dibuatnya. Ke hulu ke hilir berjalan depan saf. Jemaah merungut kat Pengerusi dan Jawatankuasa. Puas buat announcement. Nasihat dan mohon ibu bapa kawal sikit anak2 ni. Bila masing2 tengah solat mana nak kawal. Kalau bagitau tak payah bawa, kecil hati pula. Serba salah. Mereka ada justifikasi masing2 membawa anak2 ke surau.

Tapi kes kecil ni membuka mata ku. Al kisah, anak kecil ni lebihkurang 3 tahun umurnya. Dia boleh dianggap antara paling buas dan nakal di surau. Ayah seorang Ustaz. Antara jemaah regular. Kerap jadi imam. Kenakalan anak kecil ni memang jadi bualan ahli kariah. Mesti bawa pedang plastik dia bila ke surau. Bila ayah solat sunat, ditunggangnya. Posisi ayah rukuk dan sujud cukup digemari. Kadang2 nak tergelak juga. Tapi ayahnya cukup cool. Bila ayah jadi imam habis diraba dan pegang microphone. Bila ayah bagi tazkirah, dipanjatnya kerusi dan meja. Duduk bersama ayah. Jemaah surau sampai dah jadi terbiasa dengan tingkah laku anak ini. Malas dah nak complain. Keadaan ni berterusan lebih 10 bulan sejak surau dibuka Januari lalu.

Lama juga aku 'cuti' tak ke surau. MC lepas bedah mata. Lebihkurang sebulan. Agak memeranjatkan bila aku ke surau semula. Wajah anak ini nampak ceria bila melihat ku. Macam reaksi orang dah lama tak jumpa. Tak sangka, disapanya aku. 'Pak Cik dah datang.' 'Pak Cik mana spek ?' tanyanya. Saja tak pakai spek masa tu bila mata rasa dah okey. 'Tertinggal (terpaksa buat bohong sunat).' jawabku spontan. 'Tertinggal kat mana ?' tanyanya lagi. 'Tertinggal kat rumah, Mai salam Pak Cik.' Dia sambut salam ku, senyum dah terus berlari ke ayahnya dan bagitau tentang jawapan ku. Tak sempat nak peluk dan cium budak ni. Comel sungguh dan tersentuh hati ku dibuatnya.

Anak kecil ni dah tak nakal lagi. Dah tak berlari-lari depan saf. Tak kacau ayah bila jadi imam. Hanya duduk dan bermain di bahagian belakang ruang solat. Dari kisah kecil ini dia macam dah kenal semua jemaah yang datang ke surau. Dah tau nak menyesuaikan diri. Tak ada lagi 'gangguan' darinya. Maklumlah dah hampir 10 bulan ke surau bersama ayahnya. 

Patutlah Nabi s.a.w. tak larang anak2 kecil ke surau atau masjid. Teringat kisah masyhur tentang cucu Baginda  Hassan dan Husin bermain semasa baginda bersolat.

October 22, 2014

Pembedahan Katarak dan Lasek



'Kau ni asyik tukar spek jer !' tiba2 ada kawan yang menegur ku bila berkacamata baru. Baru perasan. Tak sampai setahun power spec naik lagi. Kali terakhir check power dah sampai 1400. Sampai budak kedai spec pun tak tau nak rekemen lens apa lagi. Dah maksimum power mata ni. Lens makin lama makin tebal. 'Baik check doktorlah encik.' nasihat dia.

Tahun 1991 pernah bedah mata kiri. Sebab ada katarak. Yang tu jelas, Bermula dengan titik putih boleh dikesan dibiji mata. Cahaya pecah bila dilihat waktu malam. Makin lama titik putih tu membesar. Hampir menutup mata hitam. Pergi check Hospital Mata Hussein Onn, terus buat operation. Masa tu bedah style lama. Pakai blade. Teringat lagi dicucuknya 2 kali untuk bius ke biji mata. Agak mengeri dan menyakitkan. Lama juga nak baik lepas operation.

Lepas lebih 20 tahun masalah sama menimpa. Dah tak boleh memandu waktu malam. Nak turun tangga pun terpaksa pelahan-lahan. Masalah untuk membezakan level. Tapi kali ni kesan katarak tidak jelas. Tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Googlelah hospital dan klinik2 pakar sekitar Lembah Klang. Akhirnya pilih Optimax Eye Specialist kat Shah Alam. Bila doktor check dan tunjukan kat skrin jelaslah ada katarak pada mata kanan pula. Kena bedahlah. Tiada pilihan. Kalau pakai spek beribu power pun tak akan clear pandangannya.

Pembedahan cara baru pakai laser. Cepat dan tak menyakitkan. Lebihkurang 30 minit selesai. Doktor masukkan lens mata yang zero power. InsyaAllah tak perlu pakai spek lagi. Cuma dalam masa 2 minggu ni solat tak boleh rukuk dan sujud seperti biasa. Tidur pun kena pakai penutup mata.

Masalah ku belum selesai lagi. Bila mata kanan dah zero power, mata kiri yang pernah operate dulu powernya dah hampir 1000. Tak balance lah pulak. Doktor nasihatkan buat pembedahan Lasek. Bukan Lasik tau. Berbeza. Lasek ni teknik pembedahan laser untuk 'reshaping' selaput cornea supaya lebih nipis dan memudahkan cahaya terus ke cornea. Itu kata doktor secara mudahlah. Dia bagi pulak power lebihkurang 200 untuk tujuan membaca dan pandangan dekat.

Pembedahan Lasek mudah. Cuma 15 minit. Tak sakit lansung. Tapi seksanya lepas bedah. Mata mudah jadi kering. Bila kering sakitlah. Seperti ada benda dalam mata, Nak buka mata pun tak boleh. Terutama masa bangun tidur waktu pagi. Kelam kabut makan pil pain killer yang doktor bagi. Cepat2 bubuh ubat mata. Agak menyeksakan juga untuk beberapa hari. Appointment susulan lebih kerap untuk check up selepas pembedahan Lasek berbanding katarak.

Dah hampir 2 bulan selepas kedua-dua pembedahan ni, pandangan ku masih belum betul2 memuaskan. Akhirnya terpaksa bergantung pada spek juga, Tapi power untuk mata kanan hanya 75 sahaja. Baru betul2 clear dan sharp apa yang dilihat. Bila nak baca kena buka spek. Sebab mata kiri dah ada power untuk membaca selepas pembedahan Lasek. Doktor kata pembedahan Lasek ni memakan masa lebih lama untuk pulih. Ada yang sampai lebih 3 bulan. 'Pandangan akan sentiasa fluctuated.' katanya. Tak apalah janji keadaan penglihatan ku dah jadi lebih baik berbanding sebelum ini. 

Syukur dan Alhamdulillah.


September 23, 2014

Jalan2 Jogja-Solo : Part 4 : Lain2 Yang Menarik

Bagi aku selain tiga destinasi utama yang telah diceritakan sebelum ini, ada beberapa tarikan lain di Jogja-Solo. 

Istana Keraton Jogjakarta

Hanya Jogjakarta yang masih mempunyai raja. Walaupun berstatus Gabenor. Lain2 jajahan atau daerah di Indonesia hanya tinggal bahan2 sejarah sahaja. Melihatkan kepada istana dan kisah sejarahnya, memang hebat raja2 Jogjakarta ni. Jasa dan sumbangannya besar terutama dalam membantu Indonesia mendapatkan kemerdekaan dari Belanda. Tidak hairanlah kuasanya dikekalkan dan dihormati oleh kerajaan Indonesia sehingga kini.



Taman Sari

Kehebatan kerajaan kesultanan Jogja juga boleh dilihat pada Taman Sarinya atau istana air. Taman Diraja yang dibina dalam kawasan istana khusus untuk Raja dan keluarganya beriadah. Yang romantiknya tu ada kolam istimewa yang di khaskan untuk isteri2nya mandi beramai-ramai. Raja akan memerhati dan memilih salah seorang dari mereka dari bilik khas di tepi kolam.



Istana Mangkunegaran Solo

Tidak seperti Jogja, di Solo istana raja hanya tinggal sebagai bahan pameran. Kita akan dibawa melawat dan diringi oleh pemandu pelancong. Dapatlah sedikit sebanyak maklumat latarbelakang dan sejarah Kesultanan Solo.



Pantai dan Gurun Pasir Parangtritis

Yang menarik kat sini ialah pasir pantainya yang berwarna kehitaman. Ombaknya besar. Tak sesuai untuk mandi. Pengunjung hanya main2 tepi pantai sajalah. Selain tu ada kawasan ala2 padang pasir Sahara. Atau dipanggil Gumuk pasir. Dalam perjalanan balik singgah sat. Okeylah, menarik dan unik.


Masjid An Nurumi

Masjid ni terletak tepi jalan antara Jogja-Solo. Senibinanya ala2 Istana Kremlin di Moscow. Menarik juga untuk singgah dan ambil gambar sebagai kenangan.


Tempat2 yang tak jadi pergi atau singgah termasuklah : Air terjun Grojogan Sewu (Tak cadang nak pergi berkelah tepi air terjun. Tak cukup masa nanti);  Pusat Grosir Solo Mall (Trip ni bukan nak shopping sangat pun); Candi Prambanan (Tak laratlah nak tengok candi/kuil2 ni. Tengok Borobodur cukuplah).